ALBI NAGAE MENULIS :
Tidak ada yang mustahil bagi Allah. Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi, apa lagi sekedar menempel, masuk di dada orang itu sangat mudah bagi Allah. Apa pun yang Allah mahu, itu sangat mudah baginya. Tidak ada yang tidak mungkin tapi kalau Abu Zulfiqar berpikirnya malah sebaliknya,, sangat sempit sekali pikirannya.!
ABU ZULFIQAR MENULIS :
Tuan Albi Nagae, sila belajar dan memahami ilmu tauhid terlebih dahulu. Sebenarnya, banyak perkara yang mustahil bagi Allah. Antaranya :
1. Mustahil bagi Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada kerajaan-Nya.
2. Mustahil untuk Allah menciptakan satu kuasa yang lebih kuat daripada-Nya.
3. Mustahil bagi Allah untuk mempunyai anak.
4. Mustahil bagi Allah untuk wujud selepas kewujudan mana-mana makhluk terlebih dahulu, kerana Dia sedia ada sejak azali.
5. Mustahil bagi Allah untuk lebih miskin daripada mana-mana makhluk-Nya.
6. Mustahil bagi Allah untuk dipengaruhi oleh ruang, tempat, lokasi, posisi, arah, sempadan, batas, tepi dan lain-lain (kerana semua itu makhluk, mana mungkin Allah terpengaruh/dipengaruhi oleh makhluk). Apatah lagi untuk masuk ke dalam dada Abdul Aziz yang mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim dan berkata-kata di dalam dadanya.
7. Mustahil bagi Allah untuk diperintah-perintah oleh mana-mana makhluk.
8. Mustahil bagi Allah untuk mematikan diriNya… dan banyak lagi perkara yang mustahil bagi Allah.
Ajaran yang mengatakan : “Tidak ada yang mustahil bagi Allah” ialah ajaran yang salah di sisi agama Islam. Ajaran yang dikehendaki Islam ialah “Ada yang tidak mustahil bagi Allah, dan ada yang mustahil bagi-Nya”.
Sudah banyak kali saya ulangi, silakan pergi belajar ilmu tauhid terlebih dahulu. Di sana nanti tuan akan dapat melihat dengan lebih jelas betapa tidak punya ilmu tauhid dan betapa dustanya Si Abdul Aziz Muhammad Nasir di Lombok, Indonesia yang mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim, merangkap Al-Mahdi ke-2 iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim (Al-Mahdi utama menurut ajaran ini ialah Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad iaitu Nasser Mohamed di Yaman), sebagaimana yang didakwanya.
Tuan sendiri mengatakan : “Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi”. Tuan fahamkah erti kata-kata ini. Maksudnya segala sesuatu diciptakan oleh Allah SWT termasuklah ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan semestinya juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya. Semua itu diciptakan Allah daripada tiada kepada ada. Semua itu makhluk. Semua itu baharu. Semua itu lemah
“ALLAH YANG TERAWAL dan yang terakhir.” (Al-Hadid : 3)
Maksudnya, sebelum semua itu wujud, Allah sudah sedia ada sejak azali tanpa dipengaruhi oleh semua makhluk-makhluk itu. Dia bersifat qadim. Dan sebagaimana yang kita sedia maklum juga, Zat Allah mustahil mengalami sebarang perubahan. Sekiranya berlaku walau satu perubahan pada Zat Allah, maka dia tidak bersifat baqa’.
Oleh itu, sebelum wujudnya seluruh makhluk termasuklah ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya, Zat Allah sudah sedia ada tanpa terpengaruh atau dipengaruhi oleh semua itu. Bagaimana semua itu mampu mempengaruhi Allah kerana semua itu belum wujud, belum diciptakan-Nya?
Kemudian, apabila Allah SWT menciptakan makhluk termasuklah semua yang disebutkan tadi, Zat Allah masih kekal sebagaimana ketika azali juga. Dia tidak mengalami sebarang perubahan sampailah bila-bila pun. Mustahil bagi dirinya mengalami perubahan sama ada sebelum wujudnya makhluk ataupun selepas diciptakan-Nya makhluk. Jika berlaku walau sekelumit perubahan pada Zat Allah, maka dia bukanlah Tuhan. Yang mengalami perubahan hanyalah makhluk yang bersifat baharu. Yang mengalami perubahan hanyalah makhluk (yang dijadikan/diciptakan) bukan Khaliq (Yang Menjadikan/yang Menciptakan).
“Segala sesuatu pasti rosak (mengalami perubahan) melainkan WajahNya.” (Al-Qasas : 88)
Maka apabila Abdul Aziz Lombok (iaitu kononnya Pemuda Bani Tamim dan Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim) mengaku ada sesuatu yang masuk ke dalam dirinya, menyakitkan dirinya, berkata-kata dalam dadanya, boleh pula keluar masuk tubuhnya, sesuatu itu mengaku sebagai Allah, Abdul Aziz meyakini memang itu Allah, menyebarkan pengalamannya itu (yang entah betul entahkan tidak) dan mahu umat Islam mempercayai benda yang amsuk ke dalam dadanya itu memang betul Allah, jelas sekali dia sudah berTuhankan makhluk, bukannya berTuhankan Allah Yang Esa.
Lihat buktinya iaitu pengalaman Abdul Aziz Lombok sendiri :
“Kemudian ibunya (ibu Abdul Aziz Lombok) bertanya kepadanya (kepada Abdul Aziz Lombok): “Kenapa kamu nak?Ada apa denganmu?” Dia menjawab “ada sesuatu yang masuk dalam dadaku dengan melafazhkan: Alqiyamah, Alqiyamah”.
Kisah Abdul Aziz lagi :
“Sesuatu yang memasuki dirinya menjawab: “Akulah Allah Yang Maha Suci dan Agung, Tuhanmu dan Tuhan Semesta Alam”.
Alangkah dustanya semua ini.
Mustahil untuk berlaku sebagaimana yang di atas kepada Allah Yang Esa. Jika itu berlaku, maksudnya Zat Allah sudah dipengaruhi oleh perubahan, ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya. Mana mungkin Allah tertakluk/terpengaruh dengan semua makhluk itu.
Kaji semula iktiqad anda, iman anda, tauhid anda apabila anda meyakini kata-kata anda ini : “Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi, apa lagi sekadar MENEMPEL, MASUK DI DADA ORANG itu SANGAT MUDAH BAGI ALLAH.”
Mana mungkin Allah menempel pada makhluk. Mana mungkin Allah keluar masuk tubuh manusia. Mana mungkin Allah masuk ke dalam dada Abdul Aziz Lombok.
Tuan Albi Nagae, silalah koreksi semula semua pegangan tuan di bawah ini :
1. Tuan meyakini bahawa tidak ada yang mustahil bagi Allah. Sebenarnya ada yang mustahil dan ada yang tidak mustahil bagi Allah.
2. Tuan meyakini Allah boleh keluar masuk tubuh/dada Abdul Aziz Lombok dan berkata-kata di dalam dadanya. Padahal perkara itu mustahil bagi Allah.
3. Tuan meyakini bahawa yang keluar masuk dada/tubuh Abdul Aziz dan berkata-kata di dalamnya itu ialah Allah. Hakikatnya, yang keluar masuk dada/tubuh Abdul Aziz Lomboki dan berkata-kata di dalamnya itu tidak lain ialah syaitan dari bangsa jin, dan diperkuatkan pula oleh khayalan-khayalan yang direka-reka olehnya. Tuan boleh lihat maksud Surah An-Naas, siapakah yang berkata-kata di dalam dada manusia? Allah ataupun syaitan?
“Aku berlindung dengan Rabb manusia, Penguasa manusia, Ilah manusia, daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, YANG BERKATA-KATA KE DALAM DADA MANUSIA, dari kalangan jin dan manusia.” (Surah An-Naas)
Ambillah pelajaran daripada semua ini wahai Tuan Albi Nagae. Kembalilah ke pangkuan Ahli Sunnah wal Jamaah dan dalamilah ilmu tauhid.
“Dan tiadalah mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang MENGGUNAKAN AKAL FIKIRANNYA.” (Al-Baqarah : 269).
Abu Zulfiqar
15 OGOS 2012
No comments:
Post a Comment