Tuesday, December 18, 2007

SALAFI WAHABI vs IKHWANUL MUSLIMIN (bah 1)

SALAFI WAHABI vs IKHWANUL MUSLIMIN


Meneliti sebuah rakaman kuliah Ustaz Rasul Dahri baru-baru ini membuatkan saya berfikir panjang, memohon gerak daripada Kekasih dan akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan karangan ini. Hal ini tidaklah bermaksud saya terpesona ataupun ‘termakan’ dengan pembicaraan Ustaz Rasul Dahri itu tetapi untuk menyampaikan beberapa perkara penting kerana peluang ke arah itu terbuka kini. Tidak sangka pula yang ia akan lahir melalui tontonan ke atas cakap-cakap ustaz ini. Begitulah, jika bukan kerana Iblis menderhaka, manakan lahir para rasul dan nabi dalam bentuk jasad. Betul tidak?


Kebenaran terpaksa diwartakan atas rasa cinta kepada Allah dan bertanggungjawab ke atas amanah yang diamanahkan sejak sebelum diri ini yang asal dimasukkan ke dalam jasad yang baru tumbuh ini. Suka ataupun tidak kenalah dinyatakan juga sekadar kemampuan kita yang serba dhaif ini. Kita yakin, hanya Allah yang berkuasa memberi faham, bukan makhluk. Namun begitu, usaha dan ikhtiar tidak sesekali kita ketepikan.


Tiga empat tahun lepas buat pertama kalinya saya membaca dan menonton hasil tangan Ustaz Rasul Dahri berkaitan perbahasan tahlil arwah. Kebanyakan hujah-hujah bawaannya yang pada saya longgar untuk dijadikan pegangan membuatkan saya kurang ambil pusing akan dakwah dan dakyahnya selepas itu. Hujah-hujah yang ada kalanya berisi penyelewengan, penipuan, salah faham dan buruk sangka itu hanya akan berkesan ke atas orang-orang yang malas menggunakan fikiran sahaja ( Lihat BAHAYA ISRAILIYYAT, BAHAYA LAGI WAHHABILIYYAT bahagian ke-3 http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=172&mode=&order=0&thold=0 ).


Saya tidak merasakan yang dakwah dan dakyahnya akan mendapat sambutan besar dan menggugat apa-apa yang penting di negara ini, jadi biarkanlah kelompok sempitnya terus wujud agar sekurang-kurangnya boleh juga kita jadikan contoh dalam pengajaran kita nanti. Selain itu, kelompok ini juga berguna untuk para peminat dan pendokong dakwah Tajdid Lapok @ Wahabi mengukur siapakah yang benar-benar Salafi Wahabi dalam kalangan dua ataupun tiga kelompok Salafi Wahabi di Malaysia kini dan dua tiga kelompok Wahabi yang belum tiba secara borong dari luar negara.


Rupa-rupanya Ustaz Rasul Dahri ada menulis tentang Ikhwanul Muslimin. Jadi dalam video itu dia mempromosikanlah hasil tulisannya, yang dengan kuasa Allah dan tanpa disedarinya yang dia juga sebenarnya sedang mempromosikan kelemahan dan kesilapannya kepada umum. Kelemahan dan kesilapan yang saya maksudkan hanyalah dalam HAL INI SAHAJA tanpa menafikan KEARIFANNYA dalam bidang-bidang lain. Begitulah kaedah memberi komen. Di samping itu, dia juga sebenarnya membuka pekung kecelaruan fahaman kaum Salafi Wahhabi @ Wahabi khususnya di negara ini dengan lebih jelas. Beruntung sungguh kita umat Islam Nusantara- “berjalan dua langkah tetapi jaraknya mencapai sepuluh langkah”.


Mulanya kita sentuh sedikit tentang sejarah gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai pemantapan pemahaman pembaca di bahagian isi-isi nanti sekalipun kita faham yang banyak pembaca sudah sedia maklum dengan sejarah Ikhwan meskipun mereka tidak ataupun belum berbaiah dengan Ikhwan (Lihat IKHWANUL MUSLIMIN & HASSAN AL BANNA http://www.forumforfree.com/viewtopic.php?t=905&start=0&mforum=no2christ ).


Sebaik-baik sahaja jatuhnya kekhalifahan terakhir umat Islam, yang SALAH SATU daripada punca kejatuhannya ialah akibat hasil tangan PARA PENGIKUT dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang MEMBERONTAK KEPADA DAULAH ataupun MENYERANG WILAYAH DAULAH ISLAM, Allah bangunkan satu jemaah baru yang bersifat global zahir dan batinnya iaitu Ikhwanul Muslimin Jemaah ini berusaha untuk bersederhana dalam segala hal dan menjauhi ketaksuban melulu. Ahli-ahlinya digerakkan atas MODAL TARBIAH dan PEMAHAMAN, bukan sekadar atas dasar semangat dan mengikut-ikut sahaja.


Ikhwan diasaskan di Mesir- bumi Nabi Musa yang juga bumi Firaun. Sebab itulah kita boleh temui sebaik-baik manusia dan juga sejahat-jahat manusia di sana. Ada Nabi Musa, adalah Firaun. Pengasas Ikhwan ialah Imam asy-Syahid Hasan al-Banna. Beliau bukanlah seorang ulama elit dalam mana-mana bidang tetapi mempunyai ilmu yang mencukupi untuk membicarakan semua bidang yang ada. Dan yang paling penting, beliau seorang genius dalam melahirkan dan melaksanakan saranan-saranan untuk mentajdid individu, mentajdid keluarga, masyarakat dan umat.


Banyak ulama handal yang sezaman dengan Hasan al-Banna tetapi mereka hanya mampu membawa perubahan dan menjaga keaslian bidang mereka sahaja. Berlainan dengan Hasan al Banna, beliau nampak cara-cara memperbaiki agama dan umat dalam semua lapangan. Seorang lagi genius pembaik umat yang muncul ketika itu ialah Maulana Muhammad Ilyas- pengasas gerakan Tabligh, cuma skop yang dibawa oleh Maulana kecil sedikit daripada bawaan Ikhwanul Muslimin. Perihal jemaah Tabligh insyaallah akan saya kisahkan dalam ruangan yang lain.


Secara UMUMNYA mereka ini bolehlah dianggap sebagai mujaddid kurun yang lalu berdasarkan perjuangan mereka yang di awal kurun, membawa sesuatu yang belum pernah difikirkan orang-orang sebelumnya, dakwah mereka bersifat sejagat merentasi batas-batas geografi, ajaran mereka merebak begitu laju bagaikan air meluncur ke serata arah dan beberapa pertimbangan lain yang biasanya digunakan dalam menentukan Mujaddid Kurun.


Namun, jika hendak dimuktamadkan seorang sahaja sebagai mujaddid kurun yang lalu, saya lebih cenderung kepada Hasan al-Banna. Hal ini memandangkan modul bawaan Imam asy-Syahid turut mempengaruhi individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan selain Ikhwan. Bagi jemaah Tabligh, modul bawaan Maulana Muhammad Ilyas digunakan oleh jemaah Tabligh sahaja dan tidak mendapat perhatian jemaah-jemaah selain Tabligh.


Banyaklah pihak yang mendakwa tokoh-tokoh mereka sebagai mujaddid untuk kurun itu dan ini, kita hormati pandangan mereka. Dalam dakwah Tajdid Segar, perbalahan untuk menentukan ‘tokoh akulah yang paling layak menjadi mujaddid’ bukanlah menjadi agenda (Lihat DAKWAH TAJDID SEBENAR http://protajdid.blogspot.com/2007/04/dakwah-tajdid-sebenar.html ). Jika tidak, perangai kita sama saja dengan kaum Salafi Wahhabi @ Wahabi yang mana memperjuangkan perkara-perkara kurang bermanfaat menjadi KEUTAMAAN dakwah mereka.


Perjuangan mentajdid diri, keluarga, masyarakat dan umat jauh lebih penting daripada perjuangan menentukan mujaddid ataupun membahaskan semula perkara-perkara yang sudah ada keputusan (iaitu KHILAF sebagaimana bawaan kaum Salafi Tua). Jika ada keluangan masa untuk berehat setelah penat berjuang, ketika itu bolehlah diisi dengan membincangkan perkara-perkara kurang penting seperti menentukan mujaddid ataupun menilai keputusan khilaf ini. TAPI… pada zaman ini masih wujudkah RUANG UNTUK BERISTIREHAT daripada berjuang? Jika benar anda pejuang, anda akan mendapati bahwa RUANG tersebut hampir-hampir tidak ada. http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/08/14/berapa-nilai-masa-pada-anda/#comment-355 .


Salah seorang yang tidak kita nafikan mempunyai idea-idea pembaharuan dan penyegaran yang baik pada masa kini ialah Ustaz Ashaari Muhammad (pengasas Darul Arqam dan kini Rufaqa’). Walaupun ajarannya ialah satu tariqat sebagaimana tariqat-tariqat lain, tetapi kelebihannya ialah ‘minda’ Ustaz Ashaari ini membawa pembaikan dan penyegaran yang pesat dalam semua aspek kehidupan Muslim- tidaklah tertumpu kepada hal ehwal tariqat dan hakikat sahaja. Banyak perkara baru yang tidak terfikir untuk dibawa oleh kelompok-kelompok lain berjaya direalisasikan sama dan pada zaman Darul Arqam mahupun zaman Rufaqa’. Zawiyah yang agak hebat pernah muncul dalam sejarah ialah di Uzbekistan pada zaman Syeikh Bahauddin Naqsyabandi dan tentunya pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Constantinople).


Jemaah Tabligh sendiri asalnya dan hingga kini adalah sebuah aliran tariqat, tetapi pembaharuan bijak yang dibuat oleh Maulana Muhammad Ilyas menjadikannya sebegitu rupa hari ini hinggakan kadang-kadang ahli-ahlinya sendiri tidak tahu hal tersebut. Tariqat tidak diperturunkan kepada semua ahli sebagaimana umumnya tariqat-tariqat lain kecuali kepada yang berkelayakan sahaja. Hal ini membuatkan usaha mereka untuk memperbaiki masyarakat awam begitu pesat dan berkesan. Golongan bawahannya sangat aktif lagi berkesan ke serata dunia menyebarkan dakwah asas agama Islam.


Di kala kebanyakan jemaah tariqat lain masih mengekalkan modul dan amalan yang mereka perolehi daripada para pendahulu mereka ratusan tahun yang lalu, Maulana Muhammad Ilyas, Ustaz Ashaari Muhammad dan asy-Syahid Hasan al-Banna membuat pentajdidan.


Memuji apa yang baik daripada Ustaz Ashaari Muhammad tidaklah menjadikan saya seorang pengikut apatah lagi pentaksubnya. Hal ini boleh disaksikan dalam puisi saya…


PABILA KUAMBIL SESUATU


Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari
Itu bukan bermaksud temanmu ini ahli Rufaqa’
Jika kunyatakan kebaikan poligami
Bukan hujahnya aku pengikut al-Arqam

Pabila kulilit serban hitam di kepala
Itu bukan bererti aku pengikut Syiah
Kalau kaulihat aku menyokong Saidina Ali
Tidak bermakna temanmu ini pendokong Syiah Imamiah

Pabila mataku dihiasi celak
Apa buktinya aku seorang karkun?
Kaulihat jubahku seperti jubah Maulana Mustaqim
Jangan kauhukum aku ahli jemaat Tabligh

Pabila kusering mencontohi al-Banna
Tidak semestinya aku banyak menyetujui Qardhawi
Memang buku-buku Ikhwan rujukanku
Mana kalian tahu aku salah seorang saudara mereka?

Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz
Mestikah aku bertaqlid penuh Ustaz Hadi Awang?
Kelibat aku selalu ada di ceramah
Tidak semestinya PAS platform perjuangan utamaku

Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku
Tidak semestinya aku orang tariqat
Penampilanku yang biasa berjubah dan berserban
Jangan anggap kumenolak tali leher dan t-shirt

Pabila aku mengendalikan usrah
Bukan ABIM dan JIM saja yang berusrah
Ma’thurat menjadi aurad harianku
Adakah ISMA naunganku?

Pabila anak-anakku berpakaian tentera
Takkanlah aku terus menjadi al-Qaeda?
Ketika kumenulis kebaikan Taliban
Mestikah aku pendokong gerakan mereka?

Pabila kusokong Lasykar Jihad
Tidak kusokong wadah Wahhabi
Kalau kusokong beberapa fatwa Saudi
Ketahuilah temanmu ini bukan Salafi Lapok

Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin
Takkanlah itu menunjukkan aku pentaksub Syeikh Nazeem
Kaulihat hatiku berzikir khafi Allah Allah
Bukan maksudnya kudatang dari Naqsyabandiyyah

Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO
Janganlah anggap temanmu ini pengundi Barisan
Seandainya kusokong langkah-langkah baik pemerintah
Jauh sekali untuk aku berfaham sekular

Aku…
Mengambil apa yang baik dan relevan
Yang berkesan buat diriku dan umat Islam

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”

3 JUN 2007


Apa yang tidak kena dengan ‘minda’ Abuya tetap kita saring dan jika berpeluang membuat teguran dan pembetulan. Secara peribadi, saya memandang masalah-masalah yang menjadi penghalang kepada dakwah Ustaz Ashaari berpunca daripada kelemahannya mengatasi FITNAH ALAM MALAKUT atau apa jua nama yang semaksud dengannya (pemahaman tentang fitnah alam tersebut sedikit-sebanyak boleh diteliti dalam buku ‘ Mengenal Diri dan Wali Allah’ oleh Ustaz Mustafa Muhammad al-Jiasi al-Ahmadi). Hasil daripada kelemahan inilah yang menjadikan dakwahnya tidak sampai ke mana walaupun dia mempunyai kelebihan berbanding kebanyakan ulama lain. Jika Ustaz Ashaari berjaya mengatasi fitnah alam malakut ini, tidak mustahil dia salah seorang calon mjaddid untuk kurun ini. Hal ini tidaklah saya berminat untuk memanjangkannya di sini ataupun di mana-mana. Jika pihak Ustaz Ashaari merasakan ada kebenaran, buatlah koreksi. Jika tidak, terpulang saja.


Dakwah Ikhwan yang unik ini membuatkan idea-idea Ikhwan bersifat global. Ulama-ulama Ikhwan juga dianggap ulama oleh kalangan bukan Ikhwan dan meniti juga di bibir masyarakat umum. Antaranya Imam asy-Syahid sendiri, asy-Syahid Syed Qutb (pengarang tafsir Fi Zilail Quran) , Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Said Hawa, Dr. Yusuf Qardhawi, Syeikh Wahbah az-Zuhaili, asy-Syahid Abdullah Azzam (master-mind jihad Afghanistan menentang Soviet), asy-Syahid Syeikh Ahmad Yaaseen (pemuka HAMAS), Syeikh Mustafa Siba’ie, Syeikh Sayyid Sabiq (pengarang Fiqh Sunnah) dan banyak lagi. Buku-buku mereka tersebar ke seluruh dunia dan menjadi rujukan malah ada jemaah yang menjadikan silibus dalam tarbiah mereka.


Bukan dengan niat untuk merendahkan-rendahkan tetapi sebagai wadah pembuka fikiran, cuba kita lihat tokoh-tokoh jemaah lain. Adakah mereka dikenali dan idea-idea mereka diterima sebagaimana tokoh-tokoh Ikhwan dikenali dan dipakai? Saya sering menguji pengetahuan orang ramai tentang hal ini dalam sembang-sembang santai bersama mereka.


Individu yang bergerak dalam satu-satu jemaah biasanya kenal dengan tokoh-tokoh jemaahnya dan mereka juga biasanya sekurang-kurangnya pernah mendengar tentang tokoh-tokoh Ikhwan mutaakhir ini. Daripada pemerhatian saya, nama yang mungkin dikenali daripada Hizbut Tahrir hanyalah Syeikh Nabhani. Itupun sangat sukar untuk mencari INDIVIDU YANG BUKAN HIZBUT TAHRIR (umum/ dunia/ sejagat) yang kenal dengan Syeikh Nabhani . Nama yang mungkin dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT daripada jemaah Tabligh hanyalah Maulana Muhammad Ilyas dan Maulana Muhammad Zakaria. Nama yang mungkin dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT daripada Jemaat Islami Pakistan mungkin Al-Maududi.


Nama yang mungkin dikenali UMUM /DUNIA/ SEJAGAT daripada Parti Islam Se-Malaysia, rasanya tidak ada. Tokoh-tokoh PAS dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT di Malaysia dan sekitarnya sahaja. Yang BUKAN UMUM di luar negara mungkin banyak yang kenal dengan pimpinan PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang. Namun begitu, adakah idea-idea PAS dimanfaatkan mereka sebagaimana mereka memanfaatkan idea-idea Ikhwan? Tidak juga. Nama yang mungkin dikenali UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT (mereka yang bukan daripada dunia tariqat) daripada dunia tariqat keseluruhannya mungkin Syeikh Nazeem. Kalau dipecah-pecahkan lagi dengan mengambil satu-satu tariqat, UMUM/ DUNIA lebihlah tidak kenal. Tapi kita tidak nafikan yang nama tokoh-tokoh dunia agama Islam ini harum mewangi dalam kalangan mereka sendiri dan juga masyarakat sekitar lokasi aktiviti mereka, cuma tidak di peringkat UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT. Bagi orang-orang keagamaan pula, nama-nama ini memanglah biasa mereka dengar.


Bagaimana dengan tokoh-tokoh Salafi Wahhabi @ Wahabi? UMUM/ DUNIA/ SEJAGAT tidaklah mengenali mereka malah idea-idea mereka juga tidak menjadi perhatian mana-mana jemaah utama dunia Islam. Mereka dikenal dalam kelompok mereka sahaja dan dalam kalangan masyarakat sekitar yang terkena tempias aktiviti-aktiviti mereka. Apatah lagi kaum ini bukanlah sebuah jemaah mahupun gerakan Islam, hal ini membuatkan mereka tidak ada satu silibus tarbiah yang boleh diambil manfaat oleh selain kaum Salafi Wahhabi. Jika mereka menyusup ke dalam mana-mana jemaah Islam pun, jarum-jarum halus dakwah dan dakyah mereka diselitkan melalui silibus sedia ada jemaah tersebut sahaja. Kerja mereka menjadi lebih mudah sekiranya sesuatu jemaah itu memang tiada silibus khusus untuk ahli-ahlinya. Kumpulan yang anda sertai selama ini ada silibus yang tersusun rapi?


Kalau ada, bagus. Teruskan. Kalau tidak ada, sebaiknya kita MENAMBAHKAN MASA untuk MEMBUAT PENILAIAN DAN PERUBAHAN terhadap gerak kerja jemaah dan keberkesanannya. Tiada silibus dakwah bermaksud sesuatu jemaah itu berjuang dengan bermodalkan semangat dan isu semasa, bukannya bermodalkan tarbiah dan pemahaman.


Banyak pihak khususnya di Nusantara ini berasa kagum dengan kejayaan mengejut Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dalam pilihanraya Indonesia. Tahukah kita siapa di belakang PKS, ataupun dalam kata yang lebih tepat… siapa PKS sebenarnya?
PKS ialah cabang Ikhwan di Indonesia. Puluhan tahun mereka mengusahakan tarbiah sebelum menjelmakan diri sebagai sebah parti politik. Mereka punyai ahli-ahli teras yang terdidik dengan manhaj Ikhwanul Muslimin. Untuk mendapat kejayaan seperti itu ataupun lebih lagi, mahu tidak mahu kita terpaksa memakai sebahagian besar daripada apa yang mereka usahakan. Banyak lagi parti-parti berhaluan ‘Islam’ yang lebih dahulu wujud berbanding PKS, mengapa PKS yang menjadi pilihan di Indonesia? Sama-sama kita fikirkan dan BUAT PERUBAHAN.


Dulunya Ikhwan mempunyai banyak premis, kilang-kilang, media cetak dan lain-lain sebagaimana yang ditunjukkan oleh Darul Arqam dan Rufaqa’, malah jauh lebih banyak dengan keanggotaan jutaan orang di seluruh dunia Arab (Darul Arqam lebih kurang 10,000 orang). Tentera sukarelawan Ikhwan berjaya mengalahkan tentera Israel dan hampir-hampir menguasai Baitul Maqdis. Di kala tentera Ikhwan sudah boleh melihat bumbung Al Aqsa, tiba-tiba perang diberhentikan dan mereka dipanggil pulang. Begitulah permainan politik pemerintah dengan kuasa Barat. Pulang sahaja, ribuan orang ditangkap, dibunuh dan diseksa dalam penjara. Semua premis Ikhwan ditutup, dirampas ataupun dimusnahkan. Atas sebab itu, Ikhwan terpaksa bergerak secara ‘bawah tanah’. Namun dari sehari ke sehari Ikhwan semain kuat dengan jutaan anak didik mereka di seluruh dunia hari ini.


Bersambung ke bahagian terakhir...

No comments: