Umat Islam sangat digalakkan mempelajari dan mengamalkan seni tempur dan beladiri. Dalam detik-detik kecemasan sedikit-sebanyak ia berguna juga kepada kita dan orang-orang di sekeliling kita. Lihatlah para Wali Songo yang terkenal dengan keampuhan mereka dalam dunia kependekaran, Imam Syafie yang handal berkuda dan memanah, Saidina Ali yang tidak pernah tewas dalam mana-mana ‘duel’, Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang menjadi pejuang seumur hidup hingga tidak sempat menunaikan fardhu haji, Sultan Muhammad al-Fateh pembuka Konstantinople yang bertariqat Naqsybandiah dan banyak lagi.
Di bawah ini ada beberapa video tentang pertempuran sebenar, tapi bukannya pergaduhan ala ‘cowboy’ sebaliknya ‘berisi’. Mungkin ini akan dapat menaikkan semangat generasi anda dan muda kita.
Sebelum itu dimaklumkan bahawa penulis berbicara sebagai seorang yang bukan ahli seni tempur dan beladiri. Pernah di zaman remaja belajar silat-silat kampung tetapi penulis kurang berbakat dan kurang pula bertekun. Tambahan pula setelah menyedari diri tertinggal jauh dalam bidang agama, maka penulis terpaksa korbankan beberapa hobi untuk mengejar balik apa yang jauh tertinggal itu. Kini, sekiranya ditakdirkan penulis terlibat dengan sesuatu pergaduhan, ‘silat koboi’ lah yang akan dibuka. : ) Tambahan pula penulis gemar berjubah dan berkain pelekat. Nak beraksi seperti seorang ahli tae kwondo tentulah tidak praktikal. Terlondeh habis! : )
Jadi, setara umur penulis ini dan dengan komitmen yang ada kini rasanya tidaklah sesuai lagi untuk bergelanggang. Cukuplah sebagai perangsang kepada generasi muda kita. Jangan jadi seperti penulis, rugi.
Baiklah. Kita lihat video pertama. Seorang lelaki berhadapan dengan tiga orang lawan serentak. Ulasannya selepas ini.
Lelaki berbaju kuning ini mungkin seorang pengamal kung fu. Bayangkan jika situasi begitu berlaku kepada kita, bagaimana? Alamatnya ‘terpeleot’lah kita dihenyak ketiga-tiga orang lawan. Dari pemerhatian penulis, lelaki ini bijak mencari sasaran (makan gerak di dalam gerak). Dia sudah belajar dan mengamal sampai ke peringkat ‘petua’. Dia tahu cara untuk berhadapan dengan lebih daripada seorang musuh serentak. Sebab itu dia tidak melompat ke sana sini seperti dalam filem-filem Once Upon A Time in China (Jet Li).
Penulis teringat Tok Guru Nurul Zaman (Silat Sabil Indera Sakti). Beliau mengajar apa yang dipraktikkan oleh lelaki berbaju kuning itu tadi. Memang berkesan dan menjimatkan.
Kita lihat video kedua. Situasinya mugkin ada sedikit persamaan jika kita diserang samseng jalanraya.
Tukang ‘upload’ video ini menamakan aksi si hero sebagai Aikido, tapi memang tidak ada langsung gaya Aikido di sana.
Jauh bezakan antara empat orang yang ‘berdada kosong’ dengan seorang yang berilmu? Dalam hal ehwal agama, beginilah antara contoh perbezaan orang awam dengan seorang ulama.
Walau apa pun seni tempur si hero, yang jelasnya dia mahir menggunakan tangan gaya tinju Barat/ boxing. Penulis tidak nampak dia menggunakan kaki menunjukkan dia tidak datang dari aliran savate, kick boxing, tae kwondo, capoeira, shaolin, tae kyon dan seumpamanya. Tidak juga ada berseni kalari payat, silat, muay thai, krabi krabong, krav maga, kali eskrima, bando dan seumpamanya.
Yang paling penting, si hero mahir dengan ‘jarak pertempuran’. Hal inilah yang menjadi penyebab utama kejayaannya menumpaskan empat lawan sekaligus- dua kalah kiraan mata, satu TKO dan satu lagi KO- terpaksa berusung. : ) Dia juga mahir dengan ‘penjimatan’. Kita boleh lihat dia tidak melepaskan banyak pukulan tetapi apa yang dilepaskannya memang sentiasa ‘dapat markah’. Pukulan-pukulan yang dilepaskannya juga ‘bermutu’, sekali kena terus tumbang.
Penulis ada sedikit pemahaman tentang video ini kerana pernah mendapat sekelumit pendedahan tentang Jeet Kune Do (Bruce Lee) dan konsepnya dengan Cikgu Saiful Zelwany (kini pelakon drama). Tapi penulis tidak katakana hero kita dari aliran JKD, sebab kelihatan dia tidak menggunakan kaki di tempat-tempat yang dia boleh gunakan.
Apa-apa pun, jika si hero membuka kelas seni beladiri selepas ini, pasti dia boleh jadi seorang hartawan. Video ini sudah cukup sebagai promosi untuk kelasnya. : )
Video ketiga- selepas menontonnya mungkin kita akan terfikir… kalaulah nak isteri aku diganggu orang, apa yang mampu aku lakukan (ikhtiarkan)?
Hero kita kali ini juga nampaknya mahir dengan tinju Barat. Dari satu segi dia lebih hebat daripada hero berbaju hitam di atas tadi kerana dia mampu ‘menyerang’, padahal menyerang lebih susah daripada menanti kalau mengikut konsep kebanyakan seni tempur dan beladiri. Sungguhpun dia bernaluri ‘penyerang’ tetapi mindanya waras. Dia menghukum setakat kesalahan lawannya sedangkan dia boleh saja membelasah mereka hingga lembik. Yang ‘kesian’nya lelaki berjaket hitam pun kena ‘lepuk’ juga walaupun dia nampaknya tidak menyetujui tindakan rakannya. Begitulah, berkawan dengan tukang besi, bau hangit besi melekat juga pada diri kita. Moralnya- pilihlah kawan-kawan yang baik. : )
Jom tengok video ke-empat. Belajar seni beladiri memang ada manfaatnya.
Gayanya sejenis kung fu. Maaf cakap, dalam dunia hari ini gaya sebegini kurang praktikal jika lawan kita seorang ahli tempur juga. Kita sukar menyerang, gerakan mudah dibaca dan pertahanan pun agak rapuh. Untuk buat kejutan, menang moral dan kemudiannya lari menyelamatkan diri memang praktikal. : )
Budak ini memang banyak atas sebab nasib dan kelemahan lawannya. Si lawan jelas bukan seorang kaki gaduh, gaya ‘street fighting’ pun tidak ada. Tapi yang sangat penulis puji ialah keyakinan hero kita. Dia tidak malu membuka langkah perguruannya pada zaman ini. Kalau kitalah belajar Monkey Fist, Drunken Fist, Silat Pagar Ruyung, Kalari Payat, Gayong Fatani dan seumpamanya, belum tentu kita sanggup berlangkah di depan umum… malu konon. Malu punya pasal, kita kena ‘cepuk’… apa guna…?
Tapi kan, katakanlah hero kita tadi kalah… tentu malu besar. Untuk mengelakkan kita malu besar, maka belajarlah hngga ke peringkat tinggi sikit. Tanpa perlu membuat gaya yang bermacam variasi itu pun kita boleh menang insyaallah.
Baiklah, para pembaca dan penonton mungkin sekarang sudah bermotivasi untuk berlatih ataupun sekurang-kurangnya seperti penulis-sekadar menggalakkan generasi baru. Hendak sambung belajar sudah tua. : ) Walau setinggi manapun semangat anda, tak perlulah bersemangat setinggi ISS seperti dalam video di bawah.
Alhamdulillah, tamat sudah kupasan dhaif penulis.
Apa kaitan hal ehwal seni tempur dan beladiri di blog ini? Dalam dakwah Tajdid Segar, kita menyarankan agar perkara ini diambil berat oleh umat Islam. Bukankah Allah lebih menyukai seorang Muslim yang gagah berbanding yang tidak? Kurang sedap rasanya melihat para ilmuan agama Islam lembik-lembik dan tidak berjiwa pejuang. Lainlah kalau kita memang tidak berupaya dan tidak berpeluang. Sekurang-kurangnya kita menjadi penggalak.
Selain itu, dalam salah satu artikel terbaru tentang dakwah Tajdid Segar nanti, penulis akan menggunakan dunia seni tempur dan beladiri sebagai tamsilan. Sebelum ini pernah penulis tamsilkan dengan dunia lumba kereta professional dalam artikel bertajuk ‘PELUMBA TAJDID’. Kesannya bagus., apa yang hendak disampaikan dapat disampaikan. Jadi tulisan dan tontonan ini bolehlah dianggap sebagai ‘warm-up’.
Wallahualam. : )
‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
Alexanderwathern
28 NOV 2007
No comments:
Post a Comment