Thursday, September 12, 2013

Politik - Pejuang yang Taksub Mesti Disaring

Yang menjadi virus dalam kumpulan pejuang ASWJ :

Jenis A - Yang taksub mempertahankan parti politik tertentu.
Jenis B - Yang taksub menolak parti politik tertentu.
Jenis C - Yang taksub mempertahankan parti politik tertentu dan taksub menolak parti politik tertentu.
Jenis D – Yang taksub menolak parti-parti politik.
Jenis E – Yang taksub menerima parti-parti politik.

Jenis-jenis ini mestilah disaring. Jika tidak, mereka akan banyak melemahkan dan merugikan perjuangan para pejuang ASWJ. Kenal pasti dan senaraikan orang-orang yang mengaku memperjuangkan ASWJ tetapi datang dari jenis A, B, C, D dan E ini. Ambil tindakan sewajarnya.


Yang kita kena saling berlapang dada dan saling bahu-membahu :

Jenis F - Yang mempertahankan parti politik tertentu tetapi tidak taksub.
Jenis G –Yang menolak parti politik tertentu tetapi tidak taksub.
Jenis H - Yang mempertahankan parti politik tertentu dan menolak parti politik tertentu tetapi tidak taksub.
Jenis I – Yang menolak parti-parti politik tetapi tidak taksub.
Jenis J - Yang menerima parti-parti politik tetapi tidak taksub.
Jenis K -Yang tidak memperjuangkan atau menolak mana-mana parti politik.

Kenalpasti dan senaraikan pejuang ASWJ jenis F, G, H, I J dan K. Gabungkan kekuatan mereka.


Abu Zulfiqar
12 September 2013



Wednesday, July 31, 2013

KDN Haramkan Pertubuhan Syiah Malaysia

KDN isytihar pengharaman berkuat kuasa semalam

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram, berkuat kuasa semalam. 
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata ia diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966. 


Abdul Rahim berkata pengikut Syiah pernah memohon mendaftarkan pertubuhan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di Melaka pada 18 Jun 2011, namun ditolak pada 4 Ogos tahun yang sama.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PertubuhanSyiahMalaysiaharam/Article/

Penjelasan ke atas Fitnah2 Lily Hashim

Semakin hari semakin ramai orang yang bertanyakan tentang dakwaan-dakwaan Lily Hashim yang ditujukan kepada saya. Memang letih hendak menjelaskannya kepada seorang demi seorang. Alhamdulillah, syukur. Selepas diberikan pencerahan beserta bukti-buktinya, semua yang bertanya nampaknya memahami situasi sebenar dan dengan mudah dapat menolak dakwaan-dakwaan itu.

Untuk mengelakkan daripada menghabiskan banyak masa menjawab berkali-kali, maka di sini saya kongsikan pembelaan saya beserta bukti-buktinya. Kepada yang sedang bertanya dan belum berjawab, dan kepada yang bakal bertanya, saya akan beri link terus ke artikel ini. Senanglah sikit kerja saya.

Saya yakin, masih ada lagi dalam kalangan mereka yang tidak bertanya kepada saya situasi sebenar yang tersalah faham dan ada juga yang percaya bulat-bulat segala dakwaan Lily Hashim kerana mereka hanya berkesempatan mendengar cerita sebelah pihak.  Oleh itu, di sinilah tempat untuk anda mengetahui cerita sebenar, beserta dengan bukti-buktinya.

Lily Hashim mendakwa saya ada melakukan beberapa perkara yang tidak saya lakukan, tetapi apabila diminta bukti berkali-kali, semuanya gagal diberi sehinggalah ke hari ini. Di Facebook, saya memberikan 3 kali peluang untuk Lily Hashim memberikan bukti-bukti ke atas dakwaan-dakwaannya, jika tidak, saya terpaksa 'unfriend'. Tetapi setiap kali dia menulis, hal lain yang ditulis. Selepas 3 kali dia mengelak, maka saya dengan berat hati terpaksa 'unfriend'. Namun begitu, saya sudah maklumkan kepadanya bahawa pada bila-bila masa sahaja boleh 'friend' semula apabila dia sudah bersedia dengan bukti-bukti yang diminta. Malangnya sehingga ke hari ini masih belum ada (*mencari bukti-bukti yang tidak ada memanglah tidak akan berjumpa).

Dalam usaha untuk membersihkan nama saya, maka saya terpaksa memberikan penjelasan beserta bukti-bukti bergambar. Semoga dengan penjelasan ini dapatlah mencerahkan situasi sebenar. 

PERKARA 1 – DAKWAAN KONONNYA ABU ZULFIQAR BERGADUH DENGAN USTAZ ABU WIDAD AD-DUSUNI AL-ASY’ARI 

Kata Lily Hashim : “Abu Zulfiqar Amsyari mula-mula bergaduh dengan Ustaz Abu Widad Al-Dusuni Al-Asy’ari pasal Syeikh Harari." Gambar di bawah ialah bukti kepada kata-katanya itu :



Cerita sebenar – saya tidak pernah bergaduh dengan Ustaz Abu Widad Ad-Dusuni Al-Asy’ari, apatah lagi bergaduh tentang Syeikh Harari. Belum pernah saya berbalah dengan sesiapapun tentang Syeikh Harari, kerana saya sendiri kurang mengenali Syeikh Harari itu. Sebaik-baik sahaja terbaca fitnah ini, saya terus menulis kepada Ustaz Abu Widad sendiri, sebagaimana berikut :

“Aslkm tuan. Lily Hashim kata kita pernah bergaduh tentang Syeikh Harari. Betul ke tuan? Ana tak ingat le. Kalau betul ada, minta tuan imbas semula, ataupun kalau ada link. Sebab rasa-rasanya tak pernah pulak kita bergaduh tentang Syeikh Harari. Manalah tahu kalau-kalau saya tersilap/terlupa.  Tq tuan. Aslkm.”

Gambar di bawah menjadi bukti kepada soalan saya :


Apa jawapan Ustaz Abu Widad? Jawapannya jelas menunjukkan Lily Hashim tidak berkata benar. Jawab Ustaz Abu Widad :

“Waalaikumussalam. Takde tuan. Kita tak pernah gaduh, cuma berkhilaf masalah muzik. Mungkin dia (*Lily Hashim) salah tafsir. Barokallahufik.”

Gambar di bawahlah bukti kepada jawapan Ustaz Abu Widad :


Maka dengan izin Allah, saya dan Ustaz Abu Widad sendiri membuktikan bahawa :
1. Kami tidak pernah bergaduh.
2. Kami pernah bertukar-tukar pandangan soal hukum-hakam muzik, bukannya pasal Syeikh Harari.

Semoga para pembaca dapat memahami situasi sebenar. Dengan ini jelaslah bahawa dakwaan Lily Hashim ini tidaklah benar melainkan cerita rekaannya sahaja.


PERKARA 2 - DAKWAAN KONONNYA ABU ZULFIQAR AL-AMSYARI MENYANGGAH USTAZ FAEZ AL-'AYDRUS

Seterusnya Lily Hashim mendakwa Abu Zulfiqar Al-Amsyari ada menyanggah Ustaz Faez Al-Aydrus. Hakikatnya, saya tidak menyanggah apa-apa, malahan tak pernah komen pun pada mana-mana tulisan Ustaz Faez. Seingat saya sebelum ini berkenalan pun kami tidak pernah, saling bertulisan pun tidak pernah. Wallahua'lam.

Dengan bukti-bukti bergambar, insya-Allah akan terpamer juga kedudukan yang sebenar. Bahkan sudah berkali-kali saya meminta bukti daripada Lily Hashim kononnya saya ada menyanggah Ustaz Faez, sehingga ke hari ini belum ada satu bukti pun yang diberikan olehnya.

Berikut ialah bukti tulisan (dakwaan) Lily Hashim yang mengatakan saya ada menyanggah Ustaz Faez itu :


Kata Lily Hashim : "... dia (Abu Zulfiqar) juga menyanggah Syed As-Sayyid Faez Al-'Aydrus dalam isu Mesir dan Ikhwanul Muslimin Salafi Wahhabi."

Di mana tempat yang dikatakan saya menyanggah Ustaz Faez ini? Sudah tahu tempatnya barulah boleh kita selidik benarkah berlaku sanggahan itu. Tempatnya ialah di wall Facebook Lily Hashim. Buktinya, Lily Hashim sendiri menulis :


Tulis Lily Hashim : "..sedangkan dah diterangkan oleh Ustaz Syed Faez DALAM WALL SAYA - bahawa mereka (ulama-ulama dalam Jabhah Ulama Al-Azhar) yang menyuruh Syeikh Al-Azhar resign ialah Ikhwanul Muslimin Salafi Wahhabi."

Tahulah kita sekarang bahawa tulisan Ustaz Faez yang kononnya saya sanggah itu adalah di wall Facebook Lily Hashim. Benarkah saya ada membuat apa-apa sanggahan?

Mari kita lihat apa sebenarnya yang berlaku (dengan bukti-bukti bergambar).


Kronologi tuduhan Lily Hashim :

1. Saya membuat satu post tentang ringkasan beberapa berita terkini Mesir di wall saya, berdasarkan berita-berita di LAMAN BERITA Satu Umat.

2. Tiba-tiba Lily Hashim menulis satu komen berbunyi : "Al-Azhar tak sokong Ikhwanul Muslimin-baca official page Al-Azhar-wassalam." 


Seingat sayalah, saya tidak pernah menulis apa-apa komen di wall Lily Hashim, tapi tak tahulah kalau-kalau saya terlupa. 

3. Oleh kerana Lily Hashim membuat satu komen di laman saya, saya pun berasa tak ada salahnyalah kalau saya juga buat satu komen di lamannya, sebagai balasan kunjungan dan juga sebagai maklumat tambahan, dan maklumat pengimbang kepada maklumat yang ada padanya. Biasalah, apabila ada maklumat yang pro dan kontra, barulah kita dapat gambaran yang lebih jelas tentang sesuatu isu. Jadi niat asalnya ialah untuk saling berkongsi maklumat. Keadaan sebegini biasa berlaku antara pengguna-pengguna Facebook.

4. Komen saya di wall Lily Hashim itu berbunyi : "Aslkm. Ini 1 komen saya sekadar respon ke atas 1 komen anda di wall saya. Berita bertajuk "Ulama2 Al-Azhar Desak Syeikhul Azhar Letak Jawatan". Jelas di sana tulisan saya itu sekadar 1respon dan dalam bentuk berita (bukan pandangan peribadi). 

Berita saya itu dibalas oleh Ustaz Faez sebagaimana berikut :


Jelas di sana bahawa komen saya itu sekadar sebagai satu respon ke atas komen Lily di wall saya. Saya ingatkan dia orang yang boleh dibuat sahabat bertukar-tukar pandangan, sekalipun pandangan masing-masing mungkin ada berkhilaf, rupa-rupanya tidak.

Berbalik kepada komen Ustaz Faez, saya tak punya banyak maklumat tentang keanggotaan Jabhah Ulama Al-Azhar ini, jadi saya menganggap info yang disampaikan oleh Ustaz Faez itu sebagai satu maklumat/ilmu baru buat saya, kerana nampak gayanya macam dia lebih banyak tahu daripada saya. Maka tidaklah saya membantah apa-apa sampailah ke hari ini. Selepas komen Ustaz Faez itu, yang ada hanyalah komen Lily Hashim dan orang lain. Jika benar saya ada menyanggah, tentulah jelas terpampang tulisan saya selepas tulisan Ustaz Faez itu. Tapi tak ada pun. Sebab itu apabila saya minta bukti kononnya saya ada menyanggah Ustaz Faez, Lily Hashim gagal memberikannya.

Bahkan kalaulah hendak dikatakan menyanggah, maka Ustaz Faezlah yang menyanggah saya kerana dia menulis selepas saya menulis, dan tulisannya memang tertuju secara langsung kepada apa yang saya tulis. Kenapa Lily Hashim tak sebarkan bahawa Syed Faez yang menyanggah saya? Sebaliknya Lily Hashim mengatakan pula kononnya Abu Zulfiqar yang menyanggah Ustaz Faez.

Alangkah peliknya dunia hari ini, orang yang menulis/bercakap dahulu dikatakan menyanggah orang yang menulis/bercakap kemudian!

Namun saya yakin, Ustaz Faez bersikap professional. Niatnya bukan untuk saling menyanggah tetapi untuk saling berkongsi dan bertukar maklumat sebagai pengimbang supaya pandangan kita tentang sesuatu isu itu lebih jelas dengan adanya maklumat yang pro dan maklumat yang kontra.

Kesimpulannya, saya tidak pernah menyanggah apa-apa nukilan Ustaz Faez sebagaimana yang didakwa oleh Lily Hashim. Jika benar ada, pada bila-bila masa Lily Hashim boleh printscreen gambar di situ dan tunjukkan. Maka fahamlah kita kenapa sehingga ke hari ini Lily Hashim masih belum menunjukkan apa-apa bukti atas tuduhannya bahawa kononnya saya menyanggah Ustaz Faez.

Di beberapa tempat, entah berapa kali Lily Hashim 'tag' nama saya dan nama Ustaz Faez bersama-sama dengan harapan agar kami termakan dengan kata-katanya lalu  berbalah. Di bawah ini ada dua contoh :

(*belum diupload gambarnya)



Dengan penjelasan berbukti ini, saya kira dapatlah saya membersihkan diri saya daripada cerita yang diada-adakan oleh Lily Hashim.


PERKARA 3 - BENARKAH ABU ZULFIQAR ADA MENDOAKAN APA-APA YANG TIDAK BAIK KEPADA LILY HASHIM?

Ramai yang bertanya tentang hal ini, kerana mereka terbaca doa Lily Hashim ke atas saya yang nadanya agak kurang manis. Saya jelaskan, tidak pernah ada di mana-mana yang saya mendoakan apa-apa yang tidak baik kepada Lily Hashim. Sekiranya ada, bolehlah dibawakan buktinya.

Inilah doa Lily Hashim yang mereka maksudkan itu :

Bunyi doanya : "Ya Allah, bukakanlah pintu rahmatMu dan makbulkan doaku semoga dia dapat berubah, semoga virus bernama Abu Zulfiqar ini tidak dapat attack umat Islam dan semoga kuliahnya jika masih menabur fitnah ke atas saya takkan mendapat sambutan sehingga dia sedar perbuatan mengaibkan sesama pejuang Islam ASWJ demi ijtihad politik yang sempit sangat salah - aamin."

Pada saya, doa sebegini biasa sahajalah, dan tidaklah mengganggu saya pun kerana sudah biasa menerima doa-doa yang sangat buruk ketika berhadapan dengan puak-puak ajaran sesat, Syiah, anti-Hadis dan lain-lain. Tapi oleh kerana sahabat-sahabat yang membaca doa ini meminta penjelasan, maka saya berusahalah membela diri sekadarnya.

Tapi memang ada seorang sahabat saya (Encik N) yang terkena doa 'seseorang" yang doa itu sangatlah buruk isi kandungannya. Dia didoakan sebegitu hanya kerana dia menulis satu komen agar saya tidak perlu membuang masa melayan Lily Hashim.

Mari kita lihat doanya :

Mula-mula kita lihat doa ke atas Encik N terlebih dahulu (doanya dibuat dengan tulisan berhuruf besar lagi, untuk menunjukkan pendoa memang bersungguh-sungguh) : "SAYA MINTA SUPAYA SEMUA IBU ADIK PEREMPUAN DAN KAKAK KAMU DIFITNAH DAN DIANIAYAI SETERUK-TERUKNYA SEHINGGAKAN KAMU SEDAR PERBUATAN KAMU MEMFITNAH SEORANG WANITA YANG IKHLAS BERJUANG UNTUK ISLAM ASWJ DAN SEMOGA KAMU SEMPAT DAPAT HIDAYAH. SELAGI ITU SAYA TAKKAN MAAFKAN KAMU DAN AKAN BERDOA SEMOGA KAMU DAPAT PEMBALASAN SETIMPAL DENGAN DOSA KAMU DI DUNIA DAN DI AKHIRAT."

Siapa-siapa pun akan terkejut dengan doa yang sebegini buruk ke atas sesama umat Islam.


Benarkah Encik N ada menghina Syeikhul Azhar?
Tidak benar. Saya ada menjelajah ke lamannya dan tidak menemui sebarang hinaan kepada Syeikhul Azhar. Bahkan dia ada membuat pos-pos yang positif tentang Syeikhul Azhar. Dia ada meminta Lily Hashim kemukakan bukti yang mengatakan dia ada menghina Syeikhul Azhar, tapi macam biasalah, tiada sebarang bukti dikemukakan.

Gambar di bawah menunjukkan Encik N meminta bukti kepada Lily Hashim yang kononnya Encik N ada menghina Syeikhul Azhar. Encik N menulis demikian betul-betul di bawah salah satu komen Lily Hashim, tetapi Lily Hashim tidak berikan apa-apa bukti (kerana memang tidak ada bukti berkenaan).



Tulis Encik N di atas : "Saudari Lily Hashim jangan lupa apa bukti yang saya minta... Ingat, puan juga sudah memfitnah saya secara tak langsung, tanpa selidik apa pendirian saya, terus je cakap saya menghina Syeikhul Azhar??? Adakah menyuruh Ustaz Abu Zulfiqar Amsyari jangan layan puan, dikatakan menghina Syeikh Azhar???"

Sebab itulah Encik N menulis dengan nada kecewa di wallnya : "...selepas membuat fitnah terhadap aku (*kononnya menghina Syeikhul Azhar), lalu didoakan pula keburukan jatuh ke atas mak dan kakak aku. Terima kasih wahai Puan Hajjah Lily Hashim......"

Jelaslah kepada kita, bahawa Lily Hashim membuat cerita kononnya Encik N menghina Syeikhul Azhar bukanlah kerana memang benar Encik N ada menghina, tetapi hanya kerana Encik N meminta agar saya tidak melayan Lily Hashim. Begitulah cara kisah sebenar diputar-belitkan.


PERKARA 4 - KONONNYA ABU ZULFIQAR MENUDUH LILY HASHIM SEBAGAI WAHHABI

Dakwa Lily Hashim lagi, saya memfitnahnya sebagai Wahhabi. Ini kata-katanya : "Awak (*saya le tu) tuduh saya Wahhabi? Sedangkan Ibnu Nafis dah verify saya pernah bersama dia di MUAFAKAT untuk himpunan pejuang Islam ASWJ..."


Ini dakwaan yang pelik. Mana mungkin saya menuduh Lily Hashim sebagai Wahhabi, kerana kami sama-sama menghadiri himpunan pejuang Islam ASWJ itu yang isi utama himpunan itu ialah langkah-langkah mengekang fahaman Wahhabi. Padahal yang hadir lebih kurang 30 orang sahaja pun dari seluruh negara. Maksudnya dia tidak perasan yang saya juga hadir kerana mungkin saya berpakaian biasa, tidak berserban hitam dan tidak berjubah sebagaimana biasa. 

Dari itu, memang mustahil untuk saya menuduh Lily Hashim sebagai Wahhabi, kerana saya sedia maklum yang dia memang menentang apa yang salah dan apa yang lemah daripada ajaran Wahhabi itu, sama seperti saya juga Jadi, dari mana datangnya dakwaan kononnya saya menuduh dirinya Wahhabi? Macam dakwaan-dakwaan yang lain jugalah, Lily Hashim mencipta cerita-cerita sendiri kononnya Abu Zulfiqar buat begitu, buat begini... tapi apabila diminta buktinya... tidak ada.


PERKARA 5 - DAKWAAN KONONNYA ABU ZULFIQAR MENOLAK SYEIKHUL AZHAR

Pertama kali Lily Hashim menulis komennya di wall saya dalam isu ini ialah pada hari Rabu 10 Julai. Maksudnya paling awal pun Lily Hashim mendakwa saya menentang Syeikhul Azhar ialah pada 10 Julai itulah.

Dengan kuasa Tuhan, pada 6 Julai (4 hari sebelum dialog antara saya dengan Lily berlaku) berlaku dialog saya dengan seorang teman FB bernama Abu Syakir. Dalam perbualan kami, jelas-jelas menunjukkan saya tidak menolak Syeikhul Azhar. Inilah gambar dialog saya dengan Abu Syakir sebagai bukti.




Abu Syakir berkongsi dengan saya satu tulisan orang lain, yang mendakwa Syeikhul Azhar bersekongkol dengan tentera Fir'aun Mesir menjatuhkan Morsi. Dia minta pandangan saya.

Tuan-tuan boleh baca sendiri bagaimana jawapan saya yang membela Syeikhul Azhar (4 hari sebelum tuduhan Lily Hashim kononnya saya menentang Syeikhul Azhar) : "Tentang pandangan peribadi Syeikhul Azhar, dia juga bukan menolak Mursi dan menyokong tentera. Cuma dia berpandangan, sekiranya Mursi tidak turun, tentera akan mengganas dan dalam masa sekejap sahaja puluhan ribu orang akan terkorban. Jika Mursi turun, korban tetap berlaku tetapi tidak seramai kalau Mursi terus kekal, dan korban akan jatuh sedikit demi sedikit (*maksudnya tidaklah sekaligus ribuan orang). Contohnya (sekadar beri gambaran), jika Mursi kekal, dalam minggu ini sahaja mungkin puluhan ribu orang akan kehilangan nyawa. Tapi kalau Mursi turun, minggu ini mungkin baru ratus-ratus sahaja (*ternyata telahan saya itu benar-benar berlaku kemudiannya). Jadi, syeikhul itu atas ijtihad peribadinya memilih kemungkinan yang kurang buruk berbanding kemungkinan yang sangat buruk."

Jawapan ini saya berikan pada 6 Julai, sedangkan permasalahan saya dengan tulisan pertama saya dna Lily Hashim hanya berlaku pada 10 Julai dan ke atas.

Orang yang bermata hati tentu sedar bahawa saya tidak menentang Syeikhul Azhar. Encik N yang disebutkan di atas tadi pun memang tidak menghina Syekhul Azhar. Semua itu hanyalah cerita rekaan Lily Hashim untuk mendapatkan sokongan orang lain dan menunjukkan seolah-olah kami berdua memang jahat dan berbahaya.


bersambung... ada lagi... belum sempat menulis..


Friday, June 21, 2013

Kesatuan Eropah : Hamas Pengganas, Hizbullah Tidak

Usul Britain untuk memasukkan Syiah Hizbullah dalam daftar teroris di negara negara Kesatuan Eropah kembali menghadapi penolakan pada hari Rabu , kerana EU khuatir hal itu akan mencetuskan ketidakstabilan di Timur Tengah, kata para diplomat.
Permintaan Britain telah dibahas untuk kedua kalinya oleh kelompok EU khusus mengenai Hizbullah .
“Tidak ada kesepakatan dan kesepahaman atas masalah ini dan akan dibahas lebih lanjut, tapi tidak  saat ini,” kata seorang diplomat.
Usul Britain meminta dukungan di Eropa dalam beberapa minggu terakhir di tengah tanda-tanda bahawa Hizbullah semakin terlibat dalam perang di Syria.
Para diplomat mengatakan majoriti dari 27 negara anggota EU, termasuk Perancis dan Jerman, menolak proposal Britain.
Tetapi di sisi lain EU memasukkan pada daftar hitam kelompok-kelompok seperti Hamas-gerakan perjuangan Islam Palestin yang kini menguasai Jalur Gaza,  dan miltan Kurdish di Turki. Aset mereka di Eropah dibekukan  dan mereka tidak memiliki akses finansial di Eropah ,  mereka juga diblok dari mengumpulkan wang untuk kegiatan mereka. (Arby/Dz)

Puak-puak Sepanjang Bulan Maulidurrasul

Apabila tiba bulan Maulidurrasul, akan wujudlah beberapa golongan manusia yang mempunyai pengisian tambahan masing-masing sempenanya.

GOLONGAN PERTAMA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, golongan ini lebih suka berbalah tentang tarikh kelahiran Rasulullah saw. Begitulah kerja mereka berulang-ulang setiap tahun. Bulan Maulidurrasul dijadikan perayaan “Bulan Berbalah & Bertengkar”. Terasa puas dan hebat jika dapat membuktikan orang lain salah dan pendapat sendiri betul. Inilah pengisian tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.

GOLONGAN KEDUA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, mereka akan MELEBIHKAN tarbiyyah dan dakwah berkaitan peribadi Rasulullah saw, kerana pada bulan-bulan lain mereka LEBIH TERTUMPU kepada bahagian kajian agama, perbandingan agama, mustalah hadith, hafazan, perubatan nabawi, haraki, jihad, sejarah, falak, akhir zaman, tafsir dan lain-lain. Jadi bulan ini dijadikan satu ruang untuk mengurangkan sebentar perbicaraan hal-hal tadi lalu ditambahkan ruang untuk berbicara tentang peribadi kekasih kita iaitu Rasulullah saw. Inilah pengisian tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.

Samalah halnya dengan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara. Apabila kita membuat majlis-majlis khusus untuk mengingatinya pada bulan Ogos, ini bukan bermakna kita tidak menghargai kemerdekaan negara dalam bulan-bulan lain.

Contohnya, jika pada bulan-bulan biasa seseorang penceramah itu punya 30 jam, mungkin 1-2 jam sahaja digunakannya untuk bercerita tentang Rasulullah. Tapi apabila tiba bulan Maulidurrasul, mungkin 10-12 jam digunakannya untuk itu.

GOLONGAN KETIGA
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, golongan ini akan menghabiskan sebahagian besar waktu mereka dengan membid’ahkan  umat Islam. Terasa puas jika dapat menjatuhkan hukuman “berdosa” kepada majlis-majlis yang dibuat oleh golongan kedua. Sebelum masuk bulan Maulidurrasul lagi senjata-senjata serangan sudah disiapkan. Inilah pengisian tambahan mereka sepanjang bulan Maulidurrasul.

GOLONGAN KEEMPAT
Asal datang sahaja bulan Maulidurrasul, terlonjak-lonjak dengan majlis-majlis Maulidurrasul sedangkan pada bulan-bulan sebelumnya tidak kisah sangat pun hal ehwal agama. Walau bagaimana kedaaan dan suasana sesuatu majlis itu, asal dikaitkan dengan Maulidurrasul, mereka anggap bagus. Inilah pengisian tambahan mereka sempena bulan Maulidurrasul.

GOLONGAN KELIMA
Datang atau tidak bulan Maulidurrasul, mereka tidak buat apa-apa pengisian tambahan, baik yang positif ataupun yang negatif. Biasa sahaja. Bagi mereka, tidak ada apa-apa peluang atau kesempatan yang perlu diambil walau untuk tujuan tarbiyyah dan dakwah. Bulan Maulidurrasul tiada apa-apa makna.

Anda dari golongan yang mana?

Abu Zulfiqar
12 Rabi’ul Awwal 1434
24 Januari 2012

Bukan Sekular dan Nasrani Sahaja

Ketika tulisan saya menyentuh 6 Virus Dalaman [Syiah, Salafi Wahhabi, SIPLISISME (Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme), ajaran-ajaran sesat, Ahmadiyyah Qadiyani, dan Anti-Hadith], seornag hamba Allah memberikan komen.

HAMBA ALLAH MENULIS :
Salafi adalah sebahagian umat Islam, kenapa mesti bertempur sesama Muslim sedangkan golongan sekular dan Nasrani sedang membajak (menyerang dan berusaha menjajah) Indonesia...Mengapa tak habis-habis berselisih tajam dalam masalah khilaf?

PENJELASAN SAYA :
Itulah, isu khilaf dah ratusan tahun didebat, hasilnya... tetap khilaf. Kalau masih didebat juga hari ini, lagi ratusan tahun pun keputusannya... tetap khilaf. Sangat membuang masa dan menguntungkan musuh-musuh Islam. Memang itu yang dimahukan oleh musuh-musuh Islam pun. Kaum yang bijak, tak sibuk-sibuk dah isu khilaf ni.

Penyelesaiannya sangat mudah, sebelum kita menuruh orang yang meronta menangis berhenti meronta menangis, kita mesti suruh orang yang memukul berhenti memukul terlebih dahulu. Jadi, puak Salafi Wahhabi mestilah berhenti terus daripada menyebarkan isu-isu khilaf kepada masyarakat, maka kaum ASWJ Arus Perdana juga akan turut berhenti pertahan diri/menyerang kembali. Selesai masalah.

Kita tidak menolak dan menentang Sekular dan Nasrani sahaja, tapi kesemua 6 Virus Dalaman (termasuk Salafi Wahhabi) dan semua Virus Luaran (termasuk Nasrani).

Sebenarnya umat Islam boleh maju, boleh aman, boleh masuk syurga dan lain-lainl walaupun tanpa kewujudan fahaman Salafi Wahhabi. Mewujud dan mengekalwujudkan sesuatu yang tiada manfaat adalah perbuatan sia-sia. Oleh itu, sangat moleklah jika kesemua 6 Virus Dalaman itu dihapuskan. Wallahua’lam.

Saranan2 kepada Yang Bakal Memerintah

Kepada sesiapa pun yang memerintah negara selepas PRU 13 ini nanti, tanpa mengira pihak mana yang diwakilinya, suka dicadangkan hal-hal berikut kepada mereka.

PERANG POSTER

Berusaha untuk menamatkan perang bendera, poster, sepanduk, papan tanda dan seumpamanya antara parti-parti politik pada musim pilihanraya. Sangat jelas kepada kita bawa perang sebegini melibatkan berbelanjaan yang sangat besar. Adalah lebih baik jika perbelanjaan ini dihalakan kepada kebajikan rakyat ataupun sekurang-kurangnya kepada kebajikan ahli-ahli sesuatu parti politik itu. Banyak negara-negara maju yang tidak mengamalkan perang sebegini.

Perang bendera juga menghabiskan banyak masa manusia, seringkali juga menimbulkan perbalahan, pernah mendatangkan kecederaan dan kehilangan nyawa, menjadi sampah bertebaran apabila tidak terjaga, menjadi panji-panji yang menyedihkan apabila terperosok ke longkang atau dipijak-pijak orang, malah boleh membawa kepada wujudnya sifat-sifat mazmumah tertentu kepada sebilangan orang.

Sebagai gantiannya, apabila tiba musim pilihanraya, cukuplah jika diletakkan papan tanda besar (atau seumpamanya) yang memaparkan gambar semua calon yang bertanding di kawasan itu, lambang parti yang diwakili mereka, dan satu cogan kata masing-masing. Papan tanda besar ini diletakkan di lokasi-lokasi strategik dan tidak perlu banyak. Tujuan kita hanya untuk memperkenalkan calon dan pihak yang diwakilinya, maka tidak perlu berperang bendera. Bendera-bendera (dan seumpamanya) eloklah diletakkan di bilik-bilik gerakan, tempat ceramah, marakas , tempat perkhidmatan atau seumpamanya sahaja, dan boleh dibawa pada hari penamaan calon, mengiringi calon dan pada hari pengundian. Tak perlu banyak, cukup sekadar ada sahaja.

Pembiayaan papan tanda yang dimaksudkan di atas tadi boleh sahaja menggunakan wang SPR, atau pihak-pihak yang bertanding, atau hadiah daripada parti yang sebelum itu menjadi pemerintah, atau lain-lain yang dirasakan wajar.

Nilai agama yang kita perjuangkan – berjimat, bijaksana, saling hormat-menghormati, bekerjasama, bersaing secara sihat, kebajikan, tenang, memelihara panji kebesaran masing-masing.

PEMBERIAN SEPANJANG TEMPOH BERKEMPEN

Berusaha untuk menghentikan segala bentuk pemberian  terutamanya yang berbentuk kebendaan oleh parti-parti politik ataupun yang tidak berparti sekurang-kurangnya pada sepanjang tempoh berkempen iaitu antara penamaan calon sehinggalah ke hari pilihanraya. Kita sedia maklum, sangat banyak masa lain yang boleh digunakan untuk menghulurkan wang atau barangan sebelum menjelang pilihanraya, maka mengapa mesti kita tunggu pada musim pilihanraya baru hendak menunjukkan bakti dan jasa? Jika tergelincir niat, silap-silap boleh menjadi “rasuah politik”.  

Oleh itu perlulah diwujudkan peraturan yang melarang sebarang bentuk pemberian sebegini pada sepanjang tempoh berkempen, sama ada melalui majlis rasmi ataupun secara tidak rasmi. Mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini hendaklah dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Nilai agama yang kita perjuangkan – ikhlas.  

SAGUHATI PENGUNDI PULANG MENGUNDI

Berusaha untuk menyediakan perbelanjaan perjalanan pulang mengundi (ataupun sekuarng-kurangnya saguhati) bagi pengundi-pengundi yang tinggal jauh tanpa mengira parti politik, contohnya dalam bentuk pemberian terus ataupun secara tuntutan, ataupun cara lain yang difikirkan wajar. Hal ini bersesuaian dengan niat kita yang mahu setiap warganegara ambil peduli dan mahu sama-sama bertanggungjawab terhadap negara.  Saguhati perjalanan pulang ini dapat meningkatkan peratusan pengundi membuang undi.

Apa yang berlaku sekarang, pihak-pihak yang bertanding pula yang memberi saguhati kepada para pengundi untuk pulang, untuk mengurangkan perbelanjaan pulang mereka.

Nilai agama yang kita perjuangkan – memudahkan, menggalakkan yang baik, ikhlas, mahu sama-sama bertanggungjawab.

RUANG BERKEMPEN DI MEDIA ELEKTRONIK

Berusaha untuk memberikan peluang berkempen kepada semua parti melalui siaran televisyen dan radio, jika sekalipun tidak sampai ke peringkat sama berat (sama banyak ruang) tetapi biarlah lebih berbanding apa yang diberi selama ini.

Nilai agama yang kita perjuangkan – adil, berani.

MASALAH HUTANG NEGARA

Berusaha keras untuk menyelesaikan masalah hutang negara, ataupun mengurangkan, ataupun menyekat kenaikan, ataupun paling  kurang pun melambatkan kadar kenaikan hutang negara dengan sesegera mungkin. Hal ini kerana dalam beberapa tahun kebelakangan ini jumlah hutang negara meningkat dengan banyaknya dalam masa yang singkat. Dari RM 250 billion pada tahun 2008 kepada RM 550 billion pada tahun 2013. Bayangkan “bunga”nya. Hutang membuatkan kita diperhambakan oleh pihak yang memberi hutang tanpa mengira sebanyak mana harta simpanan kita dan pendapatan kita. Jika dibiarkan berterusan, negara kita akan tergadai seperti negara Greece. Anak cucu kitalah yang akan menanggung hutang-hutang ini. Walaupun kadar hutang negara belum sampai ke tahap yang berbahaya, namun jika dibiarkan berterusan tentunya akan masuk ke zon berbahaya juga. Oleh itu kita mengharapkan agar dapat segera dikurangkan daripada 53 % daripada GDP (pendapatan negara kasar) pada hari ini kepada 50 % sahaja.

Nilai agama yang kita perjuangkan – bertanggungjawab, menyelamatkan, berusaha gigih, bermatlamat dan berobjektif, berpandangan jauh.

ETIKA DALAM PARLIMEN

Berusaha mewujudkan peraturan agar persidangan Dewan Rakyat berjalan dalam lebih suasana orang-orang yang beriman dan beradab menurut agama Islam. Hal ini selaras juga dengan nilai-nilai dalam agama Hindu, Buddha, Tao, Kristian dan lain-lain. Segala bentuk kutukan, makian, ejekan, “booo”an, budaya ala samseng, lawak jenaka murahan dan  merendah-rendahkan lawan, dan seumpamanya hendaklah dikekang. Sebaliknya gantikan dengan persidangan  yang berisi hujahan berfakta, saranan-saranan, penilaian, bertukar-tukar fikiran, saling menghormati, kurang meninggi suara dan sebagainya.

Nilai agama yang kita perjuangkan – bina sifat-sifat mahmudah dan tundukkan sifat-sifat mazmumah, qudwah hasanah.

KETUA NEGARA

Berusaha meletakkan seorang yang mampu dan layak menjadi imam solat sebagai ketua negara (Perdana Menteri). Sudah lama umat Islam negara ini merindukan pemimpin yang seperti Rasulullah, Khulafa Ar-Rasyidin, Sultan Muhammad Al-Fateh dan lain-lain yang selalu memimpin mereka dalam ibadah solat.

Nilai agama yang kita perjuangkan – pemimpin yang bertanggungjawab, menjadi contoh ikutan yang baik, memimpin rakyat untuk dunia dan akhirat, berani.

Berusaha melantik ketua negara yang gigih memperjuangkan (bukan sekadar mengakui tapi tidak memperjuangkan bersungguh-sungguh, apatah lagi jika menolak) penutupan aurat khususnya bagi ibu-ibu orang-orang Islam, isteri-isteri orang-orang Islam, gadis-gadis Islam, anak-anak Islam, kaum lelaki juga, dan yang lebih utama ialah diri, keluarga dan orang-orang di bawah ketua negara itu sendiri.

Nilai agama yang kita perjuangkan – patuh perintah/larangan Tuhan tanpa soal, menyelamatkan diri dan umat, berani, menjadi contoh yang hasanah.

Bukan ini sahaja, banyaklah lagi. Jadi kepada mana-mana pihak pun yang menang dan membentuk kerajaan selepas ini, tolonglah mengusahakan hal-hal di atas dengan bersungguh-sungguh.

Abu Zulfiqar
2 Mei 2013

Menjawab Albi Nagae yg Pertahankan PBT Lombok

ALBI NAGAE MENULIS :
Tidak ada yang mustahil bagi Allah. Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi, apa lagi sekedar menempel, masuk di dada orang itu sangat mudah bagi Allah. Apa pun yang Allah mahu, itu sangat mudah baginya. Tidak ada yang tidak mungkin tapi kalau Abu Zulfiqar berpikirnya malah sebaliknya,, sangat sempit sekali pikirannya.!

ABU ZULFIQAR MENULIS :
Tuan Albi Nagae, sila belajar dan memahami ilmu tauhid terlebih dahulu. Sebenarnya, banyak perkara yang mustahil bagi Allah. Antaranya :
1.      Mustahil bagi Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada kerajaan-Nya.
2.      Mustahil untuk Allah menciptakan satu kuasa yang lebih kuat daripada-Nya.
3.      Mustahil bagi Allah untuk mempunyai anak.
4.      Mustahil bagi Allah untuk wujud selepas kewujudan mana-mana makhluk terlebih dahulu, kerana Dia sedia ada sejak azali.
5.      Mustahil bagi Allah untuk lebih miskin daripada mana-mana makhluk-Nya.
6.      Mustahil bagi Allah untuk dipengaruhi oleh ruang, tempat, lokasi, posisi, arah, sempadan, batas, tepi dan lain-lain (kerana semua itu makhluk, mana mungkin Allah terpengaruh/dipengaruhi oleh makhluk). Apatah lagi untuk masuk ke dalam dada Abdul Aziz yang mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim dan berkata-kata di dalam dadanya.
7.      Mustahil bagi Allah untuk diperintah-perintah oleh mana-mana makhluk.
8.      Mustahil bagi Allah untuk mematikan diriNya… dan banyak lagi perkara yang mustahil bagi Allah.

Ajaran yang mengatakan : “Tidak ada yang mustahil bagi Allah” ialah ajaran yang salah di sisi agama Islam. Ajaran yang dikehendaki Islam ialah “Ada yang tidak mustahil bagi Allah, dan ada yang mustahil bagi-Nya”.

Sudah banyak kali saya ulangi, silakan pergi belajar ilmu tauhid terlebih dahulu. Di sana nanti tuan akan dapat melihat dengan lebih jelas betapa tidak punya ilmu tauhid dan betapa dustanya Si Abdul Aziz Muhammad Nasir di Lombok, Indonesia yang mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim, merangkap Al-Mahdi ke-2 iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim (Al-Mahdi utama menurut ajaran ini ialah Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad iaitu Nasser Mohamed di Yaman), sebagaimana yang didakwanya.

Tuan sendiri mengatakan : “Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi”. Tuan fahamkah erti kata-kata ini. Maksudnya segala sesuatu diciptakan oleh Allah SWT termasuklah ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan semestinya juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya. Semua itu diciptakan Allah daripada tiada kepada ada. Semua itu makhluk. Semua itu baharu. Semua itu lemah

“ALLAH YANG TERAWAL dan yang terakhir.” (Al-Hadid : 3)


Maksudnya, sebelum semua itu wujud, Allah sudah sedia ada sejak azali tanpa dipengaruhi oleh semua makhluk-makhluk itu. Dia bersifat qadim. Dan sebagaimana yang kita sedia maklum juga, Zat Allah mustahil mengalami sebarang perubahan. Sekiranya berlaku walau satu perubahan pada Zat Allah, maka dia tidak bersifat baqa’.

Oleh itu, sebelum wujudnya seluruh makhluk termasuklah ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya, Zat Allah sudah sedia ada tanpa terpengaruh atau dipengaruhi oleh semua itu. Bagaimana semua itu mampu mempengaruhi Allah kerana semua itu belum wujud, belum diciptakan-Nya?

Kemudian, apabila Allah SWT menciptakan makhluk termasuklah semua yang disebutkan tadi, Zat Allah masih kekal sebagaimana ketika azali juga. Dia tidak mengalami sebarang perubahan sampailah bila-bila pun. Mustahil bagi dirinya mengalami perubahan sama ada sebelum wujudnya makhluk ataupun selepas diciptakan-Nya makhluk. Jika berlaku walau sekelumit perubahan pada Zat Allah, maka dia bukanlah Tuhan. Yang mengalami perubahan hanyalah makhluk yang bersifat baharu. Yang mengalami perubahan hanyalah makhluk (yang dijadikan/diciptakan) bukan Khaliq (Yang Menjadikan/yang Menciptakan).

“Segala sesuatu pasti rosak (mengalami perubahan) melainkan WajahNya.” (Al-Qasas : 88)

Maka apabila Abdul Aziz Lombok (iaitu kononnya Pemuda Bani Tamim dan Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim) mengaku ada sesuatu yang masuk ke dalam dirinya, menyakitkan dirinya, berkata-kata dalam dadanya, boleh pula keluar masuk tubuhnya, sesuatu itu mengaku sebagai Allah, Abdul Aziz meyakini memang itu Allah, menyebarkan pengalamannya itu (yang entah betul entahkan tidak) dan mahu umat Islam mempercayai benda yang amsuk ke dalam dadanya itu memang betul Allah, jelas sekali dia sudah berTuhankan makhluk, bukannya berTuhankan Allah Yang Esa.

Lihat buktinya iaitu pengalaman Abdul Aziz Lombok sendiri :
“Kemudian ibunya (ibu Abdul Aziz Lombok)  bertanya kepadanya (kepada Abdul Aziz Lombok): “Kenapa kamu nak?Ada apa denganmu?” Dia menjawab “ada sesuatu yang masuk dalam dadaku dengan melafazhkan: Alqiyamah, Alqiyamah”.

Kisah Abdul Aziz lagi :
“Sesuatu yang memasuki dirinya menjawab: “Akulah Allah Yang Maha Suci dan Agung, Tuhanmu dan Tuhan Semesta Alam”.

Alangkah dustanya semua ini.

Mustahil untuk berlaku sebagaimana yang di atas kepada Allah Yang Esa. Jika itu berlaku, maksudnya Zat Allah sudah dipengaruhi oleh perubahan, ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya. Mana mungkin Allah tertakluk/terpengaruh dengan semua makhluk itu.

Kaji semula iktiqad anda, iman anda, tauhid anda apabila anda meyakini kata-kata anda ini : “Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi, apa lagi sekadar MENEMPEL, MASUK DI DADA ORANG itu SANGAT MUDAH BAGI ALLAH.”

Mana mungkin Allah menempel pada makhluk. Mana mungkin Allah keluar masuk tubuh manusia. Mana mungkin Allah masuk ke dalam dada Abdul Aziz Lombok.

Tuan Albi Nagae, silalah koreksi semula semua pegangan tuan di bawah ini :
1.      Tuan meyakini bahawa tidak ada yang mustahil bagi Allah. Sebenarnya ada yang mustahil dan ada yang tidak mustahil bagi Allah.
2.      Tuan meyakini Allah boleh keluar masuk tubuh/dada Abdul Aziz Lombok dan berkata-kata di dalam dadanya. Padahal perkara itu mustahil bagi Allah.
3.      Tuan meyakini bahawa yang keluar masuk dada/tubuh Abdul Aziz dan berkata-kata di dalamnya itu ialah Allah. Hakikatnya, yang keluar masuk dada/tubuh Abdul Aziz Lomboki dan berkata-kata di dalamnya itu tidak lain ialah syaitan dari bangsa jin, dan diperkuatkan pula oleh khayalan-khayalan yang direka-reka olehnya. Tuan boleh lihat maksud Surah An-Naas, siapakah yang berkata-kata di dalam dada manusia? Allah ataupun syaitan?

“Aku berlindung dengan Rabb manusia, Penguasa manusia, Ilah manusia, daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, YANG BERKATA-KATA KE DALAM DADA MANUSIA, dari kalangan jin dan manusia.” (Surah An-Naas)

Ambillah pelajaran daripada semua ini wahai Tuan Albi Nagae. Kembalilah ke pangkuan Ahli Sunnah wal Jamaah dan dalamilah ilmu tauhid.

“Dan tiadalah mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang MENGGUNAKAN AKAL FIKIRANNYA.” (Al-Baqarah : 269).

Abu Zulfiqar
15 OGOS 2012