Thursday, July 16, 2009

Mohon Penjelasan AJARAN LAYAR BAHTERA (bah. 3)

KESEBELAS:
Tulisan tuan yang berbunyi:

Berikut adalah nama sebenar Nakhoda LayarBahtera:
Mohd Shahjurulazmi bin Mat Desa @ Ismail
Nama ibu- Fatimah bte Yahya

Secara terperinci, perkataan demi perkataan, nama ini dapat dipecahkan sebagai berikut:
MOHD bermaksud TEMPAT YANG TERPUJI
SHAHJURULAZMI bermaksud RAJA YANG BELAYAR, PILIHAN ALLAH
ISMAIL bermaksud DENGARLAH ALLAH

Keterangan:
‘Tempat Yang Terpuji’ merujuk kepada ‘Jasad manusia yang diduduki oleh Allah’.
‘Raja yang belayar’ pula merujuk kepada ‘Nakhoda Bahtera’.
Oleh itu, nama beliau secara keseluruhannya membawa maksud:
Jasad manusia yang diduduki oleh Allah,
Iaitu Nakhoda Bahtera pilihan-Nya
Maka, dengarlah oleh kamu semua seruan Allah”

KOMEN:
Sefaham kami, “MOHD” bermaksud “yang terpuji”, bukannya “TEMPAT yang terpuji”. Nampaknya pihak tuan bersungguh-sungguh untuk mengaitkan perkataan-perkataan ini dengan ‘TEMPAT’ supaya ‘TEMPAT’ itu boleh pula dikaitkan dengan ‘INDIVIDU TERTENTU’. Seterusnya manusia diajak supaya mengikut individu tersebut. Betulkah?

Mohon penjelasan: ..................................

Pada nama “SHAHJURULAZMI” itu, bahagian mana yang bermaksud “raja” dalam BAHASA ARAB?

Mohon penjelasan: .....................................

Kemudian kami juga ingin minta kepastian tentang maksud nama ISMAIL.
Kita ambil contoh. Nabi Yaakub juga bernama ISRAIL. “Isra” bermaksud “berjalan malam” (sama juga dengan peritiwa Isra’ Nabi Muhammad saw) manakala “il” bermaksud “Tuhan”. “Il” sama sekali tidak bermaksud “Allah”.

Persoalannya, dari mana datangnya “il” diterjemah sebagai “Allah”?
“Il” itu nama jawatan sedangkan “Allah” ialah nama pemegang jawatan “il” itu. Hal ini membuatkan kami tertanya-tanya, mengapa tuan tidak menterjemahkannya secara benar? Mengapa pihak tuan tidak teliti dalam menterjemah?

Mohon penjelasannya: .......................................

Jadi nama “Israil” bermaksud “dijalankan oleh Tuhan pada waktu malam” ataupun “berjalan pada waktu malam kerana Allah” memandangkan dalam penghijrahannya, Nabi Yaakub dan kaumnya (kemudiannya dinamakan kaum Bani Israil) banyak bermusafir pada waktu malam. Ia tidak bermaksud “BERJALANLAH ALLAH” ataupun ‘BERJALANLAH TUHAN”. Betulkan?

Jadi untuk nama “ISMAIL”, ia juga tidak boleh diterjemahkan sebagai ‘DENGARLAH ALLAH” ataupun “DENGARLAH TUHAN”.


KEDUA BELAS:
Tulisan tuan yang berbunyi:

“MAT DESA pula jika dieja dalam ejaan jawi membentuk perkataan MAD DASA (mim, dal, dal, sin) yang membawa maksud menambah ombak besar atau mencetuskan ombak besar.
Ombak atau gelombang jika dirujukkan kepada ilmu sastera, malah dalam Al-Quran sendiri merupakan kiasan kepada ‘ujian’ atau ‘tentangan’ sebagaimana firman-Nya:
Dan apabila mereka dilanda ombak (tentangan atau ujian) yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan keta’atan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus . Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar.
( Luqman: 32 )

Oleh itu, jika Mat Desa pula yang diguna-pakai, nama Nakhoda LayarBahtera bolehlah diertikan seperti berikut:

Jasad manusia yang diduduki oleh Allah,
Iaitu Nakhoda Bahtera pilihan-Nya
Yang mencetuskan tentangan hebat umat manusia

dan

Jasad manusia yang diduduki oleh Allah,
Iaitu Nakhoda Bahtera pilihan-Nya
Yang menambahkan ujian kepada umat manusia

http://manatuhanallah.wordpress.com/di-sebalik-nama-nakhoda-layarbahtera/


KOMEN :
Nama “MAT DESA” jika ditulis dalam bahasa Arab mahupun tulisan jawi, “dal” itu mestinya:
Berbaris bawah. Maka bunyinya MAT DISA, bukan MAT DASA. Ataupun...
Berbaris bawah dengan “ya” mati di depan. Maka bunyinya “MAT DIISA”.

Jadi bunyinya mestilah sama ada “MAT DISA” ataupun “MAT DIISA”, tidak mungkin ia menjadi “MAT DASA”!

Apa penjelasan tuan?

..................................................................................

Tafsiran nama Mat Desa oleh pihak tuan itu seolah-olah hendak menunjukkan betapa si Nakhoda Layar Bahtera iaitu Mohd Shahjurulazmi yang jasadnya diduduki Allah adalah benar hinggakan mencetuskan tentang orang ramai dan menjadi ujian kepada manusia. Tapi kami tidak nampak jalannya bagaimana MAT DESA boleh menjadi MAD DASA dalam tulisan jawi.



KETIGA BELAS:
Tulisan tuan yang berbunyi:

Rahman
= berasal dari perkataan ‘ra’a’(nyata), ‘ihmaan’(jasad lelaki yang mengandungi Zat Allah)
= jasad lelaki yang membawa dan menzahirkan Zat Allah.

http://manatuhanallah.wordpress.com/7-petala-langit-7-petala-bumi-definisi/

KOMEN:
Kami tidak pernah menemui asal-usul perkataan “AR-RAHMAAN” yang sebegini.

(Terjemahan sebegini juga rasanya tidak lain ialah untuk mengagungkan Nakhoda Ajaran Layar Bahtera)



KEEMPAT BELAS:
Situasi yang berlaku di Malaysia, munculnya ramai tok guru yang membawa pelbagai ajaran-ajaran yang difatwakan sesat oleh pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Masing-masing golongan sememangnya berpegang teguh dengan kefahaman masing-masing dan amat cekal menghadapi ujian-ujian menelusuri ilmu-ilmu Allah mahupun tohmahan sesat serta pandangan serong masyarakat.

Sebenarnya, bukanlah guru-guru ini membawa ajaran sesat sebagaimana yang digembar-gemburkan. Mereka adalah golongan-golongan yang menerima ilmu istimewa Allah dan diberi perkhabaran atau alamat-alamat tentang kedatangan “Guru Besar” menerusi ilham-ilham, kata-kata mahupun mimpi-mimpi.

Cuma mereka tidak menemui penjelasan atau tidak faham tentang apa yang sebenarnya yang mereka perolehi hingga mencetuskan tindakan yang pelik-pelik.

http://manatuhanallah.wordpress.com/30-dajjal-dajjal-kecil/

KOMEN:
Kami minta jasa baik tuan untuk menyenaraikan ajaran-ajaran yang difatwakan sesat oleh JAKIM tetapi sebenarnya mereka berada di landasan yang benar (menurut pihak tuan).

Mohon senarai: .......................................................




KELIMA BELAS:
Tulisan tuan yang berbunyi:

FAKTA TENTANG SYAM
Negeri Syam jika dirujuk dalam Al-Quran, menceritakan tentang bandar-bandar yang semestinya merujuk kepada kawasan yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan.

Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan BANDAR-BANDAR ( di DAERAH NEGERI SYAM ) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu) dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman.
( Surah Saba :18 )

Dalam lipatan sejarah, Syam juga terkenal sebagai sebuah kawasan PERNIAGAAN. Kesimpulannya, Syam dalam hadis ini sebenarnya merujuk kepada SINGAPURA kerana negara ini memang terkenal sebagai PUSAT PERNIAGAAN/PERDAGANGAN serta hampir keseluruhan negara ini dipenuhi dengan BANGUNAN-BANGUNAN ( termasuklah flat-flat tempat kediaman penduduknya ).

KOMEN:
Syam tuan dikaitkan dengan Singapura hanya kerana 2 kebetulan iaitu:
Ia pusat perdagangan
Ia ada banyak bangunan

Jika sekadar dua persamaan ini, hujah tuan ini tidak nampak kekukuhannya. Jadi susahlah untuk kami dan orang lain menerima pandangan tuan. Banyak bandar lain yang punya kaitan sama. Contohnya Pulau Pinang, Hong Kong, Bangkok dan lain-lain. Saya fikir tuan perlulah menyenaraikan lebih banyak kaitan antara Syam dengan Singapura, hinggakan para pembaca memang akan terus terfikir Singapura saja selepas membaca penerangan tuan, bukannya bandar-bandar lain.

bersambung...

3 comments:

nuruddin muhamad said...

Salam
rasanya amat baik jika pihak tuan berdebat terus dengan 'ustaz ahmad' di blog layar bahtera tuh...ni email saya ambik tengok cemane dye punya reaksi.
layarbahtera@yahoo.com
moga2 ajaran sesat camni dapat dibendung

Mutiara Terindah said...

Johor pantau Layar Bahtera

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

NUSAJAYA 27 Jun - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang memantau saki-baki dua kumpulan ajaran sesat, Layar Bahtera dan Global Ikhwan yang dikesan aktif di sekitar Masai dan Johor Bahru.

Kumpulan Layar Bahtera disyaki aktif mengumpul pengikut di sekitar Taman Rinting, Masai dan menyebarkan fahaman agama yang bertentangan dengan Islam sejak tiga tahun lalu, manakala Global Ikhwan adalah syarikat yang juga saki-baki pengikut ajaran al-Arqam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, setakat ini seramai 25 ahli kumpulan Layar Bahtera termasuk 22 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun di sekitar Taman Rinting ditahan awal bulan lalu kerana dipercayai mengamalkan ajaran sesat.

Katanya, ajaran sesat yang diasaskan oleh seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Selangor itu telah diwartakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan awal tahun ini.

"Ketua kumpulan dipanggil Nakhoda itu mendakwa dirinya mengetahui segala ilmu alam ghaib, mendakwa Gunung Tursina di Mesir adalah Gunung Ledang dan mentafsir al-Quran dan hadis mengikut cita rasa sendiri.

"Selain itu, kumpulan yang dianggotai kira-kira 40 ahli itu juga tidak mewajibkan solat lima waktu dalam kalangan ahlinya," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

JAINJ juga mengesan kumpulan itu giat menyebarkan fahaman mereka menerusi laman web, namun ia berjaya disekat, katanya sambil memberitahu kebanyakan pengikut kumpulan itu terdiri daripada juruteknik dan pekerja kontrak.

Beliau berkata, 25 anggota kumpulan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 tidak lama lagi yang menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau kombinasi keduanya jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Global Ikhwan didapati cuba menyebarkan kembali ajaran Syiah di sebalik kegiatan perniagaan syarikat terbabit yang beroperasi di sekitar Tampoi, Johor Bahru.

"Sama seperti syarikat Rufaqa Corporation yang juga serpihan al-Arqam yang diharamkan di negeri ini pada 2007 dan 1994, Global Ikhwan didapati cuba menghidupkan kembali al-Arqam.

"Bagi membendung fahaman itu, kita sudah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memantau dan mendapatkan maklumat lebih lanjut," katanya.

Mutiara Terindah said...

HARIAN METRO -SELASA 28 JUN



NUSAJAYA: Seramai 25 pengikut ajaran sesat Kumpulan Layar Bahtera termasuk 22 lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 40 tahun yang tinggal di sekitar Taman Rinting di sini, ditahan Jabatan Agama Johor (JAJ), awal bulan ini kerana masih mengamalkan ajaran berkenaan.

Ajaran sesat itu dikatakan disebarkan di rumah ketua kumpulan itu di Masai dan sebahagian besar pengikutnya juruteknik dan pekerja kontrak. Pengerusi Jawatan kuasa Agama Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ajaran itu diharamkan pada 2010 dan diketuai seorang lelaki berusia 40 tahun berasal dari Selangor.


“Pada masa sama, ketua kumpulan itu yang menggelar dirinya sebagai Nakhoda mendakwa dia mengetahui segala ilmu dan benda ghaib.

“Selain tidak mengamalkan sembahyang fardu lima waktu, Kumpulan Layar Bahtera juga dikatakan sudah mengumpul 40 pengikut sejak tiga tahun lalu.


“Lebih membimbangkan, ajaran berkenaan menyatakan semua manusia adalah ‘Allah’, malaikat ialah manusia yang taat, jin manusia dikurniakan ilmu yang tiada pada manusia biasa serta iblis manusia pula mereka yang sering melakukan kemungkaran,” katanya.


Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-12, di Kota Iskandar di sini, semalam.

Menurut Zainal, selain itu, Kumpulan Layar Bahtera juga mendakwa syaitan adalah manusia yang menjadi penghasut, Gunung Tursina di Timur Tengah pula sebenarnya adalah Gunung Ledang, malah pengikutnya turut mentafsir ayat suci al-Quran dan hadis mengikut cita rasa sendiri.


“Semua 25 pengikut ajaran sesat itu kini menantikan pendakwaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zainal berkata, satu lagi kumpulan ajaran sesat yang juga saki baki pengikut ajaran al-Arqam dikenali Global Ikhwan didapati cuba menyebarkan kembali ajaran Syiah di sebalik kegiatan perniagaan syarikat itu yang beroperasi di sekitar Tampoi.


“Sama seperti syarikat Rufaqa Corporation yang juga serpihan al-Arqam dan masing-masing diharamkan di negeri ini pada 2007 juga 1994, Global Ikhwan didapati cuba menghidupkan kembali al-Arqam.


“Bagi membendung fahaman itu, kita sudah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memantau dan mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan mereka,” katanya.


Menurut Zainal, JAJ kini giat memantau saki baki dua kumpulan ajaran sesat berkenaan yang dikesan masih bergiat aktif di sekitar negeri ini terutama di sekitar Masai dan Johor Bahru.


“Kami bimbang dengan kewujudan kumpulan ajaran sesat itu, pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi mengesan saki baki pengikutnya,” katanya.