Saturday, May 10, 2008

Ahmadiah Qadiani mesti Diharamkan

JAKARTA: Sekumpulan anggota pendesak dan aktivis Islam semalam meminta kerajaan Indonesia supaya mengharamkan pergerakan Ahmadi atau Qadiani yang mendakwa kononnya wujud satu lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW.

Pergerakan itu sedang menghadapi tindakan di negara Islam di seluruh dunia kerana kepercayaan mereka yang karut itu. Anggota pergerakan itu bagaimanapun mahu agar pergerakan mereka dianggap sebagai sebahagian daripada Islam.

Sekumpulan pendakwa, sarjana Islam dan pegawai jabatan hal ehwal dalam negeri berpendapat pergerakan berkenaan 'telah menyimpang daripada prinsip ajaran Islam sebenarnya' dan mendesak agar kerajaan mengharamkannya.

"Kegiatan pergerakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Islam," kata ketua kumpulan pendesak itu, Wishnu Subroto.

Kerajaan Indonesia mengadakan satu mesyuarat bagi membincang perakuan itu, kata laporan media.

Kumpulan pendesak itu meminta agar pengikut Ahmadi dituduh menghina agama yang membawa hukuman penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, seorang aktivis hak asasi manusia berkata sebarang pengharaman 'adalah tidak wajar dan melanggar perlembagaan' yang membenarkan kebebasan agama.

"Perakuan ini menunjukkan mereka tidak memahami peranan sebenar kerajaan," kata aktivis berkenaan yang hanya dikenali sebagai Hendardi.

Golongan pendesak itu pernah melancarkan kempen yang lantang terhadap Ahmadi dalam masa kebelakangan ini, di samping merosakkan masjid serta rumah pengikutnya. Dalam kebanyakan kes, pihak polis didakwa tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang tindakan mereka.

"Kami adalah mangsanya di sini tapi sebaliknya kami pula yang hendak diharamkan," kata peguam pergerakan itu, Yan Hussein Lamardi.

Pergerakan Ahmadi kini dipercayai mempunyai kira-kira 200,000 pengikut di Indonesia, iaitu negara paling ramai penduduk Islam di seluruh dunia. Pergerakan itu diasaskan pada penghujung abad ke-19 di Pakistan di mana ia kini diharamkan.

Indonesia adalah sebuah negara sekular dengan sejarah toleransi agama yang lama. Tapi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, golongan yang enggan bertolak ansur ini telah menjadi bertambah kuat serta berpengaruh di kalangan penduduk negara itu.

Kerajaan pula dituduh terlalu mengikuti rentak mereka kerana sokongan yang diperlukan daripada parti berteraskan Islam di parlimen. � AP

sumber

Pemimpin Qiadah Islamiah Dipenjara 4 Tahun

JAKARTA 23 April - Sebuah mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman empat tahun penjara ke atas pemimpin sebuah pertubuhan Islam kerana mengkufuri Tuhan.

Abdul Salam yang mengasaskan Al- Qidayah Al-Islamiah pada 2000, ditangkap tahun lalu selepas Majlis Ulama Indonesia mendakwa pertubuhan itu menyebarkan ajaran sesat.

Pendakwa berkata, Abdul Salam telah mengisytiharkan dirinya sebagai nabi dan memberitahu pengikutnya mereka tidak perlu solat, puasa pada bulan Ramadan atau mengerjakan ibadat haji.

Ketua Hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan berkata, Abdul Salam yang juga dikenali sebagai Ahmad Mosaddeq bersalah kerana "sengaja melakukan perkara-perkara kufur."

"Sepanjang perbicaraan itu, defendan tidak pernah mengaku perbuatannya salah," kata hakim itu.

Abdul Salam hanya tersenyum semasa hukuman itu diumumkan manakala puak radikal yang menentang ajarannya melaungkan kalimah "Allahu Akbar."

Sementara itu, kerajaan kini sedang merangka satu dekri yang akan mengharamkan Ahmadiyyah, sebuah lagi pertubuhan Islam yang ditubuhkan pada abad ke-19 di India.

- Reuters

sumber

Islam Musuhi Zionis, Bukan Yahudi

Cendekiawan dan Ulama Muslim dunia, Syeikh Yusuf al-Qaradawi menegaskan bahawa umat Islam tidak memusuhi orang-orang Yahudi. Umat Islam, kata Qaradawi, hanya menentang gerakan orang-orang Zionis yang ekspansif dan menyebarkan permusuhan.

Qaradawi yang juga ketua International Union for Muslims Scholars (IUMS) mengungkapkan hal tersebut saat menerima kunjungan tiga Rabbi Yahudi Neturei Karta yang anti- gerakan Zionisme.

Menurut Qaradawi, selama berabad-abad orang-orang Yahudi hidup damai di negara-negara Muslim. "Orang-orang Yahudi adalah orang-orang paling kaya di Mesir dan banyak negara Muslim lainnya. Tidak ada permusuhan antara Muslim dan Yahudi, " tukas Qaradawi saat menerima ketiga Rabbi itu di rumahnya di Qatar.

Pernyataan Qaradawi dibenarkan oleh Rabbi Aharon Cohen, yang mengatakan bahawa orang-orang Yahudi yang tinggal di negeri-negeri Muslim tidak mengalami banyak masalah. Para Rabbi Yahudi Neturei Karta yang mengunjungi Qaradawi, mengenakan lencana bertuliskan "Saya orang Yahudi, bukan Zionis."

Lebih lanjut Syeikh Qaradawi mengatakan bahawa Muslim dan Yahudi adalah sama-sama pengikut dua agama Ibrahim. Yahudi yang meyakini kitab suci Taurat yang asli, sangat dekat dengan umat Islam. "Pengikut dua agama ini memiliki ritual dan ajaran agama yang sama seperti, kewajiban sunat bagi laki-laki, menyembelih haiwan dengan cara yang halal, melarang daging babi dan melarang patung-patung diletakkan di dalam masjid atau sinagog, " papar Qaradawi. Umat Islam dan Yahudi, tambah Qaradawi, sama-sama diburu ketika kekuasaan Islam di Andalusia jatuh.

Pada masa kini, kata Qaradawi, umat Islam dan Yahudi yang sama-sama meyakini satu Tuhan, selayaknya bekerjasama untuk memerangi ateisme, pornografi, lesbian dan homoseks serta ketidakadilan.

Ia juga menekankan pentingnya memperkuat hubungan antara Muslim dan Yahudi, untuk menghadapi ancaman Zionisme dan negara Israel yang didirikan di atas puing kehancuran bangsa Palestin. "Umat Islam menentang penjajahan dan gerakan Zionisme yang menindas, bukan orang-orang Yahudinya, " tegas Qaradawi.

Rabbi Cohen menambahkan, "Yudaisme, yang berdasarkan pada ajaran Taurat yang benar, tidak mengakui Zionisme. Taurat dan Yudaisme tidak membenarkan penjajahan, pembunuhan dan pengusiran orang dari rumah-rumah mereka."

Zionisme adalah gerakan politik internasional yang bermatlamat untuk menciptakan tanah air bagi orang-orang Yahudi di Palestin. Gerakan ini berhasil mendirikan negara Yahudi, Israel pada 15 Mei 1948 dengan merampas tanah dan mengusir bangsa Palestin.

Jurucakap Neturei Karta, Rabbi Yisrael Weiss menyatakan, usaha-usaha yang dilakukan Israel bertentangan dengan ajaran Yudaisme.

Neturei Karta sendiri adalah organisasi yang mewakili ratusan ribu penganut Yahudi Ortodoks di seluruh dunia yang menentang gerakan Yahudi Zionis. Neturei Karta meyakini, berdirinya negara Palestin dan dihapusnya negara Israel akan membawa perdamaian di Timur Tengah.

"Taurat dan sejarah Yahudi mengatakan bahwa suatu hari negara Israel akan runtuh, " tandas Rabbi Weiss. (ln/iol)

sumber