Wednesday, August 27, 2008

PUM gesa kerajaan bendung penularan Islam Liberal

Roy Rasul
Sat | Aug 23, 08 | 6:28:39 pm MYT

BANGI, 23 Ogos (Hrkh) - Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Dato' Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir mencadangkan supaya kerajaan menguat kuasa fatwa mengenai Islam Liberal

dilaksanakan.

Iklan




Katanya, fatwa tersebut yang dicadangkan kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri agar menguatkuasakan keputusan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam persidangan kali ke-74 tahun 2006 lalu, bagi mengharamkan Islam Liberal.


"Kita cadangkan supaya fatwa itu dilaksanakan dan dikuat kuasakan," katanya kepada media di Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang dilangsungkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, hari ini.


Menurutnya, pengaruh Islam Liberal di negara ini agak serius dan ia digerakkan pula oleh golongan terpelajar yang beragama Islam.


"Kalau mekanik sendiri yang menjadi pencuri susah sikit. Begitu juga jika orang itu tidak tahu Islam senang untuk kita tetapi mereka yang mahir dalam bidang ini (agama) sebab itu bahaya, kerana orang Islam sendiri yang menggerakkannya," katanya.


Sehubungan itu katanya, kefahaman Islam sebenar perlu diberikan kepada masyarakat agar pengaruh Islam Liberal ditangkis.


"Islam yang sebenar ialah memberi ruang sebanyaknya untuk mereka belajar dan memahami Islam dalam semua bidang. Itu yang menjadikan penyelesaiannya.


"Belajarlah secara serius untuk memahaminya dan ruangnya masih ada untuk dipertingkatkan," katanya.


Katanya, beliau juga bimbang dengan mereka yang menggunakan nama Islam contohnya untuk pertubuhan Islam sedangkan mereka tidak membela Islam.


Sementara itu, dalam ucapan perasmian seminar tersebut yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sumali Amat yang menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi, berkata, seminar itu wajar diteruskan.


Katanya, ia bertujuan membincangkan pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi ummah di zaman globalisasi.


Katanya dengan peruntukan kuasa yang ada, kerajaan akan mempastikan komuniti 'Islam Liberal' di Malaysia tidak dapat mempengaruhi dan mengembangkan teologinya secara substansi dan metodologi.


"Antara peruntukan undang-undang yang boleh digunakan di peringkat kerajaan negeri ialah Jadual 9, Senarai 2, Senarai Negeri: Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 (enakmen No. 12 Tahun 1087) dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004 turut memberi kuasa menangkap dalam kes jenayah syariah seperti khalwat, ajaran sesat dan kumpulan bertopengkan agama yang boleh menjejas ketenteraman dan keselamatan negara, katanya.


Katanya, beliau akan cuba berbicangan dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri dan polis apabila fatwa tersebut dikuat kuasakan.


Katanya, kumpulan Islam Liberal didapati bergerak secara terang melalui saluran media dan buku-bukunya.


Sementara itu, seminar tersebut yang diadakan hari ini dan esok dianjurkan oleh PUM dan Yadim.


Ia dihadiri oleh para ilmuan agama, wakil-wakil Jabatan kerajaan, Jabatan Kehakiman Syariah dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). - mns_

sumber

No comments: