Monday, December 5, 2011

Syiah, Saiyidina Ali Seorang Pengecut?

Kebenaran pertama yang mesti kita faham ialah Saiyidina Ali seorang pendekar, malah pendekar nombor satu Islam selepas Rasulullah saw sendiri. Tidak ada mana-mana orang Islam yang betul-betul berani berduel dengan Saiyidina Ali. Saiyidina Ali tidak pernah kalah berduel dengan puluhan pahlawan musuh-musuh Islam. Dia sentiasa jadi pemenang dan berjaya membunuh musuh-musuhnya. Bahkan kalau pahlawan bukan Islam terbunuh melawan orang-orang Islam, kaum keluarga mereka tertanya-tanya, di tangan siapakah ahli mereka terbunuh. Apabila dikatakan ahli mereka maut di tangan Ali, mereka anggap ia satu kematian yang mulia dan berbaloi. Saiyidina Ali dibunuh pun dengan cara pukul curi, bukan berdepan.

Ketika pendekar Quraisy bernama Ibnu Wudd mencabar umat Islam berduel, tidak ada siapa yang berani menyahut melainkan Saiyidina Ali yang masih muda. Saiyidina Ali memedang Ibnu Wudd yang berbaju besi sehingga terputus dua. Dalam peperangan, Saiyidina Alilah yang paling banyak melindungi Rasulullah berbanding para sahabat lain., walaupun sesekali dia tidak tertahan dengan serangan musuh lalu Rasulullah pula yang melindunginya. Pintu gerbang Khaibar sangat kukuh. Saiyidina Ali berseorangan diri merempuh gerbang yang ditahan lebih 20 orang Yahudi itu sehinga pecah.

Tapi kaum Syiah sendiri yang begitu taksub mengagung-agungkan Saiyidina Ali, sering menggambarkan dia sebagai seorang yang pengecut, dayus dan kepondan-pondanan. Mana mungkin pahlawan segagah Saiyidina Ali hidup dalam bertaqiyyah! Mana mungkin pendekar nombor satu Islam hanya melihat sahaja isterinya Fatimah dikasari, diseret, dihumban sehingga keguguran kandungannya? Kalau benar,orang sebegitu sangatlah penakut, penikus lagi dayus. Itu bukan sifat Saiyidina Ali. Kepada kaum Syiah,tolong jangan memalukan Saiyidina Ali dengan cerita-cerita yang menjatuhkan kejantanannya.

Saya sering terjumpa sebahagian kaum Syiah memetik kata-kata yang disandarkan kepada Saiyidina Ali, kata Ali : “Aku tidak lari dikejar musuh, dan tidak akan mengejar musuh yang lari.”

Lagi kata-kata yang disandarkan kepada Saiyidina Ali : “Sekiranya seluruh orang Arab menyerang aku, aku tidak akan mengundur diri.”

Mereka juga sering memetik kata-kata yang disandarkan kepada Malaikat Jibril, katanya : “Sebaik-baik pahlawan ialah Ali, dan sebaik-baik pedang ialah Zulfiqar (pedang Nabi yang diberikan kepada Saiyidina Ali).”

Tapi sebaliknya mereka sering menggambarkan yang Saitidina Ali seorang yang dayus, pengecut, tidak berani angkat muka, tidak melawan, hidup dalam ketakutan, terpaksa bertaqiyyah dan lain-lain.

Kebenarannya, Saiyidina Ali seorang yang sangat gagah berani, tidak mengamalkan taqiyyah dan isterinya tidak dikejami oleh pemerintah Islam sebagaimana yang diada-adakan oleh kaum Syiah.

Kebenaran kedua, Saiyidina Ali sangat mengasihi sahabat-sahabatnya para khalifah sebelumnya iaitu Saiyidina Abu Bakar, Umar dan Uthman. Antara buktinya, Saiyidina Ali sendiri menamakan anak-anaknya dengan nama Abu Bakar, Umar dan Uthman. Malah dia telah menikahkan anak perempuannya iaitu Ummu Kalthum Al-Kubra dengan Saiyidina Umar. Pada zaman ketiga-tiga orang khalifah, Saiyidina Alilah antara rujukan utama mereka kerana sememangnya dari segi ilmu-ilmu agama, Saiyidina Ali punya kelebihan. Ketika rumah Saiyidina Uthman dikepung orang, Saiyidina Ali mengarahkan anak-anaknya Saiyidina Hasan dan Husin yang berkawal memperjudikan nyawa mereka. Ini semua bukti hubungan kasih sayang antara Saiyidana Ali dengan para Khulafa Ar-Rasyidin sangat erat.

Kebenaran ketiga, Saiyidina Ali seorang yang sangat zuhud. Dia tidak pernah tergila-gilakan dunia termasuklah jawatan khalifah sebagaimana yang digambarkan oleh kaum Syiah. Bahkan ketika orang ramai hendak membai’ahnya sebagai khalifah keempat, dia menolak habis-habisan. Tapi oleh kerana keadaan kucar-kacir dan umat Islam perlukan seorang pemimpin, maka barulah Saiyidina Ali bersetuju dibai’ah. Kalau betul dia gilakan jawatan pemerintah, sudah pasti sebelum sempat orang mencadangkan namanya, awal-awal dia sendiri sudah mencalonkan diri. Tolonglah jangan gambarkan Saiyidina Ali sebagai seorang pecinta dunia, gila kuasa, hilang zuhud dan sebagainya yang menjatuhkan maruahnya.

Kalau benar kita mencintai Saiyidina Ali dan keluarganya, ikutlah cara mereka. Saiyidina Ali, Hasan dan Husin tidak pernah mengecop Saiyidina Abu Bakar dan Umar sebagai Dua Berhala Quraisy. Mereka taat kepada ketiga-tiga orang khalifah sebelumnya. Mereka tidak pernah mengajak umat Islam pada zaman itu membenci atau mengkafirkan para sahabat yang lain. Mereka tidak pernah mengangkat senjata melawan pemerintah, bahkan melindungi para pemerintah itu daripada marabahaya.

Begitulah PENJELASAN RINGKAS kepada orang yang cuba memainkan sentimen keluarga Saiyidna Ali dizalimi oleh para khalifah khususnya Saiyidina Abu Bakar dan Umar. Semoga dapat membuatkan anda menilai semula pegangan anda dalam hal ini.


Abu Zulfiqar

3 Disember 2011


http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/12/syiah-saiyidina-ali-seorang-pengecut.html

No comments: