Saturday, May 10, 2008

Ahmadiah Qadiani mesti Diharamkan

JAKARTA: Sekumpulan anggota pendesak dan aktivis Islam semalam meminta kerajaan Indonesia supaya mengharamkan pergerakan Ahmadi atau Qadiani yang mendakwa kononnya wujud satu lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW.

Pergerakan itu sedang menghadapi tindakan di negara Islam di seluruh dunia kerana kepercayaan mereka yang karut itu. Anggota pergerakan itu bagaimanapun mahu agar pergerakan mereka dianggap sebagai sebahagian daripada Islam.

Sekumpulan pendakwa, sarjana Islam dan pegawai jabatan hal ehwal dalam negeri berpendapat pergerakan berkenaan 'telah menyimpang daripada prinsip ajaran Islam sebenarnya' dan mendesak agar kerajaan mengharamkannya.

"Kegiatan pergerakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Islam," kata ketua kumpulan pendesak itu, Wishnu Subroto.

Kerajaan Indonesia mengadakan satu mesyuarat bagi membincang perakuan itu, kata laporan media.

Kumpulan pendesak itu meminta agar pengikut Ahmadi dituduh menghina agama yang membawa hukuman penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, seorang aktivis hak asasi manusia berkata sebarang pengharaman 'adalah tidak wajar dan melanggar perlembagaan' yang membenarkan kebebasan agama.

"Perakuan ini menunjukkan mereka tidak memahami peranan sebenar kerajaan," kata aktivis berkenaan yang hanya dikenali sebagai Hendardi.

Golongan pendesak itu pernah melancarkan kempen yang lantang terhadap Ahmadi dalam masa kebelakangan ini, di samping merosakkan masjid serta rumah pengikutnya. Dalam kebanyakan kes, pihak polis didakwa tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang tindakan mereka.

"Kami adalah mangsanya di sini tapi sebaliknya kami pula yang hendak diharamkan," kata peguam pergerakan itu, Yan Hussein Lamardi.

Pergerakan Ahmadi kini dipercayai mempunyai kira-kira 200,000 pengikut di Indonesia, iaitu negara paling ramai penduduk Islam di seluruh dunia. Pergerakan itu diasaskan pada penghujung abad ke-19 di Pakistan di mana ia kini diharamkan.

Indonesia adalah sebuah negara sekular dengan sejarah toleransi agama yang lama. Tapi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, golongan yang enggan bertolak ansur ini telah menjadi bertambah kuat serta berpengaruh di kalangan penduduk negara itu.

Kerajaan pula dituduh terlalu mengikuti rentak mereka kerana sokongan yang diperlukan daripada parti berteraskan Islam di parlimen. � AP

sumber

No comments: