Sunday, November 11, 2007

6 Bulan Bersama PRO-TAJDID

Dedaun Tajdid Segar. Datang dari titik pusat yang sama, menuju arah yang berbeza tetapi dengan matlamat yang serupa.


6 BULAN BERSAMA PRO-TAJDID


Blog PRO-TAJDID (Segar) lahir pada bulan Mac 2007. Sehingga ke hari ini (awal September 2007), jika dibandingkan dengan usia seorang bayi, sedia kita maklumi bahawa si bayi masih belum boleh berbicara dan belum mampu berjalan. Sungguhpun begitu tamsilannya, bayi comel bernama PRO-TAJDID ini menjadi perhatian orang ramai dalam usianya yang masih mentah. Agaknya apalah yang bakal bayi ini lakukan setelah berusia dua tahun, tiga tahun, lima tahun dan seterusnya? Wallahualam.


Kewujudan blog ini dicetuskan oleh seorang hamba Allah yang aktif dan ada kemahiran dalam hal ehwal internet. Banyak buah tangan dan ‘hembusan’nya yang bermanfaat untuk para pelayar di ruang maya ini boleh ditemui jika anda mengenalinya. Apa saja manfaat yang datang daripada laman ini, pasti mengalir kasih sayang Tuhan dan mata wang syurga (pahala) kepada pencetusnya.


Pada awal kemunculan blog PRO-TAJDID ini, ada pihak-pihak yang tersalah sangka lalu menisbahkan blog ini dengan saya. Bukan! Tuannya orang lain. Tuannya sedang istiqamah mengingatkan ‘tarbiah-tarbiah yang dilupakan’ kerana sebahagian umat hari ini begitu ‘menggila’ menjauhi amalan para Salaf dengan mengejar kemudahan melampau dalam beragama, bersikap kurang ajar dengan para pendahulu kita, mewujudkan perpecahan hati-hati insan, membuang masa umat Islam dengan perkara-perkara yang sudah berkeputusan, sibuk menarafkan diri sendiri sebagai satu-satunya golongan terselamat ke syurga dan lain-lain. Lihatlah, betapa mudah lupanya sebahagian umat ini akan tarbiah para Salaf tetapi tanpa segan silunya ‘masuk ke dalam bakul dan cuba mengangkatnya sendirian’ dengan mengatakan “akulah satu-satunya bermanhaj salaf”.


Daripada artikel-artikel yang dipilih untuk menghiasi dan mentarbiah di blog ini, dapatlah kita simpulkan bahawa di sana wujud satu kesepakatan minda dalam kalangan para pejuang muda hari ini untuk mengekang apa yang merugikan umat dan menyuapkan pula apa yang berkesan kepada umat di dunia dan di akhirat. Kesepakatan ini pula lahir daripada para pencinta agama yang berlainan geografi ilmu dan amalnya, ini bahagian paling unik. Mereka tidak duduk dalam satu halaqah tetapi mendapat kesedaran yang bersekutu. Begitulah ajaibnya kuasa Tuhan.


Di sini saya akan menyenaraikan apa sebenarnya luahan bersama yang ingin disampaikan oleh hati-hati ini melalui penelitian saya ke atas semua artikel yang terpapar.


PERTAMA
Hati-hati ini sangat mementingkan perpaduan umat.
@ Bersatu-padu itu wajib. Hati-hati ini menganggap bahawa memandang persamaan adalah lebih utama daripada memandang perbezaan.


KEDUA
Hati-hati ini meraikan warna-warna budaya di serata dunia.
@ Tidak hairanlah jika masjid di
China berbentuk kuil.


KETIGA
Hati-hati ini mahukan dakwah yang bijaksana.
@ Fahami aspirasi dan kebudayaan masyarakat yang kita dakwahkan.


KEEMPAT
Hati-hati ini patuh dengan mazhab tapi tanpa taksub melulu dan dalam masa yang sama meraikan mazhab-mazhab yang lain.
@ Semua mazhab benar tetapi keseragaman mendatangkan banyak faedah berbanding tanpa keseragaman.


KELIMA
Hati-hati ini merendah diri dengan mengutamakan pandangan para pendahulu mereka berbanding pandangan mereka.
@ Namun hati-hati ini tidak pernah menolak kajian-kajian mutakhir oleh mereka yang ahli.


KEENAM
Hati-hati ini yakin bahawa Allah sedia ada sebelum wujudnya tempat, arah dan posisi, malahan Allahlah yang menciptakan tempat, arah dan posisi.
@ Tempat, arah dan posisi adalah makhluk. Semuanya baru dijadikan. Asalnya tidak ada, kemudian baru ada. Allah tidak begitu, Dia sudah sedia ada.


KETUJUH
Hati-hati ini mengambil berat semua perkara penting tetapi mengutamakan perkara YANG LEBIH PENTING.
@ Pergi menunaikan haji itu sangat penting, tetapi menggunakan wang simpanan kita itu untuk membiayai perang jihad yang sedang melanda daerah kita adalah lebih penting.
Sebab itulah hati-hati ini tidak akan membuang masa membincangkan perkara-perkara yang sudah berkeputusan sejak ratusan tahun dahulu di kala fitnah akhir zaman begitu hebat melanda umat ini dan pada masa ‘daulah’ entah ke mana.


KELAPAN
Hati-hati ini meraikan jemaah-jemaah Islam yang ada dan meyakini semuanya menuju salaf tapi dengan pendekatan yang tersendiri.
@ Tidak terlintas anggapan mengatakan jemaah akulah yang terselamat. Tidak juga menghukum jemaah-jemaah yang berwarna-warni itu sebagai sebahagian dariapda 72 golongan yang tidak selamat.


KESEMBILAN
Hati-hati ini faham ‘bidaah’ bukanlah satu hukum.
@ Hukum ke atas bidaah dijatuhkan mengikut keadaan "bidaah" itu sendiri. Sebab itu dalam kitab-kitab kita ada menemui ayat "bidaah yang makruh", "bidaah lagi makruh", "bidaah yang mungkar", "bidaah yang tidak disunatkan (bidaah yang harus)" dan seumpamanya.


KESEPULUH
Hati-hati ini tidak mengiktiraf apa yang dibawa oleh kaum berfahaman Salafi Tua @ Wahabi itu sebagai tajdid.
@ Mereka membawa ‘barang lama’ yang sudah lapok, bagaimana boleh dikatakan ‘tajdid’?


KESEBELAS
Hati-hati ini akur bahawa setiap mazhab ada kaedah-kaedah yang tersendiri.
@ Untuk memahami keputusan sesuatu mazhab, mengajar ataupun menilainya semula, mestilah dengan menguasai kaedah-kaedah mazhab tersebut. Tidak boleh menggunakan kaedah satu mazhab untuk digunakan pada mazhab yang lain, apatah lagi jika menggunakan kaedah sendiri.


KEDUA BELAS
Hati-hati ini akur bahawa tajdid berlaku sepanjang masa sejak kurun pertama hinggalah ke masa kana datang.
@ Bukan Syeikh Ibnu Taimiyyah dan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab saja yang mentajdid.


KETIGA BELAS
Hati-hati ini menolak kenyataan kononnya ‘tidak bermazhab’ itu memberi erti ‘merdeka daripada belenggu dan taqlid’.
@ Dikhuatiri mereka yang berpendapat begitulah sebenarnya sedang dibelenggu dan bertaqlid dengan hawa nafsunya.


KEEMPAT BELAS
Hati-hati ini menyanjung tinggi para ulama yang berjasa ke atas alam Melayu ini sejak sebelum zaman Kesultanan Melaka lagi yang umumnya mereka berfahaman Kaum Tua dan bersentuhan dengan tariqat.
@ Tokoh-tokoh Kaum Muda ada juga serba-sedikit jasa mereka pada zaman-zaman sebelum kemerdekaan, namun mereka tidak bersikap seperti kaum berfahaman Tajdid Tua @ Wahabi hari ini. Dulu mereka bijak menentukan agenda utama iaitu perjuangan umat dan bukannya isu-isu yang sudah berkeputusan khilaf.


KELIMA BELAS
Hati-hati ini mengatakan kepada ‘mereka’: “ Kami juga Salafi, cuma kamu Salafi Tua (yang sudah tidak relevan, membawa perpecahan dan kemunduran) manakala kami Salafi Segar (sebagaimana yang dibawa oleh para Salafuss Soleh dahulu, sentiasa relevan, bersifat menyatukan dan membawa kemajuan).
@ Semua pejuang agama ini mencari dan menuju Salaf, bukan kamu sahaja.


Begitulah antara pemahaman saya dalam merenung isi artikel-artikel di blog ini. Sekiranya berlaku kekhilafan pandangan dengan mana-mana sahabat Pro-Tajdid, saya memohon kemaafan. Mantapkan ukhwah, perkasakan dakwah.


Hati ini berasa senang melihat BUTANG PRO-TAJDID (Segar) tertera di muka depan begitu banyak blog, malah mungkin sudah setanding ataupun mungkin melebihi jumlah butang Pro-Tajdid (Lapok) versi sebuah forum berfahaman Wahabi. Hati-hati ini bersilaturrahim tanpa saling mengenal terlebih dahulu lalu membentuk satu kesatuan fikiran.


Saya akhiri dengan DOA RABITAH (ditentang keras oleh kebanyakan kaum berfahaman Salafi Tua @ Wahabi) Ikhwanul Muslimin oleh Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna:


“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini bersepakat untuk mengasihi-Mu, betemu untuk mentaati-Mu, bersatu untuk dakwah-Mu,, berjanji untuk menolong syariat-Mu.”


“Ya Allah, eratkanlah hubungannya, kekalkanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya. Penuhilah hati-hati ini dengan cahaya-Mu yang tidak akan pudar, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman terhadap-Mu, juga dengan tawakkal kepada-Mu.”


“Hidupkanlah hati-hati ini dengan makrifat-Mu, dan matikanlah ia dalam syahid demi memperjuangkan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong. Ya Allah, kabulkanlah permintaan ini dan berilah selawat dan salam-Mu ya Allah ke atas Nabi kami Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.”


‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

3 SEPTEMBER 2007

http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/gate.html?name=News&file=article&sid=221&mode=&order=0&thold=0

2 comments:

iskandar zulkarnain said...

Syukran atas ziarah ke blog saya-iskandar di http://disertasi.blogspot.com

DR. SALAFI MUDA said...

Syukran juga kepada Iskandar kerana sudi membalas ziarah. Selamat berjuang kepada DISERTASI.