Saya dipilih untuk menjadi imam dan membacakan khutbah pada 1 Syawal yang lalu.
KHUTBAH PERTAMA
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan berusaha untuk mengerjakan segala perintah-Nya dan berusaha untuk meninggalkan segala larangan-Nya, semoga kita mendapat hidayah dan inayahnya di sepanjang usaha kita ini. Mudah-mudahan berkat petunjuk daripada-Nya akan memudahkan kita untuk melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. PETUNJUK yang dimaksudkan di sini adalah al-Quran dan as-Sunnah yang akan menjadi penyuluh jalan yang dilalui oleh umat Islam sebelum meninggalkan dunia ini. Dengan al-Quran dan as-Sunnah membolehkan seseorang muslim membezakan yang hak dengan yang bathil, yang benar dengan yang salah, yang halal dengan yang haram dan antara kesesatan dan petunjuk.
Hamba-hamba Allah yang dimuliakan,
Sambutan 1 Syawal adalah sambutan kemenangan dan hari seluruh umat Islam menyatakan kejayaan menundukkan hawa nafsu dengan mempamerkan laungan takbir dan tahmid bertali arus setelah melepasi satu ujian yang getir selama sebulan menempuh perjuangan.
Ini bukan sekadar kejayaan mengalahkan hawa nafsu tetapi juga kejayaan membina personaliti ampuh lagi tegar yang menyuntik kesabaran dan ketaatan sejati kepada Allah Taala. Hari ini adalah kesyukuran kita di atas anugerah Allah setelah kita berjaya melaksanakan perintah-Nya dan menundukkan kehendak syaitan dan kuncu-kuncunya. Setiap kali kujungan 1 Syawal semua umat Islam akan KEMBALI KEPADA FITRAH ASALNYA seolah-olah diri dan jiwa mereka baru dilahirkan bagai sehelai kain putih bersih tanpa pencemaran dosa dan maksiat hasil daripada amalan dan ibadah yang silih berganti siang dan malam pada bulan Ramadhan yang lalu.
Gunakanlah hasil yang dipetik daripada tarbiah madrasah Ramadhan sebagai bekal untuk menghaapi kehidupan di bulan-bulan seterusnya dan mempertingkatkan lagi jihad dan mujahadah menuju redha Allah SWT. Pada saat kemenangan kita pada hari ini marilah kita merenung ayat Allah Taalah di dalam surah al-Maaidah ayat 54-56:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya, maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia. Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Yang demikian itu aalah limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana Allah maha luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya.”
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).”
“Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, golongan itulah yang akan tetap akan sentiasa menang.”
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Allah Taala menyebut secara terperinci sifat-sifat GOLONGAN ISLAM YANG WAJIB DIIKUTI OLEH KITA orang-orang Islam. Marilah kita merenung ayat tersebut dan MEMBANDINGKANNYA DENGAN GOLONGAN-GOLONGAN YANG ADA di atas muka bumi pada hari ini, supaya kita dapat mengenal muka-muka yang menjadi golongan yang mentaati perintah Allah dan muka-muka yang tergolong daripada golongan yang membenci Allah, dan mereka itu sudah pasti dimurkai oleh Allah.
SIFAT PERTAMA golongan yang mesti kita ikuti:
Iaitu Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah.
Siapakah yang benar-benar dikasihi oleh Allah dan mereka pula kasih kepada Allah? Hanyalah mereka yang patuh kepada ajaran Rasulullah yang layak mendapat kasih saying Allah seperti firman Allah di dalam surah Ali ‘Imran ayat 31:
“Katakanlah wahai Muhammad: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Untuk mengikut Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh ikutan umat Islam itu, ia mestilah bermula daripada mengucap dua kalimah syahadah sehinggalah kepada MENDIRIKAN NEGARA ISLAM YANG MENDAULATKAN SYARIAT ISLAM. Para sahabat yang menjai pengikut Rasulullah bukan sahaja pandai mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan sembahyang, puasa, zakat dan haji tetapi mereka juga turut berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk menyokong perjuangan Rasulullah mendirikan daulah Islamiah.
Tidak ada tempat bagi orang-orang yang mengaku Islam tetapi bertindak mengetepikan Islam dalam kehidupan seharian mereka, maka jadilah Islam sekadar tempelan yang akan melemahkan umat Islam sendiri. Golongan ini pada hari kiamat dihalau oleh malaikat daripada mendatangi kolam al-Kauthar, yakni kolam Nabi Muhammad SAW, yang sekiranya sesiapa dapat meminum daripadanya tidak akan dahaga buat selama-lamanya.
Apabila Rasulullah SAW melihat mereka dihalau, baginda berkata: “Umatku! Umatku! Mengapa mereka dihalau? Malaikat berkata: “Wahai Muhammad. Engkau tidak tahu, sesungguhnya mereka itu menyeleweng aripada ajaranmu selepas kewafatanmu.”
SIFAT KEDUA golongan yang mesti kita ikuti:
Mereka berlemah-lembut sesama orang-orang beriman dan bersifat tegas terhadap orang-orang kafir.
Maka bukanlah daripada golongan Islam mereka yang hanya bersifat keras dan berani menghadapi golongan Islam tetapi pengecut dan dayus ketika berhadapan dengan golongan bukan Islam.
(* Ada satu golongan dari Timur Madinah yang memberontak kepada khalifah Uthmaniyyah ataupun menyerang satu wilayah daulah Islam ketika itu iaitu wilayah Hijaz, begitu ganas menyerang dan membunuh ulama dan umat Islam di dua kota suci termasuklah keturunan Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah menunjukkan kegarangan mereka kepada musuh-musuh Islam seperti Amerika dan Zionis. Malah membenarkan pula tentera pengganas Amerika berpusat di negara mereka untuk menyerang negara Islam lain)
Muslimin dan muslimat sekelian,
Hubungan persaudaraan kita sesama umat yang mengucap dua kalimah syahadah mestilah dipelihara dan disuburkan. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
SIFAT KETIGA golongan yang mesti kita ikuti:
Mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela.
Berjihad maksudnya bersungguh-sungguh memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah dengan mengorbankan apa sahaja nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Jihad bukan satu jalan yang senang, tetapi dipenuhi oleh ranjau dan duri, tidak dihampari engan permaidani merah. Bukan orang yang berjihad pada jalan Allah seiranya memilih jalan yang senang, jalan yang dipuji oleh musuh-musuh Islam.
Suah menjadi tabiat bahawa para pejuang akan mendapat celaan di mana-mana sahaja. Biar apa dikatakan orang, perjuangan wajib diteruskan. Ya, inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Rasulullah sendiri dihina, dituduh tukang sihir, dituuh pemecah-belah masyarakat dan sebagainya.
SIFAT KEEMPAT golongan yang mesti kita ikuti:
Golongan tersebut menjadikan pemimpin mereka ialah Allah dan Rasul-Nya, DAN orang-orang yang beriman yang taat kepada Allah dan Rasul sepenuhnya.
Taat kepada Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak, tidak boleh berbelah bagi. Sementara taat kepada pemimpin pula dengan syarat pemimpin itu taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Pada hari ini, kita melihat ada dalam kalangan umat Islam yang PATUH KEPADA PEMIMPIN SECARA MELULU, tanpa mengira sama ada mereka yang menjadi pemimpin itu patuh atau tidak kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka patuh kepada pemimpin yang tidak bersembahyang, tidak mengeluarkan zakat, tidak mengerjakan haji, berada di dalam majlis-majlis hiburan dan maksiat, malah melakukan maksiat. Maka berlakulah ketaatan dalam perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Muslimin dan muslimat yang berbahagia,
Marilah kita merenung kembali siapakah golongan yang mempunyai sifat-sifat yang tersebut itu supaya kita benar-benar berada dalam golongan yang betul-betul mahu memperjuangkan Islam dan mempertahankannya, kerana Rasulullah bersabda di dalam sebuah hadis yang panjang daripada Huzaifah ibnu Yaman yang antara petikannya:
“ Hendaklah kamu bersama kumpulan orang-orang Islam dan pemimpin mereka.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadis lain riwayat Imam Muslim pula, yang maksudnya:
“Akan tetap ada satu golongan daripada umatku yang tetap berada atas kebenaran. Mereka tidak akan berjaya dihalang oleh sesiapa yang menentang sehingga datang keputusan daripada Allah.”
KHUTBAH KEDUA
Alhamdulillah, puji dan syukur kehadrat Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat kebahagiaan dan kegembiraan pada pagi hari raya yang penuh dengan keberkatan ini.
Kegembiraan yang pertama ialah gembira kerana pada hari ini kita telah menyelesaikan suatu tugas yang diamanahkan kepada kita untuk melaksanakannya dengan sempurna iaitu ibadah puasa pada bulan Ramadhan dan seterusnya dapat meningkatkan amal ibadah dan taqwa kepada Allah SWT.
Kegembiraan yang kedua ialah gembira kerana kita mendapat jaminan pengampunan daripada Allah SWT kerana telah berjaya melaksanakan puasa pada bulan Ramadhan.
Muslimin dan muslimat rahimakumullah,
Untuk memahami ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hendaklah kita belajar dan mengkaji secara bersungguh-sungguh, melalui saluran yang amanah, terdiri daripada ulama yang benar-benar beramal dengan ajaran Islam. Kita perlu berhati-hati terutama pada zaman ini yang dipenuhi oleh ramai ahli ilmu Islam tetapi tidak beriman dengan ajaran Islam.
Mereka seperti kaum orientalis Barat yang belajar Islam sehingga ada yang menghafaz al-Quran dan menguasai bahasa Arab dengan tujuan untuk mencari seiranya ada ruang-ruang untuk menghentam dan memburukkan Islam bagi menimbulkan keraguan orang-orang Islam terhadap agama mereka.
Begitu juga dengan virus-virus daripada alaman agama Islam sendiri seperti fahaman Syiah, Ahmadiah Qadiani, Salafi Wahabi, Sekular dan Liberal, ajaran-ajaran sesat dan lain-lain lagi (Virus 6 Beradik).
Ulama jahat yang terdiri daripada kalangan orang-orang Islam sendiri yang dinamakan oleh Imam al-Ghazali dengan panggilan ulama’ suuk atau ulama dunia. Mereka mencari kepentingan dunia dengan membelakangkan akhirat dan menyembunyikan hukum Allah.
Mereka diam seribu bahasa terhadap kemungkaran dan maksiat yang berlaku di hadapan mata mereka. Mereka bolehlah disifatkan sebagai syaitan bisu. Hendaklah kita berhati-hati dan berwaspada terutamanya pada zaman ini yang penuh dengan fitnah dan bencana, ada manusia yang menjual agama dengan harga yang sangat murah.
Sidang jemaah yang berbahagia,
Menjadi kewajipan ke atas setiap muslim, menyambut kedatangan tetamu dengan perasaan gembira serta wajah yang manis berseri sambil bertanya khabar berita dan menyajikan hidangan yang termampu oleh kita. Dan apabila tetamu hendak pulang, eloklah mereka dihantar hingga ke pintu rumah serta mengiringinya dengan doa.
Kaum muslimin yang dihormati,
Jika menyambut tetamu ada dengan adab-aabnya, maka sebagai pengunjung pula ada juga adab-adabnya. Antaranya member salam terlebih dahulu dan bersalaman dengan orang yang dibolehkan oleh syarak sahaja kerana adalah haram bersalaman dengan yang bukan mahram termasuklah sepupu dan ipar duai. Waktu berziarah pula biarlah sesuai dan jangan duduk terlalu lama. Pandangan juga hendaklah dijaga serta menggembirakan tuan rumah dengan kata-kata yang manis dan baik.
Saudara-saudara yang berbahagia,
Di samping kesibukan dan keseronokan berziarah dan meraikan hari raya yang berbhagia ini, kita juga perlu ingat jangan sampai lalai sehingga kita meninggalkan kewajipan kita sebagai umat Islam dan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan hari raya ini seperti meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mengumpat, hasut-menghasut, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, pakaian yang ketat dan sendat, bertabarruj iaitu bersolek-solekan, menghidangkan hidangan yang haram dan bermacam-macam lagi kemungkaran. Demikianlah sebahagian daripada perkara-perkara yang perlu kita hindari. Semoga hari raya yang kita rayakan benar-benar akan membawa berkat dan kesejahteraan kepada semua.
Para jemaah yang dirahmati Allah,
Bersempena hari raya Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita saling bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan. Buang yang keruh, ambil yang jernih, lupakanlah sebarang persengketaan.Ingatlah bahawa ikatan persaudaraan yang dijalin berlandaskan agama Islam akan melahirkan perpaduan yang kukuh dan akan melahirkan keluarga dan masyarakat bahagia, penyayang dan harmoni dan seterusnya akan mewujudkan umat yang kuat dan negara yang aman makmur, penuh dengan rahmat dan pengampunan serta lindungan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 15 yang berbunyi:
“Makanlah dari rezei pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya. Negeri kamu ini adalah negeri yang baik dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Pengampun.”
Ya Allah, turunkanlah rahmat, sakinah, keselamatan dan keafiatan kepada kami semua khususnya sultan kami Paduka Seri Sultan.......
Ya Allah, berikanlah ketenangan, keamanan dan kebaikan kepada negeri kami, negara Malaysia dan negara-negara umat Islam khususnya mereka yang tertindas di Selatan Filipina, Selatan Thailand, Xinjiang di China, Burma, Afghanistan, Iraq, Chechnya dan lain-lain (terlupa sebut Palestin, itu lagi penting).
1 comment:
salam...jemput ke http://syathibie.blogspot.com/
Post a Comment