Dosa Orang Berilmu
Mutakhir, saya menyaksikan bebondong-bondong manusia mendaftarkan diri sebagai pelajar Sarjana dan calon Doktor Falsafah di sebuah Universiti Awam. Lalu terfikir dibenak saya, tujuan saya dan mereka menyambung pengajian.
Saya berbual bersama seorang calon Doktor Falsafah. “MASYA’ALLAH, pada usia 38 tahun Tuan telah memulakan pengajian PhD, apa matlamat Tuan dalam hidup..”. Jawab beliau; “Gelaran Doktor kot. Biasalah, zaman moden ni, orang nak dengar latarbelakang pendidikan. Kalau ada gelaran-gelaran ni, mudah sikit cari makan, naik jawatan.. (sambil tersenyum)”
Dalam peristiwa lain pula, ada di kalangan manusia yang menyembah manusia. Dia tidak sedar bahawa dia menyembah manusia, tetapi apabila dikatakan kepadanya, dia tetap menafikan. Begitulah kilauan harta dan pangkat. Manusia sanggup melakukan apa sahaja deminya. Mereka dengan rela ditunggang gelojak nafsu walaupun dengan mengenepikan persaudaraan serta persahabatan yang telah lama dibina.
Kasihan mereka, bersusah payah mereka mengejar dunia yang dicita. Terlihat kebodohan mereka, di antara menimbunkan harta dan mengumpulkan pahala. Tetap terlihat dimatanya dosa, lalu berlumba-lumba mereka dapatkannya. Ditabur fitnah, ditambah pelbagai cerita demi memastikan para pesaingnya dimatikan karakter.
Aduhai manusia, mengapakah kau letakkan kemuliaan dirimu didepan penguasa. Tidak sedarkah kamu bahawa penguasa tidak engkau cinta, tetapi yang engkau cintakan ialah kemampuan penguasa itu memberikanmu “segred” pangkat. Itu pun jika si penguasa masih ALLAH izin untuk terus bernyawa memenuhi kegelojohanmu.
Jujur, saya juga merupakan seorang pelajar juga pekerja yang memegang amanah. Cetusan ini sebagai peringatan agar saya tidak tersasar, dimulut berkata benci dunia, dihati erat mengenggam kemanisannya. ALLAHU ALLAH, mohon jauhkan sikap buruk ini dari diri.
Ketika ini, saya teringatkan pesan guru saya, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi ketika mensyarahkan kitab Bustanul Ariffin dalam satu siri pengajian di Pondok Derang. Menurut beliau dalam hadith riwayat Imam Ahmad menyebutkan, para Nabi, para ulama dan para syuhada memiliki keistimewaan untuk memberikan syafaat di akhirat kelak. Ini merupakan bukti ketinggian kedudukan ulama selepas para Nabi dan syuhada. Ini merupakan pengkitirafan terhadap ulama tanpa sijil.
Begitu pula halnya dengan orang-orang berilmu yang mempelajari al-Quran. Pelik, kerana mereka dilemparkan kedalam api neraka disebabkan mereka mempergunakan ilmu yang mereka miliki agar mereka mendapat pujian dari manusia.
Dari Anas bin Mali R.A dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Baginda Bersabda :
Malaikat Zabaaniah [Malaikat yang menyeksa orang yang berdosa dalam neraka] lebih dekat kepada pembaca Al-Quran yang derhaka berbanding penyembah berhala. Maka mereka berkata, mengapa kami didahulukan diseret ke dalam neraka berbanding penyembah berhala. Maka, Malaikat Zaabaniah menjawab pertanyaan mereka. Orang yang mengetahui hokum tidak sama dengan yang tidak mengetahui.
[H.R Thabrani dan Abu Na’im]
Lihatlah, dua kumpulan yang mempelajari ilmu, namun nasib akhir berbeza. Sebuah kumpulan ulama berada dibelakang kedudukan para Nabi, sementara yang lainnya berada di dasar api neraka.
Kedua-dua perbuatan mereka baik, namun apa yang membezakan keduanya ? Itulah niat dan tujuan mereka. Para ulama yang ikhlas, menjadikan ilmu yang mereka miliki sebagai modal untuk menghidupkan syariat Islam di tengah-tengah kehidupan masyarakat.
Ada di antara ulama yang menginginkan ajal yang datang ketika mereka sedang menyebarkan ilmu. Ada pula yang sedang menghadapi sakaratul maut segera menyuruh muridnya membacakan kitab atau segera mendakap kitab sebagai “ulangkaji” akhir sebelum bertemu Rabb nya. ALLAHU ALLAH.
Persoalannya bagaimana pula saat tibanya kematian kita yang sedang berusaha merai dan menggembirakan ketua jabatan semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan jawatan. Akhirnya mati dalam kemalangan dengan timbunan keinginan keduniaan. Jauhkan kami Ya ALLAH.
Maka, pusatkanlah perhatian kita terhadap usaha memperbetulkan niat. Para arifbillah menyatakan ; “Ucapkan kalimatmu agar ALLAH membenarkanmu, bukan agar manusia membenarkan kalimat-kalimatmu”. Maksudnya dengan mengutamakan ALLAH dalam setiap keadaan.
Peribadi para ulama amat berakhlak dan tidak sesekali mereka melalaikan syariat ALLAH. Mereka belajar dari guru ke guru yang lain, zaman demi zaman, hingga sampai ilmunya kepada Saydina Rasulullah . Jalan dakwah mereka adalah semata-mata ikhlas kerana ALLAH. Jalan mereka bukan jalan yang keras tetapi penuh santunan lemah lembut. Tiada riak gentar dihati dan wajah mereka menghujam para penguasa yang ingkar akan sayariat ALLAH. Itulah beza Sarjana-pHD dan para ulama yang tenang tidak dipuji juga tetap sabar apabila dimaki.
Manusia yang berdakwah dengan menuruti kehendak masyarakat bagaikan meletakkan ilmu syariat mengikut kesesuaian kehendak masyarakat. Mereka mahu menjadi popular, lalu takut menegah kemungkaran si penguasa. Mereka mahu dikenali, lalu dikeluarkan pelbagai kritikan yang mencetuskan kontroversi serta tidak selari dengan kesapakatan ulama.
Sedangkan keberadaan ulama lebih luhur, lebih agung dan terhormat daripada pekerjaan-pekerjaan lain yang berusaha menghiburkan manusia dengan gelak ketawa dengan mengharapkan kemahsyuran dan kepingan wang. Tanpa Sarjana-pHd, para ulama tidak terjatuh sedikit kemuliaannya disisi ALLAH .
Guru-guru alfaqir pernah berwasiat; Berhati-hatilah, jangan kau curahkan perhatian objek dakwahmu terhadap dirimu. Curahkan perhatianmu pada apa yang wajib disampaikan dari hak-hak ALLAH . Jangan enkau nantikan ucapan terima kasih atau cercaan. Jika nasihat datangnya dari hati, pasti mengenai hati. Tetapi, andai ia hadir melalui lidah, ia tidak akan mampu masuk jauh ke hati tetapi terhenti di telinga para pendengar.
WALLAHU’a’lam.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم
Alfaqir ilallah: almukminun
21 Zulhijjah 1432H/17112011
http://almukminun.blogspot.com/2011/11/dosa-orang-berilmu.html
No comments:
Post a Comment