Saturday, February 19, 2011

Usrah Raya, Pilihan Raya, Jalan Raya

Saiyidina Umar al-Khattab selaku ketua daulah umat Islam berjaya mendapatkan Palestin. Begitu juga dengan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Lembaran sejarah menunjukkan Palestin berjaya dibebaskan dengan adanya ‘kuasa pemerintahan negara Islam’. Maka tahulah kita mengapa Israel pengecut sedang bertambah kecut hari ini dengan situasi di negara jirannya, Mesir.


Israel sudah sekian lama membikin kira-kira. Mereka tahu, seandainya Mesir dipulangkan kepada rakyat, Ikhwanul Muslimin akan berperanan besar. Hal ini membawa maksud dalam beberapa tahun nanti Mesir akan jadi sebuah negara Islam. Yang dimaksudkan dengan ‘negara Islam’ di sini ialah sebuah negara yang DIPERINTAH OLEH ORANG ISLAM dan SISTEM PEMERINTAHANNYA juga sistem Islam. Itu sekurang-kurangnya.


Mesir sebuah negara yang kuat. Kata sebahagian orang tua-tua pada suatu zaman, “Kalau hendak pergi berperang, bawalah tentera Mesir, pasti akan mencapai kemenangan”. Tentera sukarelawan Ikhwanul Muslimin pernah menyerbu ke Palestin dan berjaya mengundurkan tentera Israel. Ketika itu ada tentera Ikhwanul Muslimin sudah nampak pun bumbung Masjidil Aqsa. Di saat-saat Israel setenat itu, tiba-tiba kesemua sukarelawan dan tentera diarahkan pulang oleh Mesir. Pemerintah Mesir sendiri yang memberikan oksigen kepada Isarel yang sedang nyawa-nyawa ikan. Permainan ini tidaklah kita bahaskan panjang lebar di sini kerana pasti akan jemulah anak cucu mendengar akan dia.

Disangkakan pulang ke Mesir akan disambut sebagai wira, ataupun setidak-tidaknya dibenarkan hidup seperti biasa. Malangnya ramai tentera sukarelawan ini ditangkap dan disumbat ke dalam penjara. Yang dibunuh dan yang ghaib pun ada.


Dengan wujudnya sebuah negara Islam (sebagaimana yang disebutkan di atas tadi), peluang untuk membebaskan Palestin sangat cerah. Hal inilah yang dibimbangi oleh Israel pengecut. Dengan tentera sukarelawan yang terdiri daripada orang kampung, kerani, guru dan lain-lain pun mereka hampir tumbang, apakan lagi jika yang datang itu nanti tentera Mesir di bawah pemerintahan Islam.


Ikhwanul Muslimin sudah lama belajar. Banyak pengalaman yang mereka lalui. Melalui USRAH RAYA (sel-sel usrah ‘underground’ sejak zaman Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna) mereka hanya mampu menggegar Mesir. Mereka tambah lagi melalui PILIHAN RAYA, mereka mula dapat sedikit kuasa melalui kemenangan calon-calon tajaan mereka. Itu belum cukup. Mereka tambah lagi dengan yang terbaru iaitu melalui JALAN RAYA. Setakat ini (5 Februari 2011) nampak kesannya begitu hebat.

Kita faham bahawa demokrasi tajaan Barat. Demokrasi menjadi salah satu senjata Barat untuk mengekang kebangkitan Islam. Kita faham ini semua, sebab itu kita tidak beriman dengan demokrasi. Namun kita melibatkan diri kerana ada peluang-peluang tertentu yang boleh kita ambil ke arah membangkitkan semula Islam. Demokrasi dan pilihanraya ialah salah satu cara, bukan satu-satunya cara. Namun kita tak akan sia-siakan salah satu cara ini begitu sahaja. Kita usaha sekadar yang termampu.


Contohilah Ikhwanul Muslimin. Dari USRAH RAYA, mereka tambah dengan PILIHAN RAYA. Dari PILIHANRAYA, mereka tambah lagi dengan JALAN RAYA. Selepas itu barulah kita ke JAGAD RAYA. Mana-mana perjuangan pun pasti ada yang perlu dikorbankan. Itu fitrah perjuangan.


Tapi... perjuangan puluhan tahun Ikhwanul Muslimin ini bermula dengan sistem tarbiyyah yang mantap melalui USRAH RAYA mereka. Jangan sesekali kita yang tidak cukup tarbiyyah ini terus ke tahap ketiga iaitu JALAN RAYA (walaupun sesekali perlu juga turun ke jalanraya)! Nanti hancur semua, dan usaha untuk membina apa yang kita ada hari ini akan memakan masa puluhan tahun pula. Banyak perkara bermula dengan FAHAM. Faham pula terhasil daripada tarbiyyah. Tarbiyyah pula hendaklah tarbiyyah yang seimbang. WaAllahua’lam.


Abu Zulfiqar


sumber

Pluralisme Ancaman Baru di Malaysia


Najib Tun Razak (tengah) melaungkan '1Malaysia' ketika bergambar bersama 32 orang Tuai Rumah Panjang dari Belaga, Sarawak selepas melakukan perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. - utusan/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Fahaman pluralisme kini muncul sebagai ancaman terbaru di kalangan umat Islam di negara ini dan justeru mereka wajib menghindarkannya kerana ia jelas bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mengekang pengaruhnya beliau mahu para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama bertanggungjawab menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.


Beliau berkata, hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanya Islam sahaja.


''Apatah lagi sekiranya ada umat Islam yang membawa fahaman pluralisme. Perkara-perkara seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain kita jangan hina agama lain.


''Namun dari segi akidahnya dan dari segi kebenarannya di sisi Allah tidak boleh disamakan dengan agama Islam,'' katanya ketika berucap pada merasmikan Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


Najib berkata, selain fahaman pluralisme umat Islam turut terdedah dengan pengaruh liberalisme serta hindonisme yang jika dibiarkan boleh menyebabkan mereka terpesong daripada syariat serta akidah Islam.


''Mahu tidak semua pihak termasuk ulama, guru-guru agama serta guru-guru takmir menegakkan kebenaran agama dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah,'' katanya.


Dalam sidang akhbarnya selepas itu Najib sekali lagi menegaskan, semua pihak perlu menghormati agama-agama lain sama ada dari segi haknya atau dari segi undang-undang menurut Perlembagaan Persekutuan.


''Namun begitu ia tidak boleh sama dari segi akidah. Jangan ada salah faham. Nanti ada orang akan salah faham bahawa saya merendahkan kedudukan agama lain, tidak.


''Saya cuma mahu bezakan dari segi akidah kerana fahaman pluralisme ini adalah salah dari segi agama Islam dan itu fakta yang saya hendak jelaskan,'' katanya.


Ketika ditanya sejauh mana seriusnya pengaruh fahaman itu di Malaysia, beliau berkata, fahaman itu perlu segera dibendung.


''Jika kita tidak berbuat sesuatu ia boleh merebak. Pada peringkat sekarang ia masih terbatas cuma di kalangan pihak tertentu sahaja. Sesuatu (tindakan) perlu dilakukan kerana fahaman ini boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam,'' katanya.

sumber

Lagu Satu Umat



SATU UMAT

Akhir zaman
jemaah bertumbuhan
Sesamanya
tiada berhubungan

Keakuan
dan sikap kekamian
gantikanlah
dengan kekitaan

Kekhilafan
salinglah meraikan
Perjuangkan
kekhalifahan

Bergeraklah
sebagai satu umat
Lidi bertabur
jadikannya seikat


Lagu : Abu Zulfiqar
Lirik : Abu Zulfiqar
Nyanyian : Abu Zulfiqar

* Lagu ini dijadikan lagu tema laman Satu Umat http://satuumat.blogspot.com/
* Liriknya berisi beberapa saranan Dakwah Tajdid Segar