Sunday, November 27, 2011

Hukum Mengikuti Jamaah

Terdapat banyak hadith sahih yang hampir mencapai darjat mutawattir maknawi yang memerintahkan kaum Muslimin agar menetapi jemaah dan tidak keluar darinya. (Mengikut majoriti umat Islam, para Ulamak)

Hadith-hadith tersebut di antaranya:

1. Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dari Anas bin Malik radiyaLLahu 'anhu. Ia berkata, bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Sesungguhnya umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, semuanya berada dalam neraka kecuali satu iaitu Jemaah"

Pengarang kitab az Zawa'id berkata: Sanad hadith tersebut adalah sahih dan para perawinya dapat dipercayai.

2. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam At Tirmidzi dan Imam Ibnu Majah dengan sanad sahih dari Umar bin Khatab radiyaLLahu 'anhu dari RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda yang bererti :

"Kamu sekalian harus menetapi jemaah dan jangan sekali-kali (memisahkan diri), kerana sesungguhnya syaitan selalu bersama seorang dan dia menjauhi dari dua orang. Dan barangsiapa menginginkan pelataran syurga, hendaklah menetapi jemaah.

Imam At Tirmidzi berkata, "Hadith ini hasan sahih dan gharib dari segi ini. Imam Ibnul Mubarak pun meriwayatkan hadith tersebut dari Muhammad bin Sauqah. Hadith ini diriwayatkan dari Umar al Khattab radiyaLLahu 'anhu dari RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam melalui beberapa riwayat.


3. Sabda RasuluLlah yang bererti : "Umatku tidak akan bersepakat dalam perkara salah"
(Riwayat at Tirmidzi, Ibnu Majah, Abu Daud dan Daruqutni)

4. Nabi bersabda (yang bererti ) : "Apa sahaja yang menurut pandangan orang Muslimin itu baik, maka ia juga baik di sisi ALlah. Dan apa-apa menurut pendapat orang Muslimin itu buruk, maka ia adalah buruk di sisi ALlah". (Riwayat Ahmad : Hadith Hasan)

5. Hadith lain, RasuluLlah bersabda (yang bererti) : "Sesiapa yang mengasingkan atau memisahkan diri daripada Jemaah, ia mati seperti kematian orang jahiliyyah." (Riwayat Al Bukhari, Muslim, Ahmad dan an Nasa'ie)

Sumber rujukan :

1. Dr Said Ramadhan al Buthi, Allaa Madzhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata al Islamiyyah, Bebas Mazhab Adalah Suatu Bid'ah Paling Merbahaya Yang Dapat Menghancurkan Syariat Islam, 2002, Pustaka Setia, Bandung

2. Ustaz Abd Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali @ Mat Zin, Pengantar Usul Fiqh, Cetakan Pertama 1997, Pustaka Salam, Kuala Lumpur

http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/hukum-mengikut-jemaahmajoriti-ulamak.html

Saturday, November 26, 2011

Kalianlah Penyumbang kepada Tergugatnya Islam

PERMASALAHAN :


Ada seorang pendakwah berfahaman Salafi Wahhabi iaitu Dr. Axxx menyalahkan sebahagian umat Islam di Malaysia sebagai penyebab Islam tergugat di tanah air kita ini. Hal ini kononnya kerana rakan-rakannya seperti Dr. Axxxxx, Dr. Axxxxxxx Yxxxx, Ustaz Sxxxxx Bxxxx diharamkan ‘bercakap agama’ di Selangor.


PENJELASAN KITA :


Penyelesaian masalah ini mudah sahaja. Sesiapa sahaja yang ingin berdakwah khususnya berceramah, dakwahkanlah ajaran Islam berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah arus perdana. Jangan dibawa fahaman Salafi Wahhabi, khususnya apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada fahaman itu (apa yang baik tidak pernah ditolak oleh para pendakwah lain). Selesai cerita. Tidak ada siapa yang akan menghalang anda berdakwah, malah sangatlah dialu-alukan. Perkara mudah jangan dijadikan susah.


Kita ambil contoh untuk memudahkan pemahaman. Semua orang masuk ke dalam stadium bolasepak dengan membawa gula-gula untuk dibahagi-bahagikan sesame penonton (membawa ilmu agama untuk disebarkan kepada orang ramai). Tidak ada sesiapa yang menghalang penonton berbudi jenis ini, malah sangat dialu-alukan oleh penganjur (Islam sangat menggalakkan manusia berdakwah). Cuma penganjur ingatkan, jangan dibawa botol-botol kosong masuk (jangan disebarkan apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada ajaran Salafi Wahhabi dan ajaran-ajaran lain).


Tapi ada juga segolongan kecil penonton tetap berkeras mahu membawa masuk botol-botol kosong selain gula-gula untuk dibahagi-bahagikan kepada orang ramai (mereka masih hendak sebarkan apa yang salah dan apa yang melemahkan dalam ajaran Salafi Wahhabi itu). Kan berbahaya?


Atas dasar itu, penganjur tetap tidak membenarkan sesiapa yang membawa botol kosong masuk ke stadium (pihak berkuasa terpaksa menyekat pendakwah yang mahu sebarkan ajaran Salafi Wahhabi tadi). Untuk masuk, sila tinggalkan botol-botol kosong di luar stadium, bawalah gula-gula sahaja (tinggalkan fahaman Salafi Wahhabi itu dalam diri anda, sebarkanlah ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah arus perdana).


Golongan yang degil ini tidak berpuas hati. Mereka tetap hendak menyebarkan botol-botol kosong kepada hadirin. Apabila tidak dibenarkan masuk, mereka pun berkata : “Tengok, siapa yang menghalang kami menyebarkan hadiah (halang kami daripada berdakwah)? Bukan orang agama lain, tapi pengajur yang beragama Islam juga!”


Orang yang bijak tidak akan menyalahkan penganjur, tapi diri sendiri. Oleh itu, buat perubahan pada diri sendiri sebelum mahu merubah orang lain. Banak orang mahu merubah dunia, tapi tidak terfikir untuk merubah dirinya sendiri. Mudah sahaja, tinggalkan botol-botol kosong di luar stadium, masuklah melalui mana-mana pintu stadium pun, anda akan diraikan. ‘Bercakap agama’lah sepuas-puasnya. Anda yang menyulitkan keadaan, bukannya pihak penganjur. Tapi anda provoke ornag awam kononnya penganjur yang bersalah kerana membuat sekatan.


Umat Islam khususnya di Malaysia tidak perlukan fahaman *Salafi Wahhabi untuk maju, dan hal itu sudah terbukti sejak zaman Kedah dan Melaka. Umat Islam di sini juga tidak perlu kepada fahaman *Salafi Wahhabi untuk masuk ke syurga. Adakah jika tidak disebarkan fahaman *Salafi Wahhabi itu maka umat Islam Malaysia akan masuk neraka? Jelasnya fahaman *Salafi Wahhabi itu bukan berstatus ‘keperluan’, paling-paling kuat pun berstatus ‘kehendak’.


Berapa ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh membaca Al-Quran, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri mengajar mereka membaca Al-Quran (yang berupa keperluan) terlebih dahulu, berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi (yang bukannya keperluan pun)?


Berapa ramai rakyat Malaysia (ibu-ibu, wanita dan gadis-gadis) yang tidak menutup aurat dengan sempurna, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri mentarbiyyahkan mereka agar menutup aurat terlebih dahulu (yang berupa keperluan) berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Wahhabi (yang bukannya keperluan)?


Berapa ramai rakyat Malaysia (lelaki dewasa) yang sengaja tidak menunaikan solat fardhu berjemaah, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri memotivasikan mereka agar datang berjemaah (yang berupa keperluan) terlebih dahulu, berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi (yang bukannya keperluan pun)?


Berapa ramai rakyat Malaysia yang belum beragama Islam, bukankah lebih baik anda menyibukkan diri mendakwahkan mereka agar menganut agama Islam (yang berupa keperluan) terlebih dahulu, berbanding anda menyibukkan diri menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi (yang bukannya keperluan pun) kepada sesame umat Islam?


Bijaklah dalam berjuang pada jalan Allah. Utamakanlah dan sibukkanlah diri dengan yang ‘lebih penting’ berbanding yang ‘penting’, apatah lagi fahaman *Salafi Wahhabi yang tidak penting itu.


Kita bukannya berada pada zaman daulah Islam memerintah dunia, kita sekarang diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Orang-orang yang memberatkan perbincangan hal-hal khilaf dalam situasi seperti sekarang ini memang sangat tidak bijak dan menyusahkan orang lain, khususnya umat Islam sendiri.


Kita ambil contoh lagi. Kita boleh berbeza pandangan/berkhilaf dan berdebat untuk meletakkan susun atur perabot rumah, menu makan, siaran televisyen dan lain-lain ketika rumah kita (umat Islam dan daulahnya) aman. Tapi ketika kita terusir dari rumah kita (umat Islam kehilangan daulah dan diserang) dilontar batu dari segenap penjuru oleh musuh, sangat tidak sesuai membincangkan hal-hal khilaf lagi. Selesaikan terlebih dahulu musuh-musuh yang di sekeliling (berjuang mengekang musuh dan dapatkan kembali daulah). Apabila rumah sudah kembali aman (umat Islam sudah terbela dan daulah sudah diperolehi, kehalifahan sudah kembali), barulah sesuai untuk menyelidiki hal-hal khilaf dan berdebat panjang.


Tindakan para pendakwah Salafi Wahhabi ini memang sangat ditunggu-tunggu oleh musuh-musuh Islam. Sudahlah tertindas di seluruh dunia dan kehilangan daulah, berbalah pula sesama sendiri. Perbuatan anda didahului oleh musuh-musuh Islam dengan tepukan tangan dan lompatan kegembiraan.


Perubahan bergantung pada sikap anda sendiri, iaitu kesanggupan tidak menyebarkan fahaman *Salafi Wahhabi. Selagi anda tidak sanggup dan tidak berani untuk berubah, sebaiknya duduk diam-diam sahaja, jangan merumitkan lagi keadaan dengan menuding pihak itu pihak ini sebagai bersalah. Tolong jangan semarakkan lagi perpecahan dalam umat yang sudah banyak berpecah ini. Jadilah agen penyatuan.


Sedar tak sedar, kewujudan orang-orang seperti anda menambahkan kerja dan beban para pejuang agama Allah ini dalam mengekang penggugat-penggugat Islam, sama ada dari luar mahupun dari dalam agama Islam sendiri. Banyak masa, tenaga dan belanja terpaksa dikorbankan oleh umat Islam negara ini untuk mengekang masalah-masalah yang kalian wujudkan. Jika betul kalian tidak mahu Islam lebih tergugat, buatlah perubahan, tinggalkanlah (kalau bukan untuk selamanya pun, sebentar jadilah, sementara umat Islam kembali terbela dan kehalifahan Islam terwujud semula) penyebaran fahaman *Salafi Wahhabi itu. Marilah berganding bahu bersama-sama kami di arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah menghadapi para penggugat agama Islam itu.


Fikir-fikirkan.


*Khususnya yang salah dan yang melemahkan daripada ajaran itu.


http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/10/kalianlah-penyumbang-kepada-tergugatnya.html

Pluralisme Aqidah Tertolak

ALLAH TUHAN KITA. KITA BERTUHANKAN ALLAH?


ANAK : Ayah, adakah Tuhan semua umat manusia itu sama?


BAPA : Benar anakku, Tuhan kepada semua umat manusia, jin, haiwan, malaikat dan seluruh alam makhluk ini sama, kerana hanya ada satu Tuhan, tidak ada Tuhan yang lain. Dia tidak dua, tidak tiga, banyak ataupun berbilang-bilang. Dialah yang menciptakan seluruh alam makhluk ini termasuklah seluruh umat manusia. Tuhan itu ialah Allah.


ANAK : Jadi... Tuhan kepada penganut agama Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Yahudi, Zoroaster, Sikh, Jaina dan agama-agama lain itu sama?


BAPA : Sudah tentu!


ANAK : Adakah ini bermaksud kesemua agama itu sama dan setara?


AYAH : Tidak!


ANAK : Kenapa begitu pula ayah? Bukankah ayah katakan tadi yang Tuhan kepada seluruh makhluk itu sama?


BAPA : Benar! Tapi kita mesti faham, sungguhpun Tuhan kepada semua penganut agama-agama itu sama, hal ini tidak bermaksud mereka menyembah atau berTuhankan Tuhan yang sama. Tuhan kepada semua umat manusia ialah Allah, tetapi bukan semua umat manusia berTuhankan Allah.


ANAK : Bagaimana boleh jadi begitu? Boleh ayah jelaskan lebih lanjut?


BAPA : Tuhan kepada semua penganut agama Islam, Yahudi, Kristian dan lain-lain ialah Allah. Tetapi, bukan semua mereka menyembah Allah sebagai Tuhan. Ada yang menyembah selain Allah sebagai Tuhan. Maksudnya mereka berTuhankan selain Allah.


ANAK : Contohnya ayah?


BAPA : Contohnya, semua orang Tuhannya ialah Allah tetapi ada orang yang berTuhankan Jesus Christ, berTuhankan akal, berTuhankan alam, berTuhankan dewa-dewi, berTuhankan Lucifer, berTuhankan patung-patung dan sebagainya. Bagi kita orang Islam, Tuhan kita sama dengan Tuhan penganut agama lain iaitu Allah, dan kita menyembah Allah sebagai Tuhan. Ringkasnya, kita berTuhankan Allah, iaitu satu-satunya Tuhan.


ANAK : Barulah saya faham. Sebenarnya ada perbezaan antara “Tuhan kepada...” dengan “berTuhankan...”. Tuhan kepada kita semua ialah Allah, tetapi tidak semua orang berTuhankan Allah.


BAPA : Ya, betul! Bagus anakku!


ANAK : Ayah, ada orang mengatakan agama-agama itu berbeza tetapi semuanya benar, semuanya menuju Tuhan iaitu Allah juga, walaupun mereka menyebut-Nya dengan panggilan yang lain seperti God, Eloah, Yehovah, Brahman, Tao, Yang Mutlak, Adi Parasakti, Tua dan lain-lain. Ada banyak jalan tetapi destinasinya tetap sama. Semua jalan betul kerana menuju destinasi yang satu. Kita manusia boleh memilih mana-mana jalan kerana semua jalan menuju ke tempat yang sama.


BAPA : Anakku, Islam ibarat kemuncak Gunung Kinabalu. Ada banyak jalan menuju ke kemuncaknya. Terpulang kepada kita untuk mengikut jalan yang mana. Sesiapa mahu naik dari utara, silakan. Sesiapa mahu naik dari Selatan, tidak ada masalah. Sesiapa mahu naik dari Timur, jalannya tetap menuju ke kemuncak Kinabalu. Sesiapa yang mahu naik dari Barat pun, tetap kemuncaknyalah yang menjadi matlamat. Jalan mana pun yang umat Islam gunakan, tetap akan bertemu di kemuncak Gunung Kinabalu.


Inilah yang dikatakan “ada banyak jalan dan semuanya menuju destinasi yang satu”.


Katakanlah pada suatu hari, air batu di kutub mencair dan bumi akan tenggelam kecuali kemuncak Gunung Kinabalu (iaitu agama Islam). Sesiapa yang mahu selamat, hendaklah dia pergi ke kemuncak Gunung Kinabalu. Agama A umpama Gunung Tahan, agama B bagaikan Gunung Ledang, agama C umpama Gunung Korbu, agama D umpama Gunung Bubu dan begitulah seterusnya. Sesiapa yang mendaki gunung-gunung itu, walau menggunakan jalan mana dan dari arah mana sekalipun menuju ke kemuncaknya, mereka tetap tidak akan tiba ke kemuncak Gunung Kinabalu. Maksudnya, mereka tidak selamat dan akan tenggelam dalam banjir yang melanda dunia.


Oleh itu, kata-kata “ada banyak jalan dan semuanya menuju destinasi yang satu” hanya sesuai untuk ke kemuncak Gunung Kinabalu iaitu agama Islam, bukannya untuk keseluruhan agama-agama dunia.


TUHAN YANG DISEMBAH SAMA?


ANAK : Tapi kan ayah, ada orang kata Tuhan yang disembah oleh penganut agama lain sebenarnya sama dengan Tuhan yang disembah oleh penganut agama Islam iaitu Allah, cuma mereka tidak menyebut-Nya sebagai Allah tetapi dengan nama lain.


BAPA : Hendak tahu sama ataupun tidak, kita kenalah buat senarai semak. Kita senaraikan ciri-ciri Tuhan, iaitu yang disembah oleh umat Islam, dan bandingkan dengan ciri-ciri sembahan mereka. Jika sama ciri-cirinya, betullah kenyataan tersebut. Jika tidak sama, maka tidak betullah kenyataan itu.


ANAK : Kalau begitu, biar saya cuba senaraikan apa yang ayah dan guru-guru saya ajarkan selama ini.


BAPA : Bagus, teruskan anakku!


ANAK : Zat Allah tidak dapat digambarkan atau difahami oleh mana-mana makhluk, khususnya akal manusia dan jin. Makhluk khususnya akal hanya mampu memahami apa yang layak dan apa yang tidak layak bagi Zat Tuhan. Hal ini kerana akal fikiran manusia sangat lemah lagi terbatas kemampuannya.


BAPA : Betul! Jika ada mana-mana agama mengatakan Tuhan sembahan mereka itu begini begini rupanya, bentuknya, warnanya dan seumpamanya, maka jelaslah sembahan mereka tidak sama dengan Allah. Baiklah, tambahkan lagi anakku.


ANAK : Lagi ciri-ciri Tuhan sebenar iaitu Allah ialah :

1. Allah menciptakan segala sesuatu iaitu seluruh makhluk.

2. Sebelum Dia menciptakan makhluk, yang sudah sedia ada hanyalah Dia. Tidak ada suatu apa pun sebelum-Nya.

3. Allah Maha Mengetahui. Dia sudah sedia tahu segala perkara sejak azali lagi, sebelum makhluk pertama diciptakan lagi.

4. Allah Maha Sempurna. Dia tidak ada walau satu kelemahan. Apa sahaja yang ada walau satu kelemahan, bukanlah Allah melainkan makhluk.

5. Allah tidak berfikir, kerana sifat berfikir itu satu kelemahan. Berfikir itu sifat makhluk. Tanpa berfikir Allah sudah sedia tahu segala perkara.

6. Allah tidak boleh digambarkan kerana Dia tidak sama langsung dengan apa-apa gambaran. Jauh sekali untuk dilukis, dipatungkan ataupun diarcakan. Apa sahaja yang boleh digambarkan bukanlah Allah. Apa sahaja yang boleh digambarkan ialah makhluk dan bersifat ada kelemahan.

7. Allah tidak ada isteri, anak atau keluarga.

8. Allah tidak ada jantina.

9. Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, masa, posisi, sempadan, had, batas, tepi, warna, kecerahan, kegelapan, arah, langit, bumi dan lain-lain kerana Dia sudah sedia ada sebelum semua itu ada. Bahkan Dialah yang mengadakan/ menciptakan semua itu.

10. Allah tidak mengalami apa-apa perubahan buat selama-lamanya. Sebagaimana keadaan-Nya sebelum diciptakan makhluk, sebegitulah keadaanya selepas diciptakan-Nya makhluk. Begitulah selama-lamanya. Apa sahaja yang mengalami perubahan adalah bersifat lemah. Padahal Allah tidak pernah lemah dan tidak akan lemah walaupun sedetik.

11. Allah tidak pernah bersentuh dengan makhluk, tetapi Dia juga tidak pernah bercerai dengan makhluk. Dia meliputi segala sesuatu, tetapi segala sesuatu itu bukanlah Dia. Dia meliputi seluruh alam makhluk, tetapi seluruh atau mana-mana satu bahagian alam makhluk itu bukanlah Dia. Allah tetap Allah, cptaan tetap ciptaan.

12. Allah tidak boleh diperintah dan tidak menerima perintah. Kerana hanya Dia yang memerintah. Apa sahaja yang boleh diperintah dan disuruh-suruh, bukanlah Allah.


BAPA : SubhanAllah (Maha Suci Allah)...! Dalam usia semuda ini engkau sudah mampu memberi penjelasan yang sebegini baik anakku. Tahniah ayah ucapkan.


ANAK : Alhamdulillah, syukur! Allahummasolli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad. Terima kasih juga kepada ayah, ibu dan guru-guruku.


http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/11/pluralisme-aqidah-tertolak.html

Pengkelasan Ringkas Golongan Syiah

PERSOALAN :

Assalamu'alaikum para ilmuwan sekalian. Saya dengan rendah diri ingin tahu tentang fahaman Syiah yang berleluasa sekarang ini.

Boleh jelaskan lebih lanjut dan mendalam ? Almaklumlah kita kena 'counter' jugak masalah ini dari berkembang biak.


Read more:
http://ad-deen.proboards.com/index.cgi?board=aqidah&action=display&thread=180#ixzz1dOQuM27N


PENJELASAN :

Wlksm,

Sementara menunggu jawapan lanjut dan mendalam daripada teman-teman yang lain, saya dahulukan (sebagai selingan) maklumat ringkas tentang pengkelasan golongan-golongan Syiah yang saya gunakan selama ini.

Seperti juga fahaman Salafi Wahhabi, saya mengkategorikan Syiah kepada 3 golongan :


GOLONGAN 1 (SYIAH TAKSUB/PELAMPAU)

Biasanya (bukan semestinya) antara pegangan sebahagian besar mereka :

1. Saiyidina Abu Bakar dan Umar ialah dua berhala Quraisy. Sekiranya mereka mendapat kekuasaan ke atas Hijaz, pembongkaran ‘dua berhala’ ini dari sisi jasad Rasulullah merupakan perkara utama untuk dilaksanakan.

2. Menghukum majoriti sahabat sebagai terkeluar daripada Islam.

3. Meyakini Saiyidina Ali sebagai individu paling utama selepas Rasulullah saw.

4. Percaya hak kekhalifahan jatuh pada Saiyidina Ali dan orang lain telah merampasnya.

5. Mengiktiraf hanya keturunan Fatimah binti Muhammad Rasulullah sahaja sebagai Ahlul Bait.

6. Meyakini konsep Imam 12.

7. Meyakini imam terakhir mereka yang hilang sebagai Al-Mahdi.

8. Menghalalkan darah umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka.

9. Percaya Jibril sepatutnya menurunkan wahyu kepada Saiyidina Ali, bukannya Rasulullah.

10. Menganggap mulia pekerjaan mencederakan diri pada peringatan Hari Karbala.

11. Taksub dengan taqiyyah.

12. Percaya Al-Quran yang beredar meluas pada hari ini sudah terseleweng.

13. Percaya semua imam Syiah bersifat maksum.

14. Percaya Fatimah binti Rasulullah telah dikasari oleh para sahabat sehingga menjadi penyebab kematiannya.

15. Pengamal dan penyebar amalan nikah mut’ah.

Golongan ini terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.


GOLONGAN 2 (SYIAH ARUS PERDANA)

Biasanya antara keyakinan mereka adalah :

1. Tidak mengecop ‘berhala’ kepada Saiyidina Abu Bakar dan Umar, tetapi memandang mereka sebagai pembuat dosa besar.

2. Menghukum kebanyakan sahabat sebagai pembuat dosa besar.

3. Meyakini Saiyidina Ali individu paling afdhal selepas Rasulullah.

4. Menghadkan Ahlul Bait kepada Saiyidina Ali, isterinya Fatimah binti Rasulullah dan keturunan mereka sahaja.

5. Mengamalkan taqiyyah.

6. Walaupun tidak berpegang dengan sebahagian fahaman GOLONGAN 1, tapi pada bila-bila masa yang diperlukan, mereka dengan segera akan bersekutu dengan GOLONGAN 1.

7. Percaya hak kekhalifahan jatuh pada Saiyidina Ali dan orang lain telah merampasnya.

8. Meyakini imam terakhir mereka yang hilang ialah Al-Mahdi.

9. Menganggap mulia pekerjaan mencederakan diri pada peringatan Hari Karbala.

10. Percaya semua imam Syiah bersifat maksum.

11. Pengamal dan penyebar amalan nikah mut’ah.

Sebahagian ilmuwan mengatakan mereka tergolong ke dalam Ahli Sunnah wal Jamaah manakala sebahagian lagi menolaknya.


GOLONGAN 3 (ADA SEDIKIT KECENDERUNGAN TAPI BUKAN SYIAH)

Biasanya antara pegangan majoriti individu dalam golongan ini adalah :

1. Tidak bersetuju dengan pegangan GOLONGAN 1.

2. Yakin Saiyidina Ali sebagai sahabat paling afdhal.

3. Mencintai Saiyidina Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat lain.

4. Tidak menghadkan Ahlul Bait kepada keturunan Fatimah binti Rasulullah sahaja.

5. Tidak ambil hirau tentang taqiyyah.

6. Percaya Al-Quran sehingga ke hari ini tetap suci.

7. Mengiktiraf hak kekhalifahan turut jatuh kepada selain Saiyidina Ali, cuma sepatutnya Saiyidina Ali ditabalkan sebagai khalifah pertama.

8. Menolak keMahdian imam terakhir puak Syiah.

9. Mengenang Hari Karbala tetapi tidak mengamalkan acara sambutan yang bukan-bukan.

10. Tidak mengamalkan nikah mut’ah.

Golongan ini jelas termasuk ke dalam Ahli Sunnah wal Jamaah.

Pembahagian sebegini hanyalah pengkelasan peribadi saya, untuk memudahkan sebarang urusan saya yang melibatkan golongan Syiah. Ia tidak semestinya sama dengan pengkelasan mana-mana tokoh atau orang lain.

WaAllahua’lam.


http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/11/pengkelasan-ringkas-golongan-syiah.html