Sunday, December 9, 2007

Apa Kata Ustaz Ashaari

"Akan tetapi pada hari ini kita lihat umat Islam dan masyarakat umum amat kusut sekali, haru-biru, huru-hara, kelamkabut, tidak berakhlak dan tidak berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak satu fikiran. Masing-masing ada tujuan-tujuan yang tersendiri, tidak seia-sekata dan tidak serentak menuju satu matlamat yang menjadi cita-cita
Islam. Bersimpang-siur antara satu sama lain. Tidak di satu barisan yang tersusun rapi seperti satu bangunan yang tersusun dan indah. Mereka bercelaru, satu ke hulu, satu ke hilir. Satu ke darat, satu ke baruh. Satu ke lurah, satu ke bukit. Satu ke timur dan satu ke barat. Akhirnya accident dan berembuk sesama sendiri. Akhirnya umat Islam yang rugi."

Tulisan di atas adalah nukilan Ustaz Ashaari Muhammad. Saya memetik perenggan itu memandangkan apa yang dikatakannya memang selaras dengan saranan dakwah Tajdid Segar. Hal inilah yang cuba kita sampaikan kepada umat. Namun begitu, pada minda Ustaz Ashaari sendiri, secara peribadi saya tidak melihat dakwahnya senada dengan apa yang dinyatakannya. Dakwahnya lebih menjurus mengajak manusia kepada dirinya, bukan kepada menggerakkan para pekerja agama ke arah 'bergerak sebagai satu umat'. Hal ini tidaklah menghairankan kerana bagi Ustaz Ashaari, dialah pemimpin umat ini... sementara menantikan zahirnya al-Mahdi.

Apa yang benar dan berkesan, kita ambil.
Apa yang samar-samar, kita tunggu dan kaji.
Apa yang lemah, kita letakkan ke tepi.
Apa yang salah, kita tolak.

Wallahualam.

'PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT'

Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'
9 DIS 2007
29 ZULQAIDAH 1428

No comments: