Saturday, January 12, 2008

Pendekatan Dakwah Hendaklah Bersifat Mesra Remaja

DALAM konteks masyarakat Islam di Malaysia, pembangunan bersifat insaniah tidak dapat dipisahkan dengan dakwah Islamiah. Dakwah Islam yang digerakkan mengajak umat ke arah pembentukan nilai murni untuk dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

Masa hadapan negara akan dicorakkan generasi muda sekarang. Oleh itu, untuk memastikan negara dapat meneruskan tradisi kecemerlangan, seharusnya kita menekankan aspek pembentukan jati diri remaja berteraskan nilai Islam yang menjadikan remaja berfikir secara matang dan bijak.

Tetapi timbul pula masalah apabila pendekatan dakwah yang diguna pakai tidak mendapat maklum balas positif daripada kebanyakan remaja. Hal ini menyebabkan kegagalan banyak gerakan dakwah mengajak majoriti remaja bersama-sama menyertai mereka. Akhirnya, ramai remaja akan terpinggir di dalam arus dakwah ini.

Memandang keseriusan masalah berkaitan remaja masa kini, perancangan dakwah dalam bentuk baru amat mendesak. Jika diambil kira pelbagai faktor, kita dapat mengenal pasti beberapa pendekatan yang mungkin mampu mengubah persepsi remaja terhadap gerakan dakwah.


Mendekati remaja sebagai 'member' atau kawan adalah antara strategi dakwah yang wajar diambil perhatian. Mengapa kita perlu mendekati mereka sebagai member atau "kawan"? Mengikut hukum sosial remaja, kawan dan rakan sebaya adalah tempat mereka berkongsi segala-galanya melebihi keluarga sendiri.

Banyak buruk dan baik serta kehendak remaja sekarang diketahui kawan berbanding ibu bapa. Kawan juga berperanan dalam mencorakkan hampir separuh warna kehidupannya. Suka atau tidak, itulah fakta yang perlu diakui.

Sebagai member, langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan mendekati remaja. Tetapi imej yang ditonjolkan bukan seperti yang menjadi kebiasaan pendakwah dan alim ulama, tetapi imej yang ditonjolkan adalah mesra remaja. Apakah reaksi normal bagi remaja apabila melihat seseorang berjubah, memakai kopiah serta memegang tasbih menghampiri mereka dengan bertujuan ingin berkawan?

Pasti kebanyakan remaja seboleh mungkin mencari ruang untuk mengelakkan diri. Mereka berasa bahawa sesungguhnya mereka tidak layak atau mungkin tidak serasi dengan kawan sebegitu rupa. Kemudian selepas berkawan, adalah tidak wajar kita dengan melulu terus menceritakan mengenai dakwah, Islam, iman, akidah atau pelbagai istilah lain kepada remaja berkenaan, sebaliknya kita perlu belajar mengenali peribadi mereka.

Kita sering tersilap apabila secara terburu-buru ingin berdakwah terhadap remaja, sehingga kita selalu terlupa bahawa remaja tidak berfikir sama seperti apa yang kita fikirkan. Mereka melihat sesuatu perkara pada satu sudut pandang yang berbeza, begitu juga pendakwah daripada gerakan dakwah.

Selepas mengenali mereka dengan mendalam, kita akan mampu melihat bagaimana cara mereka berfikir dan apa sebenarnya masalah mereka hadapi. Selepas mengetahui corak pemikiran mereka, barulah dapat kita fikirkan pendekatan dakwah sesuai dengan peribadi mereka.

Setiap insan memiliki sifat dan cara berfikir berbeza. Kemudian secara perlahan, kita mula membawa sesuatu yang berunsurkan Islamik kepada mereka tanpa mereka sedar. Dengan cara tanpa sedar ini, kita mampu membentuk sifat remaja kepada cintakan dakwah dalam suasana harmoni dan tidak formal. Ini juga menimbulkan rasa selesa kepada remaja kerana dengan cara sebegini, ia dapat membantu membina sikap yang matang dalam berfikir dan tanpa terikat pada mana-mana situasi.

Tetapi perlu diingat, seharusnya dalam dakwah ini tiada paksaan. Tidak bijak apabila kita gagal mendekati remaja, kita menghukum mereka dengan mutlak bahawa mereka adalah generasi yang gagal dan tidak dapat diselamatkan. Kemudian kita mengasingkan mereka di suatu sudut, sehingga kadangkala tanpa kita sedar, kita beranggapan seolah-olah syurga mutlak milik kita.

Jika kita melihat rukun ikatan usyra yang digariskan Imam Hassan Al-Banna, beliau meletakkan tiga perkara asas yang penting iaitu berkenalan atau takaruf, bersefahaman dan berseimbangan. Perkara yang digariskan oleh tokoh hebat ini amat bersesuaian dengan pendekatan dakwah kaedah member ini. Cuma yang membezakan dari segi kaedah pelaksanaan bagaimana ia dilakukan.

Walaupun berbeza dari segi pelaksanaan, kita akan dapati ia menuju matlamat yang sama. Kita seharusnya menjadikan remaja sebagai kawan atau sahabat bagi merapatkan jurang pemisah yang sedia terbina di antara pendakwah dan remaja.

Jika kita gagal melakukannya, cita-cita kita untuk melahirkan modal insan berkualiti akan tinggal dalam bentuk penulisan saja.

Oleh Abdul Azim Roslan
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
Universiti Teknikal
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
(UTeM)

sumber

No comments: