Dakwah Tajdid Segar mengajar kita supaya bijak memilih antara ‘YANG PENTING’ dengan ‘YANG LEBIH PENTING’, dan antara ‘YANG UTAMA’ dengan ‘YANG LEBIH UTAMA’. Pada bulan Ramadhan ini kita lihat banyak orang yang masih tersilap ataupun terkeliru dalam membuat pertimbangan. Sebahagiannya memang tidak tahu manakala sebahagian lagi buat-buat tidak ambil tahu sedangkan mereka memang sedia tahu.
Solat fardhu berjemaah bagi lelaki ialah satu tuntutan, dengan tuntutan yang berat. Solat tarawih berjemaah pula hanyalah solat sunat. Bahkan Nabi Muhammad saw sendiri lebih banyak melakukan solat sunat tarawih bersendirian di rumah berbanding di masjid. Tapi masyarakat kita umumnya melebihkan solat sunat tarawih berjemaah berbanding solat fardhu Isya’ dan Subuh berjemaah. Dalam contoh yang mudah, kita mengejar-ngejar satu kerja yang bayarannya RM 10 sehari berbanding satu kerja yang gajinya RM 100 sehari. Kan tidak bijak bertindak begitu?
Dari segi keutamaan, ibadah yang sunat tidak boleh menandingi keutamaan ibadah yang wajib. Maksudnya, jika kita perlu memilih antara untuk hadir antara solat fardhu Isya’ berjemaah dengan solat sunat tarawih berjemaah, kita sepatutnya memilih solat Isya’. Begitu juga dengan solat berjemaah fardhu Subuh. Tapi yang biasa saya lihat (di tempat anda mungkin ada perbezaan), jumlah jemaah lelaki pada waktu solat tarawih lebih banyak daripada waktu solar Isya’. Bertambah lengang pula pada waktu Subuh.
TARAWIH VS FARDHU
“Barangsiapa solat Isya’ berjemaah, (dia) seolah-olah BERSOLAT SEPARUH MALAM. Dan barangsiapa (selepas itu) solat Subuh berjemaah (pula), (dia) seolah-olah BERSOLAT SEPANJANG MALAM.”
(Muslim, Ahmad dll)
“Barangsiapa yang solat Isya’ dan Subuh berjemaah, itu seolah-olah SOLAT SEPANJANG MALAM.”
(Ahmad, Abu Daud dll)
Jangka masa solat tarawih antara 30 minit ke 1 setengah jam lebih kurang. Bandingkan dengan jumlah masa ‘solat seluruh malam’. Katakanlah malam mengikut waktu Semenanjung Tanah Melayu bermula dari pukul 7.30 senja hinggalah pukul 5.30 subuh. Ada lebih kurang 10 jam! Jika kita mengerjakan solat Isya’ berjemaah, seolah-olah kita sentiasa dalam keadaan bersolat sunat selama 5 jam. Dan jika kita tambah dengan solat Subuh berjemaah, seolah-olah 10 jam. Bandingkan dengan tempoh masa solat tarawih.
Bagi kita yang tahu, memang nampak pelik benar perlakuan sebahagian besar masyarakat kita yang mengejar solat tarawih berjemaah tetapi meringan-ringankan ataupun mengabaikan terus solat fardhu berjemaah.
KESILAPAN KITA
Ali biasanya sengaja tidak datang solat fardhu Isya’ berjemaah tapi istiqamah datang solat tarawih berjemaah. Ahmad pula memang rajin datang solat fardhu Isya’ berjemaah, tapi biasanya selepas itu terus pulang tanpa bertarawih berjemaah.
Situasi yang biasa kita lihat, orang tidak kata apa-apa dengan perlakuan Ali tetapi orang memandang agak serong kepada Ahmad. Padahal antara dua perlakuan ini, Ahmad yang benar.
KELEBIHAN-KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH
“Solat berjemaah adalah 27 KALI LEBIH BAIK daripada solat secara bersendirian.”
(Bukhari, Muslim dll)
Ada dalam kalangan masyarakat kita yang memang suka solat fardhu di rumah walaupun tanpa ada sesuatu keuzuran. Mereka (kadang-kadang kita dan saya sendiri pun) buat endah tak endah saja dengan janji Allah untuk mengurniakan kelebihan 27 kali jika solat berjemaah. Tapi cuba kita tukarkan bilangan 27 itu dengan wang!
Sesiapa yang solat fardhu di rumah akan dibayar RM 1 oleh kerajaan. Sehari semalam dapatlah RM 5. Sesiapa yang solat fardhu berjemaah di masjid surau pula akan dibayar RM 27 setiap satu waktu. Dalam sehari semalam dapat RM 135. Sama-sama kita fikir, di mana masyarakat kita akan menunaikan solat fardhu mereka? Alamatnya penuhlah masjid dan surau. Pada waktu Maghrib mungkin ada masjid surau yang tidak cukup ruang.
Bukan anak-anak lelaki saja yang dipaksa oleh ibu bapa mereka ke masjid, tak mustahil anak-anak perempuan pun akan dipakaikan pakaian lelaki dan digesa pergi sama. Mana taknya, seorang anak boleh dapat RM 27, lima orang anak sudah RM 135 untuk satu kali solat!
Sekadar inilah taraf keimanan orang kita (tak terkecuali saya sendiri) dalam soal solat fardhu berjemaah ini. Kita memandang DUIT lebih besar daripada kasih sayang Tuhan dan pahala. Dalam dakwah Tajdid Segar ini, kita mestilah mengasuh diri kita dan seterusnya masyarakat dan umat supaya memandang kasih sayang Tuhan dan pahala adalah lebih penting untuk diperolehi.
KELEBIHAN-KELEBIHAN MENUJU KE TEMPAT BERJEMAAH
“Apabila seseorang itu berwudhuk dengan sempurna ( di tempatnya/ rumahnya) dan menuju ke masjid dengan niat semata-mata hendak solat, maka SETIAP LANGKAHNYA MENDAPAT PAHALA dan MENGHAPUSKAN DOSA.”
(Bukhari)
Tidakkah kita berasa rugi akan setiap langkah kita jika solat fardhu di rumah? Sekali lagi kita kalah dari segi DUIT vs kasih sayang Tuhan dan pahala. Bayangkan jika pemerintah bersetuju membayar RM 1 untuk setiap langkah dan menghapuskan RM 1 daripada hutang-hutang kita untuk setiap langkah? Seratus langkah bermaksud dapat RM 100, dan hutang kereta/ rumah/ peribadi kita ditolak RM 100! Alamatnya berbondong-bondonglah tua muda ke masjid dan surau.
Ada pula yang pandai menjawab, “Alaa ustazz, zaman sekarang orang naik motor, basikal, kereta. Mana ada langkah-langkah dah!” Jawapannya- Allah Maha Tahu kaedah untuk mengira jumlah langkahan kita. Segala duit minyak, duit tayar, duit beli kenderaan dan lain-lain akan mendapat ganjaran yang lumayan daripada Allah SWT.
Cuma jangan lupa SYARATNYA- berwudhuk di rumah siap-siap.
“Barangsiapa berjalan ke masjid pada waktu pagi dan petang, maka Allah akan menyediakan baginya satu rumah jamuan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid.”
(Bukhari, Muslim, Ahmad dll)
“7 golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (pada hari akhirat)... (salah satu golongan ialah) seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.”
(Bukhari & Muslim)
Orang yang hatinya jauh dengan masjid tentulah tidak termasuk dalam perjanjian ini.
“Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu pergi ke masjid pada waktu malam gelap kerana mereka akan mendapat cahaya yang sempurna pada Hari Hisab nanti.”
(Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Al-Hakim)
“... dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat dalam solat Isyak dan solat Subuh, sudah tentu mereka akan mendatanginya WALAUPUN DENGAN CARA MERANGKAK".
(Muslim)
Tapi kita yakin, jika ada pihak yang mahu membayar RM 27 untuk satu waktu, memang akan ada orang yang mahu datang walaupun terpaksa merangkak.
AWAS SAUDARAKU!
“Seandainya seorang (lelaki) itu tidak pergi ke masjid padahal dia mendengar azan tanpa uzur syar’i yang kuat, maka solatnya ( di rumah) TIDAK AKAN DITERIMA.”
(Abdu Daud & Ibnu Majah)
Kita ‘check’ amalan masing-masing. Sudah berapa lama sebenarnya solat kita tidak diterima oleh Allah? Jadi selepas ini, rajin-rajinlah ke masjid dan surau. : )
“Kalau seseorang itu ingin menemui Allah pada hari Hisab (hari perhitungan) SEBAGAI SEORANG MUSLIM, dia mestilah bersembahyang di tempat azan dilaungkan iaitu di masjid (ataupun surau).”
(Muslim & Abu Daud)
Kita renung sendiri juga... kita mahu bertemu dengan Allah nanti sebagai seorang apa?
Sabda Rasulullah saw: “Aku ingin menyuruh budak-budak mengumpul kayu api banyak-banyak untukku, dan kemudian aku hendak pergi dari rumah ke rumah orang-orang yang (sengaja) solat di rumah masing-masing tanpa sesuatu uzur, lalu MEMBAKARNYA.”
(Muslim)
Betapa beratnya kesungguhan baginda Rasulullah dalam soal berjemaah ini. TAPI, jangan pula kita melebihi kesungguhan baginda dengan pergi membakar pula rumah-rumah mereka yang sengaja tidak mahu berjemaah!! Nabi sendiri tidak buat begitu, sahabat pun tidak, para ulama pun tidak. Sabda Nabi ini sekadar untuk menunjukkan KESUNGGUHAN bagainda dan betapa BERATNYA TUNTUTAN solat fardhu berjemaah.
Kata Abdullah bin Mas’ud: “Kalau kamu bersembahyang di rumahmu, maka kamu sudah MENINGGALKAN SUNNAH Rasulullah saw. Dan apabila kamu meninggalkan sunnah-sunnahnya maka SESATLAH KAMU”
(Muslim & Abu Daud)
Apa macam?
Tambah lagi. Orang bertanya kepada Ibnu Abbas: “Bagaimanakah dengan seseorang yang berpuasa sepanjang hari dan mengerjakan solat sunat sepanjang malam, tetapi tidak pergi ke masjid untuk solat berjemaah dan solat Jumaat?”
Jawab Ibnu Abbas: “Dia ialah PENGHUNI NERAKA.”
(Turmizi)
Hebatnya para abid (ahli-ahli ibadah) ini, tapi Abdullah bin Abbas berani mengatakan “Dia ialah penghuni neraka”.
Ada seorang buta datang mendapatkan Nabi S.A.W, katanya: “Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai penuntun yang akan membimbing saya ke masjid.” Lalu dipohonnya kelonggaran untuk bersembahyang di rumah sahaja. Permintaannya itu dikabulkan oleh Nabi. Tapi baru sahaja ia pergi, tiba-tiba dia dipanggil kembali oleh nabi yang menanyakan: “Apakah engkau dengar panggilan azan?” Jawabnya: “Ya.” Maka sabda baginda: “Kalau begitu, datanglah!”
(Muslim)
Maksudnya rumah orang buta ini tidak jauh sangat dari masjid. Jadi dia kena datang. Bagaimana dengan kita yang tidak buta ini?
BEBERAPA KEMUSYKILAN
Persoalan 1:
“Saya ada sedikit kesukaran untuk tiba awal ke masjid. Biasanya ketika saya sampai, orang sudah habis berjemaah. Jadi, kalau saya pergi pun tak guna juga.”
Jawapan:
“Seseorang yang berwudhuk dengan sempurna (di rumah) kemudian pergi ke masjid, dan didapatinya solat berjemaah sudah selesai, akan menerima PAHALA SAMA BANYAK dengan orang-orang yang solat berjemaah. Tidaklah kurang suatu apa pun daripada pahala orang-orang yang sudah solat berjemaah.”
(Abu Daud, An-Nasa’i & Al-Hakim)
Tapi... jangan sengaja pergi lambat. Hadis di atas berkaitan dengan orang-orang yang ada usaha untuk pergi awal tetapi terlewat.
Selain itu, ganjaran-ganjaran di bawa tajuk “KELEBIHAN-KELEBIHAN MENUJU KE TEMPAT BERJEMAAH” di atas tadi tetap diperolehi juga walaupun kita terlewat berjemaah. Kan masih terlalu untung besar?
Jangan lupa SYARATNYA – berwudhuk di rumah siap-siap.
Persoalan 2:
“Di tempat saya memang tidak hidup solat berjemaah. Kalau saya pergi pun, sayalah siak, sayalah bilal dan sayalah imam merangkap makmum.”
Jawapan:
Anda tetap mendapat kesemua ganjaran dalam persoalan 1 tadi insyaallah. Yang pentingnya, anda dan orang-orang di bawah anda (anak isteri) sudah terlepas daripada tuntutan fardhu kifayah sedangkan warga kariah anda yang lain masih menanggung dosa kerana gagal melaksanakan fardhu kifayah. Sekiranya anda dapat seorang lagi untuk berjemaah, bermaksud anda sudah menyelamatkan seluruh kariah.
Persoalan 3:
“Saya ahli hakikat sedangkan imam-imam di tempat saya semua ‘sembahyang kulit’ saja.”
Jawapan:
Persoalan hati dan pemahaman hanya Allah yang Maha Tahu. Kita serahkan kepada Dia. Yang pentingnya kita penuhi tuntutan sunnah Rasulullah iaitu solat berjemaah di masjid/ surau.
Jika di tempat itu sesiapa pun boleh jadi imam (tidak ada jawatan khas), jadikanlah diri anda orang yang layak sebagai imam. Untuk mendalami ilmu keTuhanan boleh anda habiskan bertahun-tahun, tentu mudah saja untuk ambil sedikit masa mempelajari ilmu jadi imam yang tidak sesukar belajar ilmu hakikat.
Persoalan 4:
“Saya tak mahu solat tarawih kerana ada urusan lain. Tapi lepas solat Isya’, segan pula nak balik sambil diperhatikan jemaah yang lain. Jadi lebih baik tak pergi langsung.”
Jawapan:
Anda terpaksalah berlatih buat muka selamba badak. Lama-lama nanti akan biasa. : )
Persoalan 5:
“Bolehkah sesekali saya solat berjemaah di rumah bersama-sama keluarga? Pada saya ia satu strategi dakwah juga.”
Jawapan:
Boleh.
Persoalan 6:
“Bila masanya kita boleh tidak pergi berjemaah?”
Jawapan:
Jika ada urusan penting yang memang susah untuk ditinggalkan (nilai sendiri tahap kepentingannya).
Jika ada ujian dari tentera Tuhan seperti hujan lebat, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, terlalu panas, angin kuat dan seumpamanya.
Jika ada kemungkinan keselamatan terancam seperti dalam suasana perang, penjenayah berleluasa, ada musuh peribadi yang memang menanti peluang hendak menjahanamkan kita, binatang liar/ buas (harimau, serigala, babi hutan dan lain-lain) berkeliaran, wabak penyakit menular dan seumpamanya.
Jika tidak sihat sama ada diri sendiri ataupun ahli rumah.
Jika takut terjumpa orang yang kita berhutang kepadanya (dalam keadaan kita memang belum mampu membayarnya setelah kita berusaha) kalau-kalau dia menggesa kita membayar.
Dan lain-lain sebab yang munasabah.
Persoalan 7:
“Saya memang hendak pergi berjemaah, tapi di tempat saya memang tak ada sesiapa yang mampu jadi imam. Yang mampu tak datang pula. Tinggallah yang tak mampu. Akhirnya semua takut hendak datang.”
Jawapan:
Kena pakat-pakat usaha bodek orang yang mampu itu supaya datang. Kena keluarlah sikit tenaga, masa dan wang.
Anda sendiri kena usahakan agar anda mampu jadi seorang imam.
Persoalan 8:
“Makam saya lebih tinggi daripada makam imam yang dilantik. Bacaan saya pun lebih fasih daripadanya. Bagaimana saya hendak berimamkan dia?”
Jawapan:
Majoriti ulama mengatakan Saidina Abu Bakar sebagai sahabat yang paling afdhal. Tapi banyak juga ulama memilih para sahabat lain seperti Abbas, Fatimah, Saidina Ali dan lain-lain.
Berdasarkan maklumat ini, Saidina Ali contohnya tidak ada masalah untuk berimamkan sahabat yang lain walaupun dia sahabat paling afdhal, malah boleh jadi juga dia sahabat yang terfasih bahasanya memandangkan dia membesar dalam jagaan Rasulullah, yang berinteraksi begitu lama dengan Rasulullah.
Jadi, anda datang sajalah solat berjemaah.
MASALAH ORANG PEREMPUAN PULA
Memang terpuji kesungguhan makcik-makcik dan kakak-kakak yang begitu gigih ke masjid surau sepanjang bulan Ramadhan ini. Sehinggakan pada waktu Subuh pun berlumba-lumba ke masjid surau, seolah-olah satu kemestian (walaupun bukan kewajipan) pula. Sebenarnya kaum wanita tidak dituntut solat berjemaah fardhu di masjid surau. Lebih afdhal solat fardhu di rumah.
Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan untuk pergi. Malahan lebih baik pula jika ada pengajian, majlis-majlis syiar Islam, untuk mengerjakan solat tarawih dan lain-lain.
Yang jadi masalahnya ialah apabila si wanita begitu istiqamah untuk solat berjemaah di masjid surau tapi tidak pula menggesa anak-anak lelaki, suami, abang, adik lelaki dan bapa mereka untuk pergi. Mereka merasakan solat fardhu berjemaah Isya’ dan Subuh itu satu tuntutan yang seakan-akan mesti mereka penuhi, tetapi buat tidak tahu saja ahli keluarga mereka yang lelaki. Sekiranya gesaan sudah dibuat selalu dan mereka yang lelaki masih degil, tak mengapalah. Nak buat macam mana...
PENUTUP
Kepada semua- sekarang kita sudah ada pemahaman dalam hal ini. Mulai saat ini, kita semua bertindaklah agar ‘YANG LEBIH UTAMA’ dan ‘YANG LEBIH PENTING’ didahulukan. Bermula dengan diri kita, keluarga kita dan seterusnya masyarakat kita.
Kepada kaum wanita- gesalah kaum lelaki pergi solat fardhu berjemaah, bukannya anda pula yang tergesa-gesa untuk melakukannya.
Kepada para pendukung, peminat dan pemerhati dakwah Tajdid Segar pula- dalam dakwah ini kita mestilah membereskan perkara-perkara pokok/ asas terlebih dahulu. Apa guna kita berbicara hal yang besar-besar sedangkan tuntutan-tuntutan asas (seperti solat fardhu berjemaah ini) gagal kita penuhi. TAPI, dalam usaha kita membereskan yang asas, jangan kita tinggalkan terus pula hal-hal yang besar-besar. Kita sangat mementingkan KESEIMBANGAN.
Wallahualam.
p/s : Kuliah saya yang ada sedikit-sebanyak dengan hal di atas ada di sini:
http://ribuanceramah.blogspot.com/2009/08/abu-zulfiqar-permasalahan-solat-tarawih.html