(Tajuk asal - Persoalan Sekularisme Dalam Pendidikan dan Kesusasteraan)
Dalam kertas ringkas ini insya’ Allah akan dibicarakan erti istilah sekularisme dan ciri-cirinya dan bagaimana manifestasinya mungkin timbul dalam pendidikan; juga apa bahaya-bahayanya dari segi ilmu dan budaya dan bagaimana perlu adanya langkah-langkah untuk menanganinya, supaya dengan itu kedudukan umat sebagai penganut wahyu dan nubuwwah dan Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul tidak terjejas dalam menjalani hidupnya dan menghadapi isu-isu dalam alaf baharu ini.
Makna Sekularisme dan Sekular Dalam Peradaban Barat.
Dalam The New Encyclopedia Britannica jld ix 1977, (macropaedia) terdapat kenyataan tentang Secularism bahawa ianya “Satu gerakan dalam masyarakat yang terarah mengelak diri daripada keakhiratan kepada keduniaan (from otherworldlinedss to this-worldliness).Dalam zaman tengah terdapat kecenderungan yang kuat pada orang-orang yang sangat kuat agamanya untuk memandang rendah urusan-urusan manusiawi dan bertafakur mengingati Tuhan dan alam akhirat.Sebagai reaksi terhadap kecenderungan zaman tengah ini, maka sekularisme pada zaman Renaissance, menzahirkan dirinya dalam perkembangan alirah humanisme, bilamana manusia mula menunjukkan minat yang lebih terhadap kejayaan-kejayaan budaya dan kemungkinan-kemungkinan pencapaiannya dalam hidup dunia ini.”
Dinyatakan bahawa “Gerakan kearah sekularisme telahpun berjalan dan berkembang maju dalam seluruh sejarah moden dan dipandang sebagai bersifat anti-Kristian dan anti-keagamaan.Bagaimanapun, dalam separuh kemudian abad ke-20 sebilangan ahli-ahli teologi Kristian mula mengenengahkan dan memperjuangkan agama Kristian yang sekular (“secular Christianity”) .Mereka mencadangkan bagaimana agama Kristian sepatutnya mempedulikan bukan sahaja apa yang suci (sacred) dan yang bersifat keakhiratan tetapi juga manusia sepatutnya mendapati dalam dunia yang sekular ini peluang untuk mempromosikan nilai-nilai Kristian.Ahli-ahli teologi ini berpendapat bahawa makna yang sebenarnya bagi mesej Jesus boleh ditemui dan dicapai dalam urusan hidup harian dalam kota yang sekular (secular urban living)” (hlm.19.)
Dalam Encyclopedia Americana, jld 24 halaman 510 terdapat kenyataan bahawa:
“Sekularisme ialah satu sistem etika yang diasaskan atas prinsip-prinsip moral yang tabi’I (bukan berdasarkan kepada wahyu-p) dan terbebas daripada agama yang diwahyukan atau daripada kepercayaan kepada alam ghaib (supernaturalism).Sekularisme mula-mulanya dikemukakan sebagai satu sistem falsafah secara formal oleh George J.Holyoake sekitar tahun 1846 di England.Dasarnya yang pertama ialah kebebasan berfikir itu hak bagi setiap orang manusia, untuk berfikir demi kepentingan dirinya sendiri.Terkandung sebagai implikasi dalam dasar ini ialah hak untuk berbeza pendapat dalam semua subjek berfikir.Hak ini ternafi tanpa adanya hak untuk menyatakan kelainan fikiran itu.Akhirnya sekularisme menegaskan hak untuk berbincang dan berdebat semua persoalan-persoalan yang penting berhubungan dengan kewajipan-kewajipan moral, kewujudan Tuhan, keabadian roh, dan otoritas dhamir (conscience) manusia”.
Dinyatakan bahawa”Sekularisme bukannya menegaskan bahawa tidak ada kebaikan lagi selain daripada kebaikan hidup dunia sekaran ini, tetapi ia menegaskan bahawa kebaikan hidup dunia sekarang ini ialah kebaikan yang benar-benar real, dan usaha untuk mendapatkan kebaikan itu adalah kebaikan pula.Ianya bermatlamat untuk mencari dan mencapai keadaan kebendaan yang di dalamnya menjadi mustahil untuk manusia menjadi terhalang daripada mendapat keperluannya atau menjadi miskin atau papa. Dalam hidup dunia ini katanya agensi-agensi kebendaan tidak boleh dikesampingkan tanpa mengakibatkan kebodohan atau kemudaratan, dan adalah kebijaksanaan, kasihan belas, dan tugas bagi manusia untuk menjayakannya.Ianya tidak menentang dasar-dasar agama Kristian (the postulates of Christianity) dan juga ianya tidak menyatakan bahawa tidak ada lagi cahaya atau bimbingan selain daripada yang ada daam alam tabi’i.Bahkan ianya mengajarkan bahawa ada terdapat cahaya dan bimbingan dalam kebenaran yang sekular (secular truth) yang hal-halnya dan hukuman-hukumannya memang wujud (whose conditions and sanctions exist) dengan bebas, bertindak secara bebas dan buat selama-lamanya”.
Dalam Oxford Dictionary of the English Language, jilid ix, 1970, hlm 365-367 Sekularisme ditakrifkan sebagai :
- “Ajaran bahawa moraliti hendaklah didasarkan hanya atas kepedulian terhadap kemaslahatan manusia dalam hidup di dunia ini sahaja, dengan mengecualikan semua pertimbangan-pertimbangan yang diambil daripada kepercayaan terhadap Tuhan, atau hidup dalam alam selepas mati.a.Sebagai nama bagi satu sistem kepercayaan yang diyakini dan diperpegangi, yang diperjuangkan oleh G.J.Holyoake (1817-1906) .b.Dalam pengertian yang lebih luas, ianya memaksudkan satu cara berfikir (mode of thought) yang berlebih kurang demikian sifatnya, yang diyakini secara implisit, dan diamalkan.
- Ajaran atau pandangan bahawa pendidikan ataupun pendidikan yang disediakan dengan dana awam (public fund) hendaklah bersifat sekular sahaja”
Tentang kata sifat “secular” atau sekular dalam Bahasa Melayunya,kamus ini memberi maklumat demikian :
“bermaksud ‘hidup keduniaan’ sebagai yang berlawanan dengan ‘gereja’.Sebagai kata sifat ianya bermakna ‘yang datang dari atau berkaitan dengan dunia’.
1. Tentang ahli-ahli gereja, mereka yang hidup ‘dalam hidup dunia’ dan bukannya ‘hidup dalam keadaan terpidsah daripada dunia dalam gereja’ (‘monastic seclusion ‘), yang berlainan daripada mereka ‘yang regular’ atau ‘yang keagamaan atau religious’; kalau abbot yang sekular maknanya seseorang yang bukan padri tetapi yang ada gelaran dan bahagian daripada pendapatan yang diberikan kepadanya, tetapi tidak berfungsi sebagai abbot (yang menjaga gereja).
Juga maknanya berhubung atau dari ahli kepadrian yang sekular (secular clergy).
2. Maknanya juga milik bagi dunia dan segala urusannya , yang berbeza daripada gereja dan agama; yang bersifat awam (civil), bukan padri (lay), dan keduniaan (temporal). Bila digunakan sebagai istilah secara negatif maknanya bukan-gereja (non-ecclesiastical), bukan keagamaan (ghair dini), atau bukan suci.
Dalam hubungan dengan sastera, sejarah, seni (terutama muzik), dan dengan itu para penulis atau artis, maknanya tidak mempedulikan atau tidak berkenaan atau tidak berkhidmat untuk kepentingan agama; tidak suci; keduniaan tidak suci (profane); dalam hubungan dengan bangunan-bangunan dan seterusnya maknanya tidak didedikasikan untuk kegunaan-kegunaan keagamaan.
Dalam hubungan dengan pendidikan dan pengajaran kata sekular ertinya yang berkaitan dengan matapelajaran yang bukan keagamaan(Dalam penggunaan yang baharu sahaja digunakan maknanya pendidikan dan pengajaran yang mengecualikan di dalamnya pendidikan keagamaan , atau yang mengecualikan pendidikan keagamaan daripada dijayakan dengan menggunakan dana awam).Kalau merujuk kepada sekolah, maka sekolah sekular maknanya sekolah yang memberi pendidikan sekular dalam erti di atas.
3. Ertinya juga dari atau milik dunia atau alam sekarang yang ada yang boleh dilihat (the present and visible world) yang berlainan daripada alam yang kekal abadi, atau alam kerohanian; bersifat keduniaan atau temporal, duniawi (worldly).
Yang mempedulikan hidup dunia ini sahaja; yang tidak spiritual.
4. Digunakan untuk menyebut apa-apa yang berkaitan dengan atau yang menerima ajaran sekularisme atau yang ‘secularistic’, ‘bersifat sekular’.
Juga bermakna dari atau milik bagi sesuatu zaman atau masa yang lama.
5. Berlaku atau dirayakan sekali sekali dalam satu zaman, satu abad, atau dalam masa yang terlalu amat lama.Seperti dalam ungkapan ‘permainan-permainan sekular’, secular games, drama-drama yang sekular (secular plays).
6. Hidup atau wujud lama dalam sesuatu zaman atau zaman berzaman .
7. Dalam penggunaan saintifik dinisbahkan kepada proses-proses perubahan, iaitu yang memakan masa yang terlalu lama; terus menerus zaman demi zaman.
Dalam astronomi merujuk kepada perubahan-perubahan dalam edaran-edaran atau zaman-zaman yang di dalamnya berlaku pusingan planet-planet;erti yang lebih kurang sama digunakan dalam geologi dan geografi fisikal.
Dalam Kamus yang sama kita boleh perhatikan penggnaan kata ‘secularization” atau sekularisasi. Ertinya ialah:
1. Mengubahkan sesuatu institusi kegerejaan atau keagamaan atau hartanya atau miliknya kepada milik atau penggunaan yang bersifat sekular (mungkin boleh dibandingkannya dengan penggunaan harta wakaf untuk tujuan-tujuan keduniaanh selain daripada tujuan asalnya-p); atau mengubahkan sesuatu negeri atau negara daripada pihak yang berkuasa gereja kepada pihak yang berkuasa yang bukan-gereja (‘lay’).
2. Memberikan ciri atau sifat sekular atau tidak suci atau memberikan arah yang sedemikian (kepada seni, pengajian dan seterusnya)’; atau meletakkan moral di atas asas sekular; atau membataskan pendidikan kepada matapelajaran-matapelajaran sekular sahaja.
3. Atau pengubahan seorang padri atau petugas gereja (eccelesistic) daripada kedudukan kegerejaan (regular) kepada kedudukan dan fungsi sekular.
Antara “sekularisme” dan “yang sekular”
Yang sekular itu tidak semestinya sekukarisme.Sudah diketahui bahawa sekularisme sebagai falsafah dan ideologi adalah kekufuran kerana ianya berupa faham atau falsafah yang memisahkan secara total antara kehidupan dengan agama.
Sekularisme dalam erti pihak resmi tidak boleh menjadikan agama sebagai program resmi dan ia tidak boleh menggunakan dana awam untuk menjayakan pendidikan agama dan programa agama sahaja tidak membawa kepada kekufuran, tetapibagaimanapun ia berupa pengkhianatan terhadap fungsi pemerintahan sebab pemerintahan adalah untuk menjayakan agama selain daripada menjayakan kemaslahatan manusia daroi segi kolektif.
Yang bersifat sekular tidak semestinya sekularisme ialah seperti aturan jalan raya misalnya, ianya aturan sekular tetapi ia menjaga nyawa manusia dan harta benda dan anggota. Kalau dilanggar ia boleh menyebabkan kebinasaan. Maka aturan itu patut dan mesti diikut. Ini bersifat sekular tetapi ia bukan sekularisme sebagai falsafah, dan bukan negatif tetapi positif.
Ilmu teknik dan yang sepertinya ianya sekular dari segi sifatnya tetapi ianya boleh digunakan untuk kebaikan dan boleh membantu dalam menjayakan agama.Ianya sekular tetapi tidak berupa sekularisme; bukan negatif tetapi boleh menjadi positif.
Aturan-aturan dalam perakaunan adalah aturan sekular, bukan ada dalam kitab fiqh atau Quran dan Sunnah, tetapi saidina ‘Umar rd menyuruh orang Islam zamannya mempelajarinya dari orang Yunani untuk menjayakan perakaunan zamannya.ianya sekular tetapi tidak sekulkarisme.
Demikian perkara-perkara lain yang sekukar sifatnya, yang bukan bersifat suci atau keagamaan atau keakhiratan tetapi bersifat positif dan tidak terlarang.
Contoh-contoh lain ialah seperti rasionalisme, sebagai falsafah membawa kepada kekufiuran kerana ia berupa falsafah yang menyatakan pemikiran atau rasio menentukan segala.Ini membawa kepada kekufuran, dijauhkan Allah. Tetapi sifat rasional tidak terlarang bahkan disuruh sebab Nabi saw menyuruh manusia berbicara kepada orang yang ditujukan mengikut kadar kemampuan fikiran mereka, rasional. Maka sifat rasional bukan ditegah bahkan disuruh, tetapi rasionalisme terlarang kerana ianya kekufuran.
Demikian pula pragmatisme sebagai falsafah adalah terlarang, tetapi sifat pragmatik adalah baik sebab ia bermaksud sikap melakukan sesuatu dengan memerhatikan kesan atau hasilnya supaya berjaya. Maka pragmatisme sebagai falsafah ditolak tetapi sifat pragmatik adalah baik dan dipuji.
Kesimpulannya apa yang sekular bukan semestinya dilarang, tetapi sekularisme terlarang.
Sejarah:
Tanpa berbicara panjang tentang sejarah pemikiran Barat dengan pelbagai aliran pemikirannya seperti humanisme, positivisme, resalisme, idealisme, moderniti, kebendaan, dan seterusnya, kita boleh perhatikan bagaimana di Amerika Syarikat ada American Secular Union and Freethought Federation, iaitu Persatuan Sekular dan Pemikiran Bebas yang memisahkan negara daripada agama yang sebagai plaftorm perjuangannya yang membuat 9 tuntutan Liberalisme: (lihat “Secularism”, The Catholic Encyclopedia, www.newadvent.org/cathen/13676a.htm):
- Bahawa Gereja dan mana-mana harta gereja h4endaklah tidak dikecualikan daripada membayar cukai;
- bahawa pengambilan ‘chaplain’bertugas di Kongres , dalam dewan undangan negeri, tentera dan navi, penjara, tempat perlindungan orang gila, dan semua institusi yang dibiayai dengan dana awam, hendaklah dihentikan, dan semua khidmat-khidmat keagamaan yang dibiayai oleh negara , negeri, atau kerajaan tempatan, akan ditamatkan;
- bahawa semua penggunaan dana awam untuk kepentingan pendidikan dan kebajikan (educational and charitable institutions) yang bersifat sektarian (keagamaan) dihentikan;
- dan manakala memperjuangkan pendidikan moral yang paling tinggi dan mulia dan menerapkan moral tinggi yang seketatnya, pengajaran agama dan penggunaan Bible untuk tujuan-tujuan keagamaan dalam sekolah-sekolah awam dihentikan;
- bahawa perlantikan Presiden Amerika Syarikat dan governor-governor bagi negeri-negeri , perayaan-perayaan keagamaan , puasa, dan hari-hari khas untuk sembahyang dan kesyukuran (prayer and thanksgiving) mesti dihentikan;
- bahawa sumpahan ‘theological’ dalam mahkamah-mahkamah dan lan-lain jabatan kerajaan mesti dihapuskan, dan penegasan secara biasa dan sederhana (‘simple affirmation’) dengan diingatkan hukuman kalau berlaku pemalsuan dan penipuan, ditetapkan sebagai gantinya.
- bahawa semua undang-undang secara langsung atau tidak langsung yang menguatkuasakan mana-mana kadar dogma keagamaan atau teologi tentang perlaksanaan amalan Hari Ahad atau Sabbath hendaklah dihapuskan;
- bahawa semua undang-undang yang memandang kepada penguatkuasaan moraliti Kristian sebagaimana keadaannya hendaklah dimansukhkan, dan bahawa semua undang-undang mesti mengikut moraliti tabi’i (‘natural morality’) persamaan hak, dan keadilann yang objektif (impartial justice);
- bahawa, bersesuaian dengan Perlembagaan Amerika Syarikat dan perlembagaan beberapa negeri, maka hendaklah jangan ada hak-hak istimewa atau faedah-faedah diberikan kepada Agama Kristian atau mana-mana agama; bahawa sistem politik kita seluruhnya hendaklah dilaksanakan dan ditadbirkan hanya diatas dasar sekular semata-mata, dan bahawa apa-apa perubahan yang perlu ke arah matlamat ini hendaklah secara konsisten dan tidak berganjak dilakukan dengan segera.
Walaupun sekularisme nampaknya baharu sahaja timbul ianya berupa pelbagai doktrin yang diajarkan oleh pemikir-pemikir “free-thinker” (yang tidak percaya kepada Tuhan) dalam semua zaman. Dinyatakan bahawa “The term Secularism was chosen to express the extension of free thought to ethich”: istilah Sekularisme dipilih untuk melafazkan sambungan-atau pemanjangan-pemikiran ‘freethought’ (tidak percaya kepada Tuhan) kepada ethika’ (ibid.) Dalam hubungan dengan fahaman atheis, boleh diperhatikan bahawa Bradlaugh seorang atheis; Holyoake seorang agnostik, iaitu tidak percaya bahawa ilmu yang benar boleh tercapai. Holyoake nmenganggap bahawa Sikularisme hanya berdasarkan kepada alam tabi’I dan tidak ada kena mengena dengan agama, manakala Bradlaugh mendakwa Sekularisme sepatutnya bermula dengan pembuktian menafikan agama.Dalam debat di hadapan umum yang berlaku pada tahun 1870 antara dua orang Sekularis Bradlaugh menyatakan bahawa “Walaupun sekarang mungkin benar bahawa semua orang yang Sekularis bukan Atheis, saya menyatapan pendapat bahawa natijah logikal daripada penerimaan Sekularisme mestilah manusia itu pergi kepada Atheisme kakau ia ada mempunyai otak untuk faham. Kamu tidak mungkin mempunyai skima moraliti tanpa Atheisme…”. Dalam banyak petikan daripada tulisan-tulisannya Holyoake pergi lebih jauh lagi dan cuba membuktikan penafian kebenaran Kristian. Selain daripada kritikan terhadap teologi, Sekularisme mempedulikan bidang budaya, kemajuan kemasyarakatan, dan perbaikan keadaan kebendaan kehidupan manusia, terutama untuk golongan pekerja.Maka berlakulah Sekularisme di Barat sampai sekarang dan agama terpisah daripada kehidupan kolektif dan budaya serta pengetahuan.Percubaan pihak Kristian untuk menanganinya tidak mencapai kejayaan.
Di Timur ianya diterima dengan cara total oleh Turki selepas penghapusan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Ini ternyata daripada dasar-dasar perlembagaan Turki yang disebut sebagai “Prinsip-prinsip Ataturk” yang diringkaskan ke dalam 6 pokok asasi: (http://www.mkutup.gov.tr/Ataturk/principles.html):
1. Republikanisme: dinyatakan: pembaharuan Kemalist berupa perubahan daripada empayar multinasional (khilafah ‘Uthmaniyah) kepada terasasnya negara -bangsa Turki dan realisasi identiti bangsa Turki modern.Kemalisme hanya mengakui pemerintahan republikan Turki.Kemalisme mempercayai bahawa hanya pemerintahan republikan yang boleh mewakili cara terbaik hasrat rakyat Turki.
2. Populisme: Revolusi Kemalist juga berupa revolusi sosial dari segi kandungan dan matlamat-matlamatnya.Ianya berupa revolusi yang dipimpin oleh satu golongan elit dengan orientasi ke arah orang ramai secara amnya.Pembaharuan Kemalist membawa perubahan revolusionari dalam status wanita melalui penrlaksanan kod undang-undang Barat di Turki, terutamanya undang-undang sivil Swis.Tambahan lagi para wanita menerima hak mengundi tahun 1934.Ataturk menyatakan dalam beberapa kesempatan bahawa pemerintah-pemerintah Turki sebenarnya ialah para petaninya.
3. Sekularisme: Sekularisme Kemalist bukan hanya bermakna pengasingan antara negara dan agama tetapi juga pengasingan agama daripada urusan-urusan pendidikan,kebudayaan dan undang-undang.ianya bermakna kebebasan pemikiran dan institusi-institusi daripada bidang pemikiran keagamaan dan institusi-institusinya. Dengan itu revolusi Kemalist juga berupa revolusi sekularist.Banyak pembaharuan-pembaharuan Kemalist yang dilakukan kerana sekularisme dijayakan.Prinsip sekularisme Kemalist tidak memperjuangkan atheisme. Ianya bukan berupa prinsip anti-Tuhan. Ianya berupa sekularisme yang rasionalist dan anti-clerical (anti golongan agama-p). Prinsip sekularisme Kemalist bukannya bercanggah dengan Islam yang mengalami pencerahan (‘enlightened Islam’) tetapi ianya bercanggah dengan Islam yang menentang modernisasi.
Kemudian dihuraikan prinsip-prinsip Reformisme, Nasionalisme, dan Statisme
Tentang 4. Reformisme, dinyatakan bahawa maksudnya ialah bahawa Turki mengadakan pembaharuan-pembaharuan yang membawa Turki kepada langkah menggantikan institusi-institusi tradisional dengan institusi-institusi moden .ianya bermakna bahawa konsep-konsep tradisional dihapuskan dan konsep-konsep moden dilaksanakan. Prinsip pembaharuan (reformasi) itu pergi lebih jauh lagi melintasi pengiktirafan pembaharuan-pembaharuan yang diadakan.
Inilah Sekularisme Turki yang membawanya menghapuskan khilafah ‘Uthmaniyah, sekolah-sekolah agama, pakaian hijab, bahkan tudung kepaala wanita pun tidak dibenarkan, walhal itu boleh diamal di negera-negara Barat (kecuali dalam sekolah di Francis dan di German antaranya) ,undang-undang Syara’, pakaian yang menunjukkan ulama seperti jubah dan serban serta tarbush, tarikat-tarikat sufiah, bahkan ulamapun.Azan digantikan dengan bahasa Truki, dan sembahyangpun diperintah supaya berlaku dalam Bahasa Turki, dan huruf Arab dihapuskan digantikan dengan huruf Latin
Sampai sekarang pendirian rasmi di Turki masih berdasarkan kepada sekularisme.Antaranya ialah negara itu perlembagaannya masih berpegang kepaa prinsip-prinsip yang enam itu dengan apa yang disebutkan sebagai prinsip-prinsip Sekularisme Ataturk.Ini bermakna negara Turki tidak beragama (non religious) yang menjauhkan dirinya daripada apa-apa yang ada hubungan dengan Islam.
Ianya mesti kekal sebahagian daripada dunia barat yang tidak beriman, dan bukan sangat menjadi sebahagian daripada blok Islam di Timur. Ia mesti mempertahankan hubungannya supaya kuat dengan Barat ; dan ianya mesti mempertahankan keahliannya dalam NATO. Dan pihak rasminya mesti berusaha untuk menjadikan Turki sebagai ahli Persatuan Eropah.(antaranya lihat http://www.khilafah.com/culture/arbakan.htm – pautan ini sudah tiada lagi).
Selain daripada Turki nampaknya tidak ada negeri-neger Islam yang sampai secara resmi menyebut pegangannya ialah Sekularisme sebagai falsafah negara walaupun dari segi amalannya ada unsur-unsur yang bersifat sekular dalam pengertian yang dihuraikan di atas. Maka sangat perlu diperhatikan dan diambil kira Sekularisme sebagai falsafah dan pandangan hidup yang dianuti sebagai ganti agama dengan sifat-sifat sekular yang ada dalam masyarakat kerana kelemahan iman manusia terhadap Tuhan dan agama. Untuk penegasan ini kita boleh merujuk kembali kepada pentakrifan dari teks-teks Barat berkenaan dengan sekularisme dan sifat sekular di atas.
Kesimpulan dari pengertian sekularisme dan apa yang sekular
Antaranya ialah:
· ajaran moraliti hanya menyentuh kesejehteraan di dunia sahaja tanpa mempedulikan kewujudan Tuhan atau akhirat
· sistem ethika berdasarkan kepada moraliti tabi’I terbebas daripada agama wahyu
· mempersoalkan kewujudan Tuhan dan keabadian roh
· mempersoalkan otoritas hati-kecil (dhamir atau conscience)
· menganggap kebaikan dunia semata-mada tanpa merujuk kepada keabadian atau Tuhan adalah kebaikan yang benar-benar real
· menganggap kebenaran sekular seagai mencukupi sebagai cahaya dan bimbingan hidup terakhir
· perkara yang berkait dengan dunia ini sahaja atau dari dunia ini sahaja
· perkara duniawi berbeza daripada urusan gereja dan agama, bukan suci
· kalau sastera, seni, sejarah dan yang sepertinya: tidak terkait dengan pengabdian untuk agama, duniawi, tidak suci (termasuk bangunan)
· kalau pendidikan dan pengajaran berkait dengan subjek-subjek bukan-agama
· penggunaan baharu: mengecualikan pendidikan agama daripada sistem pendidikan yang menggunakan dana awam
· milik bagi dunia lahiriah ini sahaja bukan milik alam rohani atau alam kekal abadi
· melibatkan masa yang terlalu amat lama, berabad-abad
· sekular dalam penggunaan saintifik seperti ilmu bintang, geologi dan geografi yang tidak ada konotasi negatif.
Nampaknya sekularisme ada beberapa paras. Pertamanya paras falsafah seperti falsafah yang mengajarkan agama terpisah langsung daripada kehidupan kolektif, ianya hanya untuk ritual dan hidup orang perseorangan.Ini kekufuran yang tidak dibenarkan oleh keyakinan dan padangan hidup Islam dan faham ilmunya.Dijauhkan Allah.
Keduanya, pandangan bahawa akhlak mesti dirujuk hanya kepada pertimbangan-pertimbangan dunia ini, bukan berkait dengan natijah daripada kepercayaan kepada Tuhan, keabadian roh dan keberadaan alam abadi .Ini juga kekufuran.Dijauhkan Allah.
Ketiganya Sekularisme dalam erti pihak rasmi tidak boleh menggunakan dana awam untuk membiayai pendidikan Islam, ianya mesti diserahkan kepada individu atau pihak lain.Ini terlarang dan berupa pengkhianatan pihak yang berkenaan, sebab pihak yang berkuasa dalam Islam bertanggungjawab untuk melindungi agama dan melaksanakannya dalam hidup kolektif.
Keempatnya pihak rasmi tidak boleh menjadikan rancangan agama sebagai rancangan rasminya, itu hak orang perseorangan.Ini juga terlarang dan berupa pengkhianatan tugas.
Nampaknya Sekularisme dalam pengertian-pengertian ini ternafi dalam kalangan kita.
Tentang apa yang bersifat sekular, sebagai sifat, ada beberapa paras. Pertamanya paras yang berupa kekufuran seperti falsafah sekular dan pandangan moral sekular sebagaimana yang disebutkan di atas.
Keduanya pandangan ketiga dan keempat di atas tentang pendidikan dan rancangan agama, itu terlarang dan membawa kepada dosa besar.
Ketiganya ada perkara yang sekular yang harus – dalam erti ianya bukan keagamaan – seperti dewan orang ramai yan bukan masjid, bukan pula kelab judi, ianya harus, dan kalau digunakan untuk kebaikan, ianya mendatangkan pahala dan meningkatkan hidup rohaniah.Termasuk ke dalamnya seperti bermain bola bila dilakukan tanpa melanggar aturan agama; bila diniatkan untuk menjaga kesihatan supaya ianya boleh hidup sebagai orang yang taat kepada Allah, maka ianya menjadi amalan yang membawa kepada perdampingan kepada Tuhan.
Keempatnya bangunan-bangunan seperti kelab judi, maka ianya terlarang; dan amalan-amalan seperti berjudi, ianya haram. Termasuk ke dalamnya perkara sekular yang harus ialah kaedah dan ilmu sekular seperti mantik yang diambil oleh ulama Islam yang kemudiannya dijadikan alat untuk mempertahankan akidah islam dan membina ilmu usul al-fiqh dan membina fiqh yang sedemikian teratur dengannya.Kalau sekarang antaranya ilmu geografi, bahasa, sains dan yang sepertinya yang berfaedah kepada manusia; maka sifatnya yang sekular dalam erti ianya non-agama, bukan bertentangan dengan agama (irrelegious atau anti-religious) adalah baik dan berfaedah, dan dengan niatyang betul dan baik ianya mendatangkan pahala.Demikian seterusnya.
Dengan ini maka boleh difahamkan bahawa Sekularisme ada yang menyebabkan kekufuran dan ada yang terlarang.yang sekular pula ada yang positif dan ada yang negatif, ada yang tidak terlarang dan ada yang terlarang.yanmg harus pula bila dilakukan dengan niat yang baik maka dikurniakan pahala (thawab) kerananya. Maka Sekularisme yang menyebabkan kekufuran dan hukum haram kita mengelak diri daripadanya, dan yang sekular pula kita teruskan dengan apa yang positif dan kita hentikan apa yang negatif.yang harus kita lakukan dengan niat yang baik dan betul supaya tertunailah apa yang kita lafazkan dalam doa iftitah kita selepas takbir sembahyang “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku (atau pengorbananku), hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan yang mentadbir sekelian alam”.Allahumma amin.Maka kita janganlah pula “sekularkan” amalan kita seperti ibadat sembahyang dan memberi sedekah misalnya dengan niat untuk mendapat sanjungan dan pengaruh di kalangan orang ramai; dengan itu kita menjadi “orang yang membohongi agama” yang disebut dalam Surah al-Ma’un..
Erti Sekularisme dalam Pendidikan dan Sastera:
Sebagaimana yang dinyatakan di atas Sekularisme dalam pendidikan merujuk kepada dasar bahawa pendidikan mesti terpisah dengan agama atau tidak ada kena mengena dengan agama atau akhirat atau kemaslahatan manusia di alam yang kekal abadi, atau tidak ada kena mengena dengan pertimbangan-pertimbangan yang timbul daripada kewujudan Tuhan, atau keabadian roh.Dasar yang demikian bila dijadikan pegangan menjadikan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.Dijauhkan Allah.
Juga maknanya ialah pendidikan keagamaan jangan dilaksanakan dengan menggunakan dana awam, kerana ianya urusan peribadi bukan urusan negara atau pihak resmi.Ianya terletak pada usaha peribadi atau kalau di Barat terletak pada pihak gereja untuk menjayakannya.Jelas negeri-negeri Islam tidak berpegang kepada dasar ini kerana mereka menjayakan pendidikan keagamaan (Islam) dengan menggunakan dana awam, kecuali Turki. Tentang banyak sedikitnya kadar dana itu itu persoalan yang lain pula.Pada pokoknya Sekularisme menghalang penggunaan dana awam untuk pendidikan keagamaan.
Dalam Islam sekularisme dalam pengertian ini tidak wajar bahkan pengkhianatan terhadap agama kerana tujuan kewujudan negara atau pihak resmi adalah untuk menjaga agama.
Sekularisme dalam pendidikan juga, sebagaimana yang dilihat di atas pendidikan yang mengambil kira kemaslahatan manusia di dunia ini sahaja, tanpa mengira dimensi-dimensi yang lain lagi.nampaknya tidak ada negeri Islam yang berpegang kepada Sekularisme dengan erti pandangan falsafah pendidikan yang sedemikian, kecuali Turki.
Dalam pendidikan kita, bila tersebut dalam Falsafah pendidikan pembinaan manusia yang berktrampilan, beriman kepada Tuhan, berjasa kepada umat dan negara, dengan tumpuan kepada pengembangan semua potensi manusiawinya, maka itu falsafah yang bersesuaian dengan Islam, dan ianya menafikan Sekularisme pada paras falsafah dan konsepsual.Maka yang timbul ialah keperluan untuk berbicara tentang aspek-aspek yang bersifat sekular dalam amalan, yang ada padanya yang positif dan ada padanya yang negatif.
Tentang unsur-unsur yang bersifat sekular (yang bukan semestinya bermakna sama dengan Sekularisme) yang ada dalam pendidikan ada beberapa perkara yang boleh disebutkan.Antaranya ialah yang bersifat mendidik untuk kemahiran duniawi sahaja, tetapi kalau dalam perkara yang harus, maka harus hukumnya, seperi pusat latihan pertanian atau perinagaan, atau pertukangan, atau kemahiran IT.Kalau amalan yang harus itu diniatkan untuk kebaikan maka ianya menjadi sunat dan mendatangkan pahala; atau kalau ianya menjurus kepada fardhu kifayah maka dicapai pahala menunaikan fardhu kifayah melalui kegiatan sekular yang harus itu.Antaranya kemahiran bersukan bila dilakukan dengan mengikut tuntutan agama dan tidak melanggarnya, dan dengan niat yang betul untuk kerehatan badan dan menyehatkannya supaya tersedia diri untuk menjadi orang yang taat kepada Allah, maka permainan itu menjadi taqarrub kepada Allah sebagaimana yang disebutkan oleh Imamal-Ghazali rh dalam ‘al-Ihya’ nya.Kalau dilakukan semata-mata untuk bersuka-suka, tanpa melakukan apa-apa yang dilarang, maka itu harus.
Di Barat mata-mata pelajaran yang selain daripada agama atau gereja dan sejarahnya dianggap matapelajaran sekular; ini kerana ianya tidak bersifat keagamaan berbanding dengan teologi atau cara-cara melakukan amalan spiritual dalam agama Kristian; dan ini bukan dalam pengertian yang negatif, bahkan ianya boleh bersifat positif, seperti matapelajaran perniagaan; kedudukannya sebagai matapelajaran sekular tidak menjadikannya sebagai matapelajaran yang anti-Kristian sebagaimana yang dikatakan oleh John Stuart Mill dalam ceramahnya yang terkenal itu.Misalnya matapelajaran geografi atau geologi atau bahasa.
Beliau menyatakan :”Yang sekular itu ialah yang merujuk kepada hidup dunia ini.Pendidikan sekular (secular instruction) ialah pendidikan berkenaan dengan urusan-urusan dunia ini.Mata-mata pelajaran sekular, oleh itu, ialah semua mata-mata pelajaran kecuali agama.Kalau dikatakan bahawa yang sekular itu ialah yang bercanggah dengan agama (irreligious) maka ertinya semua ilmu-ilmu cawangan sastera dan sains adalah bercanggah dengan agama, dan ini sama dengan koita mengatakan bahawa semua profesi kecuali undang-undang adalah menyalahi undang-undang (illegal).Ada terdapat perbezaan antara yang bercanggah dengan agama dengan yang bukan bersifat keagamaan…” (“Speech on Secular Education”, http://www.utilitarian.org/texts/education.html).
Dalam Islam ilmu-ilmu yang bukan bersifat keagamaan yang berfaedah untuk manusia boleh dimasukkan ke dalam “jalan membawa kesyurga” sebagaimana yang dimaksudkan dalam sebuah hadith yang menyebut orang yang berjalan ke jalan ilmu maka ia dibawa berjalan ke jalan syurga.Ini dengan syarat ia tidak mengabaikan ilmu keagamaan dan amalan yang menjadi kemestian atas dirinya.
Antara beberapa perkara yang “sekular” dalam pendidikan yang mungkin ada ialah suasana kehidupan dalam kawasan pendidikan yang tidak serasi dengan tuntutan Islam seperti pergaulan yang tidak terkawal, atau kecuaian dalam menutup aurat, atau adanya amalan-amalan lain yang tidak mengikut tuntutan agama seperti anak-anak dan tenaga pengajar yang tidak menunaikan suruhan agama kerana “kesibukan dengan tugas” dan seterusnya.Maka perkara-perkara demikian perlu diusahakan supaya berubah dan keadaan menjadi kembali kepada suasana taat kepada kehendalk-kehendak Islam.
Antaranya kerana kesibukan dengan sukan ada mereka yang tidak melakukan sembahyang yang wajib; atau dalam nmelaksanakan sukan aurat terdedah walhal itu wajiub dielakkan.Juga antaranya percampuran antara lelaki dan wanita dalam masa bersukan di dewan atau di padang, itu juga mesti dielakkan.
Antara yang bersifat sekular ialah beberapa perkara dalam matapelajaran yang menuntut perubahan. Dalam sains terdapat teori tentang benda atau tenaga yang tidak boleh diciptakan dan dimusnahkan.Perlu ianya diberi perspektif yang betul dengan menyatakan bahawa itu benar dalam hubungan dengan manusia tetapi dalam hubungan Tuhan itu berlaku kerana KuasaNya yang mutlak, berbeza dengan kuasa makhluk yang nisbi.Demikian pula teori sebab musabbab dalam mengajarnya perlu diberikan perspektif Sunni yang mengajarkan bahawa pada hakikatnya makhluk tidak memberi kesan yang mendatangkan kesan pada hakikatnya ialah Tuhan, walaupun kita meraikan sebab musabbab dalam hidup kita dan pengajian tentang sains.
Dalam mengajar biologi misalnya timbul teori evolusi yang mengajarkan manusia sepupu dengan monyet, iaitu datuknya dengan datuk monyet orang yang sama..Teori itu tidak bertepatan dengan ajaran Islam tentang penciptaan manusia dengan penciptaan yang khusus sebagai khalifah Tuhan dan hambaNya.Evolusi yang ama nampaknya tidak menjadi masalah, yang menjadi masalah ialah “megaevolusi” yang melibatkan semua sampai kepada manusia.Maka perlu diberikan diberikan perspektif yang benar.
Ini semua adalah selain daripada konsep Islamisasi ilmu-ilmu sebagaimana yang dibicarakan oleh alm prof ismail al-Faruqi dalam bukunya tentang “Islamization of knowledge” yang perlu dibantu perlaksanaannya dan peluasannya.
Antaranya para pelajar perlu didedahkan kepada persoalan-persoalan dan cabaran-cabaran yang menentang agamanya dan hidup keagamaannya dan jawapan-jawapannya supaya mereka tidak tersasul dalam hidupnya dan ilmunya.
Dalam mengajar geografi seseorang itu memberi huraian tentang kejadian hujan, tiupan angin dan seterusnya dengan awannya, embunnya bahkan saljinya, dengan itu maka kepercayaan tentang alam kemalaikatan dengan fungsi-fungsinya terhakis.Maka kepada para pelajar Muslim perlu diberikan perspektif bahawa itu adalah fenomena lahir, disebaliknya berfungsi aspek-aspek kemalaikatan dalam hidup alam tabi’I sepert manusia yang kelihatan ialah gerak lahirnya, tetapi yang menentukannya ialah ‘alam tidak kelihatan” dalam dirinya dengan pemikirannya, azamnya, dan niatnya.Gerak lahir manusia seperti alam tabi’I yang lahir dan gerak batin dan jiwa seperti fungsi alam kemalaikatan.
Sekularisme dalam sastera
Sekularisme dalam sastera, berdasarkan kepada apa yang ditakrifkan di atas boleh dianggap sebagai penulisan kreatif atau bukan kreatif yang memberi gambaran tentang moraliti atau akhlak dalam hidup manusia terpisah daripada wahyu atau ajaran agama dan membelanya.Atau ianya memberi gambaran tentang benarnya atheism atau kekufuran dan membelanya.Kalau diberikan gambaran sebagai realiti yang ada dalam budaya dan diisyaratkan kritikan terhadapnya dan ditunjukkan kejahatannya serta kepalsuannya maka itu sastera yang sewajarnya.Kalau tidak ianya menyesatkan.
Demikian pula mengajarkan sastera yang demikian dengan menyokongnya adalah sekukarisme, tetapi kalau diajarkan sastera itu sebagai contoh kegiatan sastera atau budaya yang perlu diberikan perspektif yang betul terhadapnya maka itu usaha yang wajar.
Pada kita sastera yang mendokong sekularisme di Barat antara lain-lainnya pada zaman klasik “The Art of Love” oleh penyaer Roman Ovid; dan antarannya dalam abad ke 20 ialah karangan D.H.awrence “lady Chatterly’s Lover” dan “The Woman of Rome” oleh Alberto Moravia yang berbicara berkenaan dengan cinta kenafsuan dan pemuasannya tanpa apa-apa ajaran yang mendalam dan benar secara yang wajar yang dikemukakan di dalamnya, walaupun ada serpihan-serpihan perkara yang benar datri segi pengelaman hidup manusiawi. Antaranya ialai “Lolita” oleh Vladimir Nabokov dan lain-lainnya.
Penulisan prosa yang bukan kreatif dalam sastera dunia ialah sekadar menyebut beberapa buah seperti “Das Capital” oleh marx, “The Prince” oleh Machiavelli, dan “Meinkamf” oleh Adolf Hitler yang berbicara tentang kesahihan kuasa manusia secara mutlak dengan segala kejahatan, penipuan dan penindasannya tanpa kasihan belas.Sudah tentu antaranya “The Origin of Species” oleh Darwin yang berbicara tentang evolusi tanpa kepercayaan kepada hakikat yang lebih tinggi daripada benda dan parasnya, juga antaranya teori psikoanalisis oleh Freud dengan teorinya tentang ego dan super-ego dan idnya.Demikian seterusnya. Demikian pula semua penulis-penulis buku tentang aliran kebendaan, positivisme, saintisme, dan sebagainya dengan pecahan-pecahannya, termasuk yang teralkhir pasca-modenisme yang menolah metanaratif dari kebenaran-kebenaran abadi dalam agama, dan penonjolan kenisbian dalam pemikiran dan budaya.
Sastera klasik kita banyak melahirkan sastera yaqng bercirikan Islam dengan kisah-kisah dan tulisan-tulisan prosanya yang memberi pengajarn seain daripada kisah-kisah seperti “Sejarah Melayu” dan “Tuhfatiun-Nafis”, selain daripada teks-teks persuratan Islam secara strik.
Penulisan novel gaya barat – walaupun novel itu di Barat ada disebut sebagai “secular literature”, ianya boleh menunnjukkan pengajaran kepada kebenaran, kemurnian, kesucian hidup, dan kewujudan makna dan pengertian, bukan kekosongan atau nihilisme yang membunuh.Dan sastera sekulatr boleh dibaca untuk perbandingan bagi orang yang matang untuk mendapat faedahnya, bukan bagi orang yang tidak ada persediaannya.
Tentang aliran sastera maka itu terserah kepada penulis-penulis kita untuk melakukan pengembaraan dalam penulisan kreatif asalkan ianya tidak bercanggah dengan pandangan hidup, faham ilmu dan nilai-nilai kita.Pokoknya janganlah kepalsuan dipandang sebagai kebenaran, kejelekan dipandangan sebagai keindahan, kejahatan sebagai kebaikan.ianya tergabung daripada unsur-unsur kebenaran, keindahan, dan kesucian serta daya tarikan yang mempesonakan serta meningkatkan martabat manusiawi dari segi intelektuil, aestetika, moral dan budaya.
Apa yang harus dilakukan ialah pendedahan tentang ciri-ciri penulisan yang unggul perlu didedahkan kepada mereka yang ingin menjadi penulis selain daripada mereka diberkan galakan untuk menulis dan ruang untuk mereka menafaatkan.
Terjemahan teks-teks sastera yang unggul perlu dilakukan untuk menjadi contoh tauladan sebelum berlakunya penulisan asli dalam bidang penulsan kreatif dan juga prosa yang bukan kreatif.Peranan yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam bidang ini memberangsangkan dan ianya diharapkan akan bertambah lagi pada masa akan datang berserta dengan peluasan skopnya.Wallahu a’lam.
Wanita
Sebagai menyambung perbincangan kita boleh menyebut sekularisme dalam hubungan dengan hidup wanita.Sekularisme dalam hubungan dengannya ialah pemikiran yang menganggap bahawa pemikran tentang urusan wanita adalah terletak kepada pemikiran kita sahaja tanpa merujuk kepada natijah daripada keyakinan kepada Tuhan, wahyu, alam Ghaib, atau keabadian roh.Dan kalau ada kenyataan dalam nas-nas seperti Quran atau sunah yang sahih ditolaknya kerana tidak sesuai denganemikiran semasa.Itu membawa kepada kekufuran.Dijauhkan Allah.
Sekularisme juga merujuk kepada pandangan pandangan bahawa huraian-huraian tentang kedudukan wanita yang ada dalam sunnah dan Quran mesti ditolak kerana ianya “sexist”, menunjukkan diskriminasi seks, anti-feminisme, berlawanan dengan pascamodenisme, falsafah untuk pascamoden, ini membawa kepada gugurnya iman seseorang.Dijauhkan Allah.
Antara perkara-perkara sekular yang terlarang yang diamalkan oleh setengah orang ialah pergaulan bebas antara lelaki perempuan yang dikatakan sebagai progressive dan global; juga pendedahan aurat terlarang bagi wanita, kecuali muka dan tapak tangan bila tidak ditakuti fitnah.Antaranya amalan melakukan kerja-kerja yang selayaknya dilakukan oleh lelaki, yang mengkompromikan keduduan dan maruahnya sebagai wanita, kecuali dalam keadaan dharurat.
Maka para wanita wajib menjaga maruahnya dalam pergaulan dan dalam hidup rumahtangga.Kedudukannya dengan lelki dalam kehidupan adalah komplementari dan bukan dalam keadaan berlumba-lumbaan untuk satu mengatasi yang lainnya, melainkan perlumbaan dalam kebajikan sebagaimana yang terkandung dalam ayat “hendaklah kamu berlumba-lumba dalam kebajikan” (khairat).Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment