Friday, August 15, 2008

Di Sini Ada Bahagia

Ketika bermusafir di negeri orang, aku melihat damainya halaman kampung. Walaupun rumah seperti gobok, tidak semewah di banda-bandar besar. Tetapi riang ria kelihatan di memek muka orang yang tinggal di dalamnya. Dengan anak-anak kecil berlari, ditambah pula dengan suasana kehijauan alam. Di malam harinya tiada kebisingan yang menganggu istirehat.

Berlainan pula di bandar-bandar besar, banyak rumah banglo yang didirikan. Kereta besar yang menjalar di jalanraya. Tetapi penuh dengan haru biru bunyi hon kenderaan. Di sini ada jenayah yang berleluasa. Di rumah besar itulah juga rasanya seperti penjara, terpaksa diletakkan pelbagai cctv, penjaga rumah, didirikan tembok-tembok tinggi bersalut dengan kekaca untuk menghalang dari pencuri masuk. Makin kaya makin sempit jiwanya!

Ada orang yang terlantar di rumah sakit, tetapi mulutnya terkumat kamit dengan zikruLLah. Senyum sahaja dengan pelawat yang datang silih berganti sedikitpun tidak menunjukkan sakit yang dideritainya. Rupanya derita fizikal yang dirasai orang lain sebagai amat berat itu adalah ringan baginya.

Di mana letaknya bahagia itu?

Lumrah hidup manusia ingin mencari kebahagiaan. Orang mengatakan bahagia datang dengan kekayaan. Orang yang sakit mengatakan sihatlah yang memberi kebahagiaan, orang yang dijajah pula mencelah bahawa kemerdekaan adalah puncak bahagia, begitu juga orang yang dipenjara baginya kebebasan adalah bahagia.

Ahli jiwa barat seperti Abraham Maslow menyatakan bahawa kebahagiaan akan tercapai apabila manusia telah mencapai 'self actualization' melalui hirarki keperluan yang diperkenalkannya.

Ibnu Khaldun berpendapat : Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan ALlah dan perikemanusiaan.

Imam al Ghazali menyatakan : Bahagia dan kelazatan yang sejati ialah bilamana dapat mengingat ALlah.

Bahagia bukan datang dengan kebendaan

Adakah datangnya rasa bahagia dengan kemajuan materialistik? Di negara-negara maju seperti di Jepun yang hebat teknologinya seramai 6000 orang membunuh diri setiap tahun. (menurut penyelidikan yang dilakukan oleh Naoki Watanabe a1, Kazuo Hasegawa a1 and Yoko Yoshinaga a2
a1 Department of Psychiatry, Saint Marianna University, School of Medicine, Kawasaki, Japan. a2 Department of Public Health, Saint Marianna University, School of Medicine, Kawasaki, Japan).

Di Amerika pula, negara polis dunia yang menobatkan diri mereka adalah penjaga keamanan mempunyai masalah sosial yang tinggi seperti penyalahgunaan alkohol, dadah dicampur dengan berlakunya penyalahgunaan kuasa tentera yang sudah sedia diketahui dunia.

Manakala Dr Yusof al Qardhawi pula apabila dibuat penyelidikan dari ahli bijak pandai, beliau bertemu dengan seorang ahli fikir yang menyatakan bahawa pokok ketenangan jiwa itu adalah sesuatu yang disimpan oleh ALlah untuk diberikan hanya kepada orang-orang pilihanNya. Ramai orang yang diberi ALlah kepintaran, kesihatan dan harta yang banyak dan tidak kurang pula dengan kemahsyuran. Tetapi ketenangan jiwa hanya dikurniakan oleh ALlah dengan ukuran dan terbatas. Dari pendapat ahli fikir mereka semuanya berdoa : "Biarlah ya Tuhan, segala kesenangan dunia ini terletak di bawah tapak kaki orang yang bodoh. Dan kepadaku, berikanlah hati yang tidak pernah bergoncang!"

Bahagia ada di dalam hati yang tenang, iaitu hanya untuk orang yang yaqin bahawa dirinya akan dikembalikan kepada ALlah. Ketenangan jiwa tiada pada orang yang lemah iman, hidup akan merasa hampa dan putus asa. Berapa ramai manusia yang jiwanya bergoncang, akalnya kacau bilau walaupun di kiri kanannya adalah harta yang bertumpuk, isteri yang menawan, pangkat dan kehormatan yang dipandang manusia ramai.

Ramai manusia yang terpesona dengan kecantikan dunia yang sementara.

"Dan Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya, bukanlah untuk permainan belaka. Keduanya Kami ciptakan hanyalah dengan tujuan yang benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Ad Dukhaan :38-39)

"Adakah kamu mengira, bahawa Kami menciptakan kamu sebagai main-main? dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? " (Al Mukminin : 115)

Hebatnya orang beriman, ia faham tentang Islam, berbangga dirinya sebagai orang yang beriman. Tentulah dia tidak menyesal dengan mengikut apa yang diperintahkan ALlah dan RasulNya, kerana dia tahu, sumber ketenangan itu sudah ada di dalam hati yang mengakui ketuanan ALlah yang mutlak.

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨) فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى
(٢٩)
(وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى 


(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! (27)Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! (28) Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia (29) Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!(30)

sumber

No comments: