Saturday, January 5, 2008

Saya Bukan Ahli Politik, Tetapi...

“Aih, di sini pun cakap politik juga”, keluh seorang pembaca.


“Ingatkan berkecuali. Rupa-rupanya sama sahaja si Abu Saif ni!”, rungut pembaca yang satu lagi pula.


“Saya tak suka cakap-cakap politik ni. Boleh tak elakkan politik di sini?”, minta seorang lagi pengunjung.


Panas juga. Tak pernah-pernah Abu Saif menulis tentang politik, tiba-tiba semenjak kebelakangan ini, lain pula nadanya. Saifulislam.Com sudah mula berpolitik?


Saya bukan ahli politik. Tidak terfikir di minda saya untuk menjadi seorang ahli politik. Ahli politik dalam erti kata berkempen politik, berceramah di pentas politik, atau mungkin juga bertanding sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, menggantikan Lim Kit Siang yang sudah sekian lama mewakili orang kampung saya.


Saya bukan ahli politik.


Tetapi ini tidak bermakna saya buta politik, atau berkecuali dari berfikir tentang politik, apatah lagi menganggap politik bukan urusan saya dan bukan urusan agama. Saya bukanlah peminat Khomeini, tetapi ada kata-katanya yang patut diberi perhatian. Beliau pernah menyebut, “orang yang memisahkan politik dari agama, dia itu tidak faham apa itu agama, dan apa itu politik”.


Jahil terhadap kedua-duanya.


Apabila saya berbual atau menulis tentang politik, saya maksudkan ia sebagai disiplin mengatur kehidupan manusia. Tentang peraturan hablun minannaas yang merupakan separuh kedua agama kita. Mahu tidak mahu, kita tetap merupakan sebahagian dari politik. Sama ada kita berperanan mencorakkan politik, atau kita sendiri menjadi mangsa percaturan politik akibat buta politik. Atau sengaja memejamkan mata terhadapnya.


Soal keterlibatan seseorang dengan perlakuan politik, itu soal kedua. Apatah lagi jika anda seorang pelajar. Biar pun undang-undang negara telah mewartakan anda pada usia begitu sebagai seorang yang layak mengundi, anda ada peraturan-peraturan universiti yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Maka soal keterlibatan pelajar dengan politik, saya serahkan kepada anda untuk membuat percaturan mengenainya.


Tetapi tidak terlibat dengan politik, tidak bermakna kita tidak boleh belajar, mengambil tahu dan membuat pendirian mengenainya. Buangkan jauh-jauh nama parti politik yang kalian tidak suka, isu-isu yang mereka bawa tetap tidak boleh kita pisahkan dari kehidupan.


Jika isu tol, kenaikan harga minyak, kepincangan sosial, pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris dan korupsi serta kronisma dan nepotisma… kita kaitkan dengan parti politik tertentu, jika parti politik itu mati sekali pun, isu-isu berkenaan tetap merupakan masalah kita, masyarakat kita. Parti politik adalah kenderaan dan wadah untuk memperkata dan memperjuangkan isu-isu tersebut, tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata.


Maka Islam mempersoalkan peranan kita terhadapnya. Ada istilah amar makruf, ada istilah nahi munkar. Bagaimanakah anda melaksanakan dua tanggungjawab ini, terhadap isu-isu yang saya sebutkan tadi.


Jika kita alah dengan parti politik, ia bukan alasan untuk kita buat tidak peduli kepada masalah yang membelenggu kehidupan kita dan masyarakat. Biar pun hadith , “barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam maka dia itu bukan dari kalangan mereka” itu dihukum sebagai hadith yang sangat lemah oleh al-Albani (*Albani bukan ulama muktabar- Alex), apakah ini juga bermaksud saranan Islam agar seorang Muslim menjaga kebajikan saudara Muslimnya yang lain juga lemah?


Pernahkah Nabi SAW sambil lewa terhadap apa yang berlaku kepada sahabat, juga komuniti non-Muslim di sekitarnya? Apakah ada orang yang tertindas, ditekan dan dizalimi, dan Nabi SAW tidak peduli kepada nasib mereka?


Renung sahaja amaran Allah SWT:


almaun.JPG

“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. maka kecelakaan besar bagi ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri terhadap amalannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya)” (Al-Ma’oon 107 : 1-7)


Pendusta agama yang diperincikan oleh Allah karakter mereka adalah golongan yang tidak melaksanakan tanggungjawab sosial, sebelum Allah menyebut kecacatan ibadahnya. Di peringkat massa, kebajikan anak yatim, membela kaum fakir miskin, adalah persoalan-persoalan yang membabitkan banyak aspek. Bagi kita sebagai rakyat, ia boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. NGO dan badan-badan kebajikan boleh berperanan dalam membantu hal ini.


Tetapi bagi sebuah negara, ia bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyatnya terjaga. Polisi-polisi harus memberikan keadilan dan kesejahteraan hidup kepada masyarakat. Semua ini bersangkutan dengan politik kerana politik itulah medan urusan ini ditadbir dan dijaga.


Apakah kita bisa membiarkan diri menjadi pendusta agama dengan tidak mempedulikan tanggungjawab ini?


SAIFULISLAM.COM DAN PENDIRIAN POLITIK


Soal Abu Saif memilih parti mana, itu perkara yang berasingan. Tetapi wacana saya di sini menyeru kepada kita semua agar cintakan kebenaran dan keadilan. Sebagaimana kita suka menyuburkan kebenaran di pelbagai peringkat kehidupan, saya juga mahu kita peka kepada lawan kebenaran itu. Kebatilan tidak boleh disembunyikan. Ia mesti diperkatakan.


Allah mengutuskan setiap nabi dan rasul kepada umat, bukan hanya untuk mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada-Nya, tetapi juga menjauhkan manusia dari saingan Allah. Al-Quran mengistilahkan saingan ini sebagai taghut, iaitu pelampau yang melampaui batas-batas Allah. Ia mungkin manusia, mungkin sistem. Lantas tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar, menuntut kita untuk bukan sahaja cintakan kebaikan, tetapi juga mengambil bahagian dalam bertindak mengatasi kebatilan.


Tidak semestinya dengan membabitkan diri sebagai aktivis politik. Tetapi mustahil kita boleh berperanan jika kita buta politik atau jahil mengenainya.


MENYALAH TAFSIRKAN SAIFULISLAM.COM


Saya mendapat feedback daripada pembaca, bahawa ada golongan yang menjadikan artikel-artikel saya sebagai hujah mereka untuk menolak agenda BERSIH yang menuntut pilihanraya yang adil dan telus. Kata mereka, “lihat, Ustaz Hasrizal sendiri mengajak kita kepada perdamaian”.


Ya, saya mengajak kepada kedamaian. Tetapi bukan secara berkompromi dengan kebatilan. Saya sering berusaha mengajak semua daie yang cintakan Islam untuk bersatu, tetapi bukan atas nama kesatuan itu, perkara batil kita diamkan.



yazalim.JPG


Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, “Wahai zalim”, maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (HR. Ahmad)


Oleh yang demikian, tidak pernah dalam mana-mana artikel saya, ada cadangan agar kita memansuhkan politik dari pengetahuan dan perhatian kita. Apa yang sering saya kongsikan bersama pembaca, ialah agar kita menekuninya sebagai sebahagian daripada definisi diri kita menjadi hamba dan khalifah kepada-Nya.


Malah di peringkat pertubuhan-pertubuhan Islam, mereka boleh mengambil pendekatan untuk tidak terlibat dengan politik atas pertimbangan-pertimbangan tertentu. Tetapi ia sepatutnya dilakukan hanya untuk pengkhususan bidang dan strategi, dan bukannya menolak politik secara prinsip.


Maka, janganlah sekali-kali mereka yang berjuang di dalam NGO, menabur idea bahawa “perjuangan kami lebih baik dari perjuangan kamu sebab kami NGO yang selamat, sedangkan kamu parti politik yang mencampakkan diri ke kebinasaan!”. Ini bukan bahasa da’ie yang tulus dalam perjuangannya.


ULTRA SALAFI YANG MENGHAIRANKAN


Ketika BERSIH berjaya mengumpulkan rakyat dari pelbagai agama, bangsa dan parti politik, atas suatu titik persamaan iaitu mahukan keadilan dan transparesi dalam pemerintahan dan pilihanraya, kita dikejutkan dengan idea-idea kelompok ultra Salafi yang tidak henti-henti melaungkan seruan, “haram menegur pemerintah secara terbuka”.


Haram menegur pemerintah melalui ceramah dan tulisan terbuka.


Kemuncaknya adalah haram menegur pemerintah melalui demonstrasi di jalan raya.


Semua ini diklasifikasikan sebagai maksiat kepada Allah.


Saya faham, memang terdapat banyak hadith Nabi SAW dan peringatan dari atsar Sahabah tentang tuntutan menyabarkan diri atas kezaliman pemerintah. Tetapi hadith-hadith tersebut diungkapkan dalam konteks satu amalan politik yang ada karakter tertentu. Malah larangan menegur pemerintah secara terbuka juga tidak mutlak.


Konteks politik yang saya maksudkan itu ialah, selama 1000 tahun pemerintahan Islam, kita tidak mempunyai legasi constitution yang memperincikan bidang kuasa dan kaedah check and balance di dalam sebuah kerajaan. Channel menegur pemerintah lazimnya dalam format yang straight to the point dan kita bisa faham bagaimana teguran secara terbuka dan langsung mempunyai risiko yang tinggi untuk mencetuskan keresahan dan ketidak stabilan sosial. Maka, mengekalkan ketenteraman awam, lebih penting dari usaha meluruskan pemerintah dalam kesalahan-kesalahan peribadinya yang tertentu.


Hari ini, saluran menegur sudah diperincikan oleh perlembagaan. Bidang tugas dan ruang lingkup menyatakan pandangan juga sudah diperincikan oleh peraturan negara. Selagi mana komitmen terhadap peraturan ini dipatuhi, selagi itu kestabilan masyarakat terus terjamin. Kerajaan memberi peruntukan kebebasan bersuara, manakala rakyat pula memanfaatkannya secara berhemah dan bertatasusila.


Demonstrasi juga bukanlah suatu yang patut diselalukan, tetapi ia ada justifikasi selagi mana komitmen mereka yang terlibat boleh dikawal.


Jika Islam mengajar tenteranya agar sempat peka kepada larangan mematah pokok, menyerang orang tua, perempuan dan kanak-kanak serta mereka yang berlindung di rumah ibadat, maka tidak mustahil untuk demonstrasi dilakukan dengan etika-etika tertentu. BERSIH baru-baru ini sekali lagi mengulang cerita, bahawa yang melanggar komitmen kepada keamanan ialah pihak berkuasa, bukannya massa.


Tidak Mutlak


Tetapi larangan menegur dan tuntutan sabar terhadap kesalahan pemerintah itu juga tidak mutlak. Ia dibatasi dengan ingatan Baginda SAW bahawa “selagi mana pemerintah itu memastikan solat ditegakkan”, “selagi mana pemerintah itu tidak melakukan kekufuran yang bawwah - nyata tanpa boleh dipertikaikan lagi -”, juga “selagi mana pemerintah itu tidak melakukan maksiat yang bawwah“.


Kecelikan kita semua terhadap isu-isu semasa amat penting dalam membuat penilaian, apakah unsur maksiat bawwah atau kufur bawwah itu ada di dalam masyarakat kita? Manusia yang jahil politik, atau sengaja memejamkan mata dari masalah-masalah masyarakat, tidak mungkin dapat menilainya dengan betul.


Bagi golongan yang tidak merestui korupsi pemerintah, mereka mengambil pendekatan menegur di dalam parlimen dan dewan rakyat, menyebutnya di dalam ceramah dan penulisan, dan dalam keadaan-keadaan tertentu mereka terpaksa berdemonstrasi. Apabila kaedah yang mereka pakai begitu terbuka dan jelas, maka mudah untuk kita membuat penilaian. Jika salah, boleh diperbetulkan.


Tetapi bagi yang mengharamkan perbuatan menegur pemerintah secara terbuka, kita perlu tahu apakah method yang mereka pakai untuk menegur pemerintah. Saya yakin, apa sahaja mazhab dan manhaj kita, kemungkaran tetap kemungkaran dan ia perlu dicegah dan dibasmi. Hal ini wajib menjadi suatu kesepakatan di antara kita.


Akan tetapi, bagi golongan ultra Salafi ini, apakah cara mereka melaksanakan nahi munkar tersebut? Apakah mereka menulis surat dan email kepada menteri-menteri kita? Apakah mereka buat temu janji untuk bertemu bagi sesi menegur? Apakah mereka jemput menteri ke rumah untuk mendengar nasihat mereka? Atau mereka bertandang ke rumah menteri untuk memberitahu mereka bahawa rasuah, ISA, bebanan tol, kepincangan sistem kehakiman, kronisma dan nepotisma, penipuan tender dan sebagainya ini, adalah suatu kemungkaran?


Ini yang perlu diperjelaskan.


Dalam mengemukakan pendapat yang berkaitan dengan ibadah, kesan bermanhaj secara literal tidaklah besar impaknya kerana ia terhad kepada amalan peribadi. Tetapi untuk memperkatakan tentang muamalah dan siasah, pendapat kita mesti valid untuk dijadikan polisi. Maka apakah polisi golongan ultra Salafi dalam menjalankan tanggungjawab mereka mencegah kemungkaran?


Selain SS Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, yang boleh menggunakan kapasitinya sebagai mufti untuk meluruskan ibadah, muamalah dan siasah Perlis, menjadi penasihat kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Perlis, bagaimana pula dengan individu ultra Salafi yang lain? Apa method mereka? Mufti dengan tugas mufti, mereka yang bukan mufti juga adalah tanggungjawab masing-masing dalam hal ini.


Jika persoalan ini gagal dijawab, maka ia akan menjurus kepada gerakan Sunnah untuk sekali lagi diperguna dan diperalatkan oleh politik dan politikus. Sudah banyak kali gerakan Sunnah berjaya mencapai kuasa perlaksanaan, tetapi sering berakhir sebagai mangsa politik pemerintah. Bak kata pepatah Melayu, “habis manis sepah dibuang”. Seperti kes yang menimpa Mehmet Birgili yang pernah saya bentangkan di seminar di UIA beberapa tahun yang lalu. (Klik di sini untuk muat turun kertas kerja tersebut).


Inilah yang saya maksudkan tadi, bahawa dalam kehidupan realiti, sama ada kita mengawal politik, atau politik akan mengikat dan mengawal kita. Untuk terlepas dari politik, jauh sekali.


Persoalan ini penting, kerana golongan ultra Salafi dan pihak pemerintah sendiri, senada dalam memberi teguran kepada orang ramai.


SS MUFTI PERLIS DAN BERSIH


Di dalam temubual oleh Radio 24 Bernama pada Berita 8 malam 12 November baru-baru ini, SS Mufti Perlis memberi ingatan kepada BERSIH supaya memikirkan bahawa ketika kepentingan peribadi, golongan atau parti tertentu mahu dicapai, kesan tindakan mereka sebenarnya menimpa semua orang. Beliau juga mahu BERSIH melihat nasib negara-negara Muslim lain yang tidak menikmati keamanan dan kebebasan bersuara seperti yang ada di Malaysia. Selain itu, beliau mengingatkan BERSIH agar tidak lupa kepada adab-adab semasa berada di Masjid, dan adab itu perlu dibawa juga ke luar masjid.


Soalnya, sekalian mereka yang terlibat di dalam BERSIH memang komited kepada keamanan. Buktinya, kesemua mereka bersurai secara aman dan teratur selepas memorandum berjaya diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sedangkan siapakah yang menembak orang ramai dengan water canon dan air berasid? Siapakah yang mengunci masjid malah pernah dalam demonstrasi sebelum ini, mereka masuk ke masjid dengan memakai but? Tidakkah semua itu dilakukan oleh FRU sebagai jentera pemerintah?


Bukankah teguran sepatutnya ditujukan kepada pihak berkuasa, sebelum ia dilontar kepada massa?


Mengapa pembangkang juga yang akhirnya bersalah?


CELIK POLITIK


Kerana sedar dengan realiti politik, saya pernah menyebut sebelum ini bahawa, jika Dr. Asri dilantik sebagai Mufti selepas Pilihanraya Umum, maka saya pasti segera mengucapkan tahniah. Tetapi jika perlantikan dibuat sebelum Pilihanraya Umum, maka saya terpaksa tunggu dan lihat.


Masih belum terlambat untuk kita saling berlaku adil. Bahawa kemungkaran tetap kemungkaran, ia mesti diperbetulkan sama ada ia dilakukan oleh ahli bid’ah di tengah masyarakat, atau pun pemerintah yang berkuasa di negeri dan negara.


Jika dirujuk kepada sejarah, British tidak pernah menganggap penentangan kaum Hindu sebelum Ghandi sebagai suatu ancaman kepada kuasa kuasa kolonialisasi mereka. Ini berpunca daripada kepercayaan kaum Hindu bahawa mereka telah ditakdirkan dihidupkan di dunia ini pada kasta tersebut dengan nasib semasa yang menimpa. Justeru mereka mengambil langkah pasrah, dengan harapan boleh lahir semula di alam kedua nanti dengan kasta dan nasib yang lebih baik.


Malah agama Kristian juga begitu. Politik ditinggalkan kerana negara idaman hanyalah Kingdom of Heaven di alam sana.


Apakah ultra Salafi mahu menyemai sikap inferior yang sama seperti ini?


BELAJAR TIDAK SEMESTINYA TERLIBAT


Oleh itu, saya ingin mengajak kita semua, pelajar dan pekerja, Salaf dan Khalaf, ahli PAS mahu pun JIM, ABIM dan Tabligh, agar sama-sama peka dengan politik. Memperkatakan tentang politik, jangan sempitkan kepada isu partisan semata. Ia terlalu luas dan murni sebagai satu cabang kehidupan dan disiplin pengetahuan.


Apa erti saya menganut Islam?


Salah satunya ialah, peduli terhadap nasib umat Islam, pada makruf dan pada mungkarnya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


sumber

KENALI SALAFI WAHABI YANG DITOLAK ITU

Pelbagai tuduhan dan kecaman dilemparkan bertubi-tubi kepada para pejuang Islam yang menolak dakwah dan dakyah para penganut fahaman Salafi Wahhabi, khususnya apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada fahaman dan tokoh-tokoh Salafi Wahhabi itu (yang benar daripada mereka tidak pernah kita tolak sama sekali). Pengkhususan ini terpakai kepada seluruh artikel ini.

Artikel ini akan menjelaskan kedudukan yang sebenarnya. Harap anda membacanya dengan sabar, hati yang jernih dan adil. Bukan setakat membaca, tetapi hingga ke peringkat merenung dan mengkaji, dan seterusnya membuat keputusan. 

Artikel ini sesuai untuk mereka yang belum taksub, iaitu golongan yang masih mahu dan mampu membuat penilaian dan pertimbangan. Kepada golongan yang sudah taksub kepada fahaman Salafi Wahhabi atau taksub kepada tokoh-tokoh pendukung fahaman Salafi Wahhabi ataupun kedua-duanya, artikel ini sudah tidak ada nilai dan tidak perlu dibaca lagi kerana golongan ini sudah tidak mahu dan mampu menilai dan mempertimbang. Mereka akan terus bertaqlid kepada ajaran-ajaran dan tokoh-tokoh Salafi Wahhabi, yang sebahagiannya bertaqlid buta dan ada juga yang bertaqlid celik.

Antara tuduhan dan kecaman yang biasa kedengaran ialah:

KAMU MENENTANG PARA PEJUANG SUNNAH!
Sebenarnya kita menyokong sepenuh hati sesiapa sahaja yang mahu memperjuangkan sunnah. Yang kita tentang ialah mereka yang menjadi pejuang sunnah versi fahaman Salafi Wahhabi sahaja. Harap dapat dibezakan betul-betul.

KAMU MENENTANG MANHAJ SALAF!

Sebenarnya kita menentang ‘manhaj salaf versi Salafi Wahabi’ sahaja, bukannya ‘manhaj Salaf’.

KAMU MENENTANG DAKWAH TAUHID
Kita menentang dakwah tauhid versi Salafi Wahabi sahaja (iaitu apa yang salah dan melemahkan sahaja, yang benar tidak pernah kita tolak).

KAMU MENOLAK PERJUANGAN MEMBANTERAS BIDAAH
Kita menolak perjuangan membanteras bid'ah cara Salafi Wahabi sahaja.


Begitulah seterusnya. Ringkasnya, selepas ini jika para pembaca bertemu lagi dengan pelbagai dakwaan dan label, hal itu adalah kerana kita tidak menerima fahaman mereka, kerana kita ‘MENOLAK KEBENARAN VERSI MEREKA’, bukannya kerana ‘KITA MENOLAK KEBENARAN’.

Caranya- letakkan sahaja perkatan ‘VERSI SALAFI WAHABI’ di belakang setiap tuduhan itu (mengikut kesesuaian).

Selesai satu masalah.



CARA DR. ASRI
Kita nilai perkataan-perkataan Dr. Asri ini dalam tulisannya bertajuk ‘Katakan Tidak Pada Wahabi’. Tujuannya bukan untuk menolak Dr. Asri, tetapi menolak apa yang lemah dan apa yang salah sahaja daripadanya. Yang benar daripadanya tidak pernah kita tolak malahan kita sokong sepenuh hati. Harap difaham situasi ini.



KATANYA:
“Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai 'wahabi'. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!.”

PENCERAHAN KITA :
Hal ini jelas satu pendustaan. Mustahil “Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai 'wahabi'.”

Ayat yang benar ialah:
“Jika seseorang memberikan pandangan agama YANG BUKAN MENJADI PERKARA YANG BIASA diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilabelkan sebagai syiah, ataupun wahabi, ataupun Qadiani, ataupun ajaran sesat ataupun yang lain-lain mengikut asal datangnya pandangan tersebut.”

Teliti baik-baik, anda pasti dapat melihat perbezaannya yang sangat jauh.

Apa permainannya?
Mudah sahaja!


Dr. Asri cuba menggambarkan betapa antinya umat Islam arus perdana Ahli Sunnah wal Jamah terhadap Salafi Wahabi, dan betapa tertekannya dakwah Salafi Wahabi ‘yang tulus’ itu hinggakan APA SAHAJA YANG DATANG (yang bertentangan dengan fahaman ualam dan umat Islam arus perdana ASWJ) TIDAK KIRA Syiah, sekular, liberal, ajaran sesat, Qadiani dan lain-lain, SEMUANYA akan dilabelkan sebagai WAHABI.

Betulkah pernyataan Dr. Asri ini?

Jawapan ikhlas anda: ………………..............


Yang mana satu yang benar? :

A. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai 'wahabi'.

B. 
Jika seseorang memberikan pandangan agama YANG BUKAN MENJADI PERKARA YANG BIASA diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilabelkan sebagai syiah, ataupun wahabi, ataupun Qadiani, ataupun ajaran sesat ataupun yang lain-lain mengikut asal datangnya pandangan tersebut.

A atau B.

Fikirkan dnegan hati yang jernih


KATANYA:
“Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!.”
“Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai 'wahabi'; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan.”


PENCERAHAN KITA :
Orang awam sudah tentulah begitu. Hal ini tidaklah boleh kita jadikan hujah.
Cuba kita berdiri di depan masjid selepas solat Jumaat dan buat kajian. Tanyakan kepada orang ramai: “Suka Syiah tak?” majoriti akan menjawab ‘Tak suka.” Kemudian tanyakan, “Apa itu Syiah?”.

Ini SOALAN DEFINISI. Mampukah orang awam dalam keadaan tidak bersedia begitu memberi pengertian Syiah dengan tepat?
Adakah situasi ini menjadi bukti bahawa ajaran Syiah itu benar? Adakah ia menjadi bukti bahawa umat Islam tidak tahu tentang Syiah lalu mereka kena mengakui kebenaran Syiah? Adakah ini menjadi bukti umat Islam berlaku tidak adil kepada Syah?

Ulangi kajian anda dengan bertanya: “Apa definisi elektrik?”, “Apa dia ajaran Qadiani?”, “Apa dia ajaran Ayah Pin” dan lain-lain.

Bertanya kepada orang ramai tentulah macam-macam jawapannya dan tidak tepat. CUBA BERTANYA KEPADA PARA ULAMA dan ORANG-ORANG MEREKA!

Kenapa Dr. Asri senaraikan CAKAP-CAKAP ORANG AWAM sahaja? Kenapa dia tidak menyenaraikan dalam artikelnya itu definisi ‘Wahabi’ oleh para ulama yang menolak fahaman Salafi Wahabi? Betul tak?

Fahami permainannya, tahulah jawapannya.


Mudah sahaja. Beliau cuba menggambarkan yang rata-rata umat Islam di Malaysia ini (termasuklah para ulama) tidak faham apa itu ‘wahabi’ lalu termenentang perkara yang benar.


KATANYA:
“Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh.”
“Ada yang kata: wahabi tidak tahlil”
“Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi.”
“Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab.”
“Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin 'Abd al-Wahhab”.



PENCERAHAN KITA :
Anda bertanya DEFINISI kepada ORANG AWAM, sudah tentulah begitu jawapannya. Cuba letakkan sebaris para pendokong fahaman Salafi Wahabi ‘bawahan’ di Malaysia ini (tanpa memberitahu tujuannya kepada mereka), kemudian kita tanyakan, “Apa itu Islam Tradisional?”

Anda rasa mereka boleh memberi satu definisi yang jelas dan hampir-hampir sama semua orang?


Jawapannya tentu lebih kurang sebagaimana cara jawapan yang disenaraikan oleh Dr. Asri di atas tadi. Betul kan?

Kenapa? Kerana yang ditanya itu orang awam.

Cara begini tidak ada kesarjanaan. Sepatutnya hujah-hujah itu tidak dimasukkan ke dalam artikel tersebut dalam usaha Dr. Asri hendak membela fahaman Salafi Wahabi. Dr. Asri kenalah menggunakan hujah yang ‘lebih dewasa’, bukannya kutip-kutip perkataan orang ramai.


KATANYA:
“Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin 'Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya 'Wahhabi'.”

PENCERAHAN KITA :
PENGIKUT MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB bukanlah Salafi Wahabi yang kita tolak. Yang kita tolak hanyalah fahaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan para pengikutnya YANG SALAH dan YANG MELEMAHKAN sahaja. Yang samar-samar kita kaji jika berpeluang dan yang lemah kita tinggalkan (*kaedah Tajdid Segar ini sudah berulang kali kita jelaskan).

Salafi Wahabi yang kita tolak BUKANLAH (apa yang salah daripada) Muhammad bin Abdul Wahhab, gerakan tentera, para pengikut dan fahaman mereka SAHAJA. 


Salafi Wahabi yang ditolak itu SEUMPAMA SATU PLANET yang mengandungi beberapa benua. Ajaran (yang salah dan yang melemahkan daripada) Muhammad bin Abdul Wahhab dan para pengikutnya HANYALAH SALAH SATU daripada benua-benua yang ada. Ada lagi benua-benua lain. Antaranya ialah benua IBNU TAIMIYYAH yang mengandungi apa yang salah dan  yang melemahkan daripada Syeikh Ibnu Taimiyyah (yang benar kita tetap sokong). Ada benua al-Albani dan lain-lain. Ada benua kaum mujassimah. Kesemua benua inilah yang membentuk sebuah planet bernama SALAFI  WAHABI yang kita tolak itu.

Harap jelas dengan penerangan ini. 


Jadi selepas ini apabila kami menyebut Salafi Wahabi, Wahabi, Wahhabi, Salafiah Wahabiah dan seumpamanya, ia merujuk pada Salafi Wahabi yang di atas tadi. Ia TIDKA TERHAD ataupun tepat kepada yang tidak qunut Subuh, ataupun terhad ataupun tepat kepada yang tidak mahu bertahlil, yang belajar di Arab Saudi, yang tidak bermazhab, yang menjadi pengikut Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan lain-lain.

Pernah saya mengatakan seorang bernama A (nama samaran)- tokoh Salafi Wahabi sebagai ‘berfaham Wahabi’. Salah seorang penyokong kuatnya mengatakan saya berbuat fitnah. Katanya si tokoh tadi pun pernah menafikan kaitannya dengan fahaman Wahabi kerana WAHABI itu ialah satu gerakan pemelihara tauhid di Arab Saudi satu ketika dahulu di bawah pimpinan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, sedangkan si A tadi tidak pernah ke Arab Saudi dan berjuang bersama-sama Muhammad Abdul Wahhab.

Inilah akibatnya kalau dia sendiri pun TIDAK FAHAM ‘siapa’ dan ‘apa’ WAHABI yang ditolak oleh umat Islam arus perdana ASWJ itu.

Contoh;
Saya selaku pemerintah negeri Pahang berkata, “Sesiapa yang BERKHALWAT akan ditangkap.” Datang seorang hamba Allah berkata, “Awak pemerintah yang zalim. Orang buat ibadah pun nak ditangkap!” Padahal ‘khalwat’ yang saya maksudkan bukanlah ‘khalwat’ yang dia maksudkan. Periksa pun tidak, terus dituduhnya kita zalim. Begitulah sikap si penyokong Wahabi tadi.

Kita lihat beberapa contoh ‘MADAH BERHELAH’ para Salafi Wahabi yang biasa kita dengar:

“Saya bukan Wahabi, Wahabi di Arab Saudi.”
“Saya bukan Wahabi. Wahabi ialah para pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab.”
“Saya bukan Wahabi. Wahabi tidak bermazhab. Padahal saya bermazhab, malah saya mengajar kitab fiqh Imam Syafie.”
“Saya bukan Wahabi. Wahabi menolak Ikhwanul Muslimin termasuklah Qardhawi. Saya penyokong fiqh Qardhawi. Mana boleh saya dicop Wahabi.”
“Saya bukan Wahabi. Wahabi tidak berjemaah padahal saya berada dalam IKRAM, ISMA, HALUAN, PAS atau lain-lain.”

Dan sebagainya.

Disangkanya ‘WAHABI’ yang dia faham itu sama dengan ‘WAHABI’ yang kita faham… : )


KATANYA:
“Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!.”

PENCERAHAN KITA :
Sempat juga Dr. Ustaz Asri ini membuat jenaka : )
Takkanlah tak faham apa dia ‘tahlil’ yang dimaksudkan oleh hamba Allah tu… 

Tuan-tuan sendiri pun faham 'tahlil' mana yang dimaskudkan, masakan Dr. Asri tidak faham. :)

Sebenarnya Dr. Asri lebih faham tapi sengaja menggunakan ‘madah berhelahnya’. Dengan cara ini, si penanya tentunya akan berasa malu kerana seolah-olah jahil sangat dalam hal ehwal agama. Maka mudahlah Dr. Asri menguasai suasana.

Contoh:
Suasana kampung. Sekumpulan tetamu lelaki bertandang ke rumah Mak Merah. Mak Merah tentunya akan promosikan anaknya Bawang Merah yang jahat berbanding Bawang Putih walaupun Bawang Putih lebih cantik dan berhati mulia.


Kata Bawang Putih kepada Mak Merah, “Mak, nak masak nasi ke?”
Mak Merah terlebih faham lagi apakah maksud ‘masak nasi’ tetapi untuk menjatuhkan saham Bawang Putih dijawabnya, “Ish engkau ni Putihhh… tak pernah aku dengar orang masak nasi. Yang orang masak- beras, bukan nasi. Kalau dah jadi nasi, buat apa nak dimasak lagi! Betul tak tuan-tuan?”
Mereka pun tertawa beramai-ramai.


Sudah tentulah Bawang Putih akan berasa rendah harga dirinya diperbuat begitu. Jadi, Bawang Putih pun akan berhenti menyoal.

Dalam ilmu psikologi, cara ‘menguasai keadaan’ seperti ini memanglah berkesan tetapi ‘tidak terpuji’, malahan salah satu sifat mazmumah.


SALAFI WAHABI YANG KAMI MAKSUDKAN
Semua manusia ada masalah mental, tapi mengapa tidak semuanya disebut ‘bermasalah mental’? Mengapa hanya individu tertentu sahaja yang kita sebut “dia tu mental sikit”. Mengapa?

Kerana ada satu standard yang ‘disepakati umum dalam diam’ sebagai standard ‘bermasalah mental’. Apabila seseorang itu sampai ke standard ini, barulah orang ramai mengatakannya ‘bermasalah mental’.

Semua manusia tua. Hari ini lebih tua daripada semalam. Semakin hari semakin tua tidak ada yang semakin muda. Tapi… mengapa tidak semua manusia disebut ‘orang tua’? Mengapa hanya individu tertentu yang kita iktiraf sebagai ‘tua’?

Kerana ada satu standard atau batas tertentu yang ‘disepakati umum dalam diam’ sebagai standard ‘tua’. Apabila seseorang itu sampai ke standard ini, barulah orang ramai mengatakannya ‘tua’.

Tiga orang memasak kari kepala ikan. Mereka menggunakan bahan-bahan yang sama. Tapi mengapa masakan A kita kata sedap, B boleh tahan dan C tak sedap?

Kerana ada satu standard atau kayu ukur yang disepakati umum untuk mencapai tahap ‘sedap’. Sekiranya tidak mencapai standard tersebut, masakan kari tadi akan kita sebut sebagai ‘tidak sedap’ ataupun ‘boleh tahan’ sahaja.

Begitu jugalah dalam hal Salafi Wahabi ini. Ada standard atau sempadan tertentu yang membuatkan seseorang itu kita label sebagai Wahabi, ataupun cenderung kepada Wahabi ataupun bukan Wahabi.


SENARAI CIRI-CIRI WAHABI

UMUMNYA, SESEORANG ITU DIKATAKAN ‘WAHABI’ APABILA DIA MEMILIKI BANYAK KRITERIA-KRITERIA BERIKUT (yang kurang daripada itu disebut CENDERUNG, yang kurang lagi disebut TIDAK DAPAT DIPASTIKAN dan setakat satu dua kriteria yang KURANG PENTING- sebagai BUKAN WAHABI):


Biasanya (*bukan semestinya) ‘BID'AH’ bagi mereka membawa hukum BERDOSA, tidak ada BID'AH HASANAH (bidaah yang baik), dan ‘bidaah’ adalah penambahan SATU HUKUM selain daripada hukum-hukum sedia ada iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Bid'ah ini ialah bid'ah ke neraka.
Biasanya melabelkan BID'AH (yang membawa hukum berdosa dan ke neraka itu) ke atas sambutan Maulidrurasul, kenduri tahlil arwah, bacaan Yaasin pada malam Jumaat, berzikir dan berdoa beramai-ramai selepas solat fardhu dan lain-lain.
Biasanya bersandar kepada tokoh-tokoh seperti Syeikh al-Albani, Ben Baz, Fauzan, Utsaimin, Rabee’ dan lain-lain sekalipun tidak semestinya tokoh-tokoh yang mereka minat itu berfahaman Salafi Wahhabi. Kaum Syiah contohnya, menyandarkan fahaman mereka kepada Saiyidina Ali, padahal Saiyidina Ali tidak berfahaman Syiah pun. Hal ini hanyalah untuk menunjukkan kebiasaan kecenderungan mereka sahaja.

Biasanya mereka menentang keras kaum sufi, dunia tasauf dan jemaah-jemaah tariqat.
Biasanya mereka sangat tidak suka melakukan ‘qunut’ ketika solat fardhu Subuh, dan mereka begitu bersemangat untuk mempamerkannya kepada orang lain.
Biasanya mereka sangat tidak suka berzikir dan berdoa beramai-ramai selepas solat jemaah, dan mereka begitu bersemangat untuk mempamerkannya kepada orang lain.
Biasanya mereka sangat terpengaruh dengan apa yang lemah, yang samar dan yang salah daripada Syeikh Ibnu Taimiyah (yang benar daripada Ibnu Taimiyyah tidak kita tolak, kita juga sokong)
Biasanya tidak suka dengan keturunan Ahlul Bait hari ini.
Biasanya mereka sangat menyanjung perjuangan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan para pengikutnya termasuklah bahagian yang salah dan yang lemah.
Biasanya mereka menolak jemaah-jemaah Islam seperti Tabligh, Ikhwanul Muslimin, parti-parti Islam dan lain-lain. Jemaah-jemaah ini kononnya pelengkap kepada 72 golongan yang salah daripada 73 golongan umat Islam. Dan 1 golongan yang terselamat itu ialah mereka.

Biasanya mereka kuat bertaqiyyah, tidak mahu mengaku diri berfahaman Salafi Wahhabi. Berbeza pula dengan penganut fahaman Syiah yang dikatakan kuat bertaqiyyah, tapi hari ini penganut Syiah lebih suka mengakui fahaman mereka dan bangga. Sudah terbalik.
Biasanya mereka cuba mengaitkan tokoh-tokoh bukan berfahaman Salafi Wahabi dengan diri mereka menggunakan pelbagai helah seperti Imam Abu Hassan al-Asyaari, Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam al-Ghazali, Tok Kenali, Imam Nawawi dan lain-lain. Macamlah umat Islam tidak kenal siapa tokoh-tokoh tersebut dan apa pegangan mereka.
Biasanya mereka menghukum kafir dan sesat kepada SELURUH penganut fahaman Syiah sama ada yang ekstrem ataupun tidak.

Biasanya mereka akan merujuk kitab-kitab besar ulama silam tetapi cetakan terkini. Kitab-kitab cetakan yang lebih awal tidak berani mereka petik. Hal ini kerana banyak kitab-kitab lama yang sudah mereka ubah isi kandungan tertentu lalu dicetak semula. Orang yang membeli kitab tanpa mahu merujuk kepada orang-orang yang ada cetakan terdahulu, akan terbeli kitab yang sudha diubahsuai.
Biasanya mereka mengaitkan ajaran-ajaran sufi dengan Syiah ataupun ajaran sesat.
Biasanya mereka akan mengumpan orang baru dengan menunjukkan mereka pejuang paling aktif menentang pengaruh Syiah dna liberal dan menambah-nambah cerita untuk menunjukkan betapa bahayanya fahaman Syiah dna liberal di sekitar kita dan betapa pentingnya agar kita bersatu di dalam dakwah mereka. Kemudian barulah diterapkan sedikit demi sedikit fahaman Salafi Wahabi.Biasanya mereka bersikap lunak dengan para sekularis, lebih-lebih lagi jika pihak tersebut mempunyai ‘kuasa’.
Biasanya mereka menyebarkan pembohongan kononnya SALAF TAK TAKWIL, KHALAF TAKWIL.
Biasanya menolak ilmu tauhid Sifat 20, Imam Asyaari, mazhab Asya’irah dan Imam Maturudi.
Biasanya bergantung kepada Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rubbubiyyah dan Tauhid Asma wa Sifat.
Biasanya bergaul rapat dengan golongan Salafi Wahabi. (Kita tengok siapa rakan-rakan rapat mereka).

Biasanya tidak boleh menerima khilaf.

Biasanya menolak daripada bermazhab (sebenarnya menolak kaedah-kaedah mana-mana mazhab yang 4 iaitu Hanafi, Maliki, Safi'i atau Hanbali) tetapi bermazhab dengan (menggunakan kaedah-kaedah fiqh) mazhab diri sendiri ataupun dengan mazhab (kaedah0akedah) tokoh-tokoh hari ini yang diminatinya.
Biasanya suka mengaitkan apa saja yang buruk dalam agama Islam dengan Syiah dan Ahbash walaupun kadang-kadang memang tiada sebarang kaitan.
Biasanya mereka menjisimkan Allah, ataupun ‘samar-samar’- antara menjisimkan dengan tidak, iaitu beraqidah syubhat.

KESUDAHANNYA
Selepas ini janganlah ada lagi ‘MADAH BERHELAH’ seperti:
“Saya bukan Wahabi, Wahabi di Arab Saudi.”“Saya bukan Wahabi. Wahabi ialah para pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab.”“Saya bukan Wahabi. Wahabi tidak bermazhab. Padahal saya bermazhab, malah saya mengajar kitab fiqh Imam Syafie.”“Saya bukan Wahabi. Wahabi menolak Ikhwanul Muslimin termasuklah Qardhawi. Saya penyokong fiqh Qardhawi. Mana boleh saya dicop Wahabi.”“Saya bukan Wahabi. Wahabi tidak berjemaah padahal saya berada dalam IKRAM, ISMA, HALUAN, PAS atau lain-lain.”.”
Kayu ukur kami bukannya belajar di Saudi, bukannya pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab, mengajar kitab mazhab Syafie, menyokong Qardhawi, ada jemaah ataupun lain-lain. Kayu ukur kami ialah SENARAI CIRI-CIRI WAHABI sebagaimana yang tertera di atas tadi. Jika seseorang itu memiliki banyak daripada ciri-ciri itu, maka itulah WAHABI YANG KAMI MAKSUDKAN, bukan yang lain.

‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
Abu Zulfiqar23 DISEMBER 200713 ZULHJJAH 1428

(*Dikemaskini pada tahun 2013 untuk disesuaikan dengan situasi semasa. Hal-hal yang sudah dipadam bermaksud sudah tidak relevan lagi dan dikira terhapus (tidak menjadi hujah kita lagi), dan yang ditambah pula maksudnya bersifat semasa dan sedang terpakai. Wallahua'alam)

*Ada seorang hamba Allah menulis kepada saya : "Saya ada kebanyakan ciri-ciri di atas, tapi saya bukan Wahhabi." 
Punyalah tidak menyedari diri dan tidak mahu mengaku :)

* Ada pula yang berkata : "Saya ada 2-3 ciri sahaja, adakah saya Salafi Wahhabi?"
Kena semak dulu, 2-3 ciri tu memanglah sikit tapi kadang-kadang terkena ciri-ciri yang utama. Sekiranya ciri-ciri sampingan sahaja, tidaklah tergolong dalam golongan Salafi Wahhabi yang ditolak itu.




Terlepas Bahan-bahan Disember 2007?