Friday, December 2, 2011

Merelakan Kehadiran dan Konsert Elton John

Beberapa tahun lalu seorang sahabat menceritakan pengalamannya menuntut di salah sebuah universiti tempatan. Di universiti itu dia melibatkan diri dalam sebuah perkumpulan mahasiswa Islam. Selalulah dia mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Pada suatu hari dia tidur di bilik salah seorang pemimpin perkumpulan mahasiswa Islam tersebut. Ketika itu hanya ada mereka berdua. Dalam lena tak lena, dia terasa dirinya ditindih dan diraba oleh seseorang. Sungguhpun begitu, dia tidak terus bangun tetapi berlagak seolah-olah sedang sangat keletihan dan tidak sedar apa yang berlaku.

Sahabat saya ini curi-curi melihat. Terkejut betul dia kerana orang yang sedang berbuat perlakuan tidak senonoh itu ialah pemimpin mahasiswa tadi. Mana tidaknya, pemimpin mahasiswa itu memang terkenal dengan imej solehnya dan selalu memakai serban dan jubah.

Nasib baiklah perlakuan itu tamat di situ sahaja, sekadar ditindih dan diraba. Sahabat saya ini terus buat-buat lena sampailah dia betul-betul terlena. Tamat kisahnya, sekadar pembuka bicara kali ini.

Perkara yang salah dan membawa kesan buruk, kepada orang bukan Islam pun tidak boleh disebarkan. Jika seorang muslim menulis sebuah buku tentang cara-cara memajukan negara, Islam tidak membolehkannya memasukkan ke dalam bukunya tentang cara-cara memajukan negara melalui industri perjudian dan pelacuran. Dia boleh sahaja memasukkan cara-cara memajukan negara melalui pelancongan, kesenian, persejarahan dan lain-lain, tapi bukan melalui perjudian dan pelacuran.

Apabila dibantah oleh orang ramai, si penulis dan para pengikutnya mempertahankan isi buku itu dengan alasan ia ditulis bukan untuk orang Islam sahaja. Jadi, isi tentang perjudian dan pelacuran itu adalah untuk orang-orang bukan Islam memajukan negara. Bolehkah begitu? Perkara yang salah dan membawa kesan buruk, kepada orang bukan Islam pun tidak boleh disebarkan.

Elton John yang menjawat salah satu idola kaum gay bakal mengadakan konsert di negara ini, berbetulan pula dengan beberapa aktiviti tempatan yang menyokong kaum tersebut sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Bagaimana boleh seorang ilmuwan Islam tidak menentang kemasukan tokoh dan konsert ini, malah mengecam pula ilmuwan Islam lain dan orang ramai yang menentangnya?

Agama Islam membawa kebaikan dan memelihara kesejahteraan seluruh umat manusia, bukannya untuk umat Islam sahaja. Agama-agama yang menjadi anutan penduduk negara ini seperti Islam, Buddha, Tao, Confucious, Kristian, Sikh dan lain-lain tidak ada hubungan dengan homoseksual. Islam sendiri tidak membenarkan penganutnya menyebarkan kerosakan kepada orang bukan Islam. Mana boleh kita izinkan tokoh dan konsert sebegitu dengan alasan ia hanya untuk orang bukan Islam?

Apa pandangan orang bukan Islam? Kata mereka : “Ooo.. pandaiii! Orang Islam dia mau jaga, tapi orang bukan Islam dia setuju mau kasi rosak! Agama Islam memang ini macam kaa?”

Pandangan umat Kristian negara ini tersalur keluar melalui kenyataan tokoh mereka di http://satuumat.blogspot.com/2011/11/malaysia-seksualiti-merdeka-kerja-gila.html .

Ilmuwan Islam jenis ini memang memburukkan imej agama Islam dan penganutnya. Adakah fikirnya agama-agama lain dan para penganutnya menghalalkan produk bawaan ‘Syeikh’ Elton John itu? Tidakkah ia satu penghinaan berat terhadap mereka? Tolonglah jangan malukan agama dan umat Islam.

Abu Zulfiqar

3 November 2011

MALAYSIA - Seksualiti Merdeka Kerja Gila

KOTA KINABALU 2 Nov. - Penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November depan bukan sahaja dikecam hebat oleh umat Islam, tetapi agama lain termasuk Kristian.

Tokoh Kristian Sabah, Webley Disim berkata, ia satu kerja gila dan jelas bertentangan dengan kepercayaan semua agama di seluruh dunia yang tidak menghalalkan hubungan sejenis.

Katanya, pendekatan yang cuba dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu perlu ditentang sekeras-kerasnya supaya ia tidak merosakkan akhlak semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia yang mudah terpengaruh.

Menurut beliau, setiap agama mempunyai kitab suci masing-masing yang memerintahkan untuk berlaku baik dan tidak membenarkan mereka melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat.

“Amat jelas, menghalalkan perkara yang tidak dibenarkan oleh agama seperti hubungan sejenis adalah satu perkara biadab dan ia jelas sekali bertentangan dengan norma kehidupan.

“Saya menentang keras tindakan terkutuk itu dengan menganjurkan program yang jelas terpesong dan merosakkan akhlak setiap penganut yang mempercayai kitab ajaran agama masing-masing. Ini sangat melampau,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu cuba mempromosikan program Seksualiti Merdeka 2011 yang 1 hingga 13 November depan.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti diatur seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Mengulas lanjut, Disim berkata, sekiranya sesuatu program yang dianjurkan bertentangan dengan ajaran di dalam kitab suci, maka ia perlu ditolak dan diketepikan demi memastikan ia tidak mengkucar-kacirkan kehidupan.

Selain itu, katanya, penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 jelas mengaibkan bangsa Malaysia yang terkenal dengan tatasusila dan kesopanan dalam kehidupan seharian.

“Ia benar-benar memalukan saya sendiri sebagai bangsa Malaysia yang menitik beratkan nilai dan etika kehidupan normal. Sekali lagi saya tegaskan, saya menentang keras program seumpama itu.

“Malah saya berharap kerajaan membendung gejala tidak sihat ini dengan kadar segera dan dapat mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba menganjurkan program seumpama itu,” katanya.

http://satuumat.blogspot.com/2011/11/malaysia-seksualiti-merdeka-kerja-gila.html




sumber

No comments: