Saturday, July 11, 2009

Mohon Penjelasan AJARAN LAYAR BAHTERA (bah.2)

KELIMA:
Tulisan tuan yang berbunyi:

“Iblis adalah manusia yang ingkar perintah agama (perintah agama adalah perintah Allah).”

KOMEN:
“IBLIS ADALAH MANUSIA”.
Jika tuan memaksudkannya sebagai KIASAN, mungkin kita boleh terima. Tapi jika pihak tuan memaksudkan benar-benar Iblis itu ialah manusia dan bukannya dari kalangan bangsa jin, maka maklumat ini juga tidak benar.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan MANUSIA DARIPADA TANAH LIAT KERING (yang berasal) daripada tanah kental yang diberi berubah warna dan baunya. Dan Kami telah menciptakan jaan (jin) sebelum itu DARIPADA API yang panasnya menyerap ke liang roma.” (Al-Hijr: 26-27)

Jaan ialah jin pertama. Daripada keturunannya lahir satu jin yang sangat besar fitnahnya bernama Iblis. Adam pula ialah manusia pertama. Daripada keturunannya lahir seorang manusia yang sangat besar fitnahnya bernama Dajjal. Kedua-dua makhluk terkutuk ini menjalinkan kerjasama yang begitu erat di akhir zaman ini.

Berdasarkan maksud ayat al-Quran di atas, jelas Jaan diciptakan terlebih dahulu daripada Adam. Iblis (salah satu anak cucu Jaan ini) juga dijadikan SEBELUM KEWUJUDAN ADAM (manusia). Maka bagaimana tuan boleh mengatakan :
“IBLIS ADALAH MANUSIA yang ingkar perintah agama (perintah agama adalah perintah Allah).”

(Jaan hanya ada 1. Iblis juga juga 1. Jin ada banyak. Syaitan juga ada banyak)

Mohon penjelasan tuan: .................................................



KEENAM:
Tulisan tuan yang berbunyi:
“Sebagaimana yang telah diterangkan, Allah datang ke bumi dalam bentuk manusia iaitu Zat-Nya dibawa oleh seorang lelaki yang gelarannya menurut hadis, Al-Mahdi.”

KOMEN:
“ALLAH DATANG KE BUMI DALAM BENTUK MANUSIA...”
Pemahaman begini biasanya ada dalam agama-agama lain ataupun ajaran-ajaran sesat. Tapi kita belum boleh menghukum kerana mestilah dipastikan terlebih dahulu maksud pihak tuan yang tulen.

Apakah yang dimaksudkan dengan “Allah datang ke bumi dalam bentuk manusia” itu ialah Zat Allah? Jika yang datang itu benar-benar Zat Allah, berapa peratuskan Zat Allah yang datang itu? Jika yang datang itu 100% Allah, mungkin kami bersetuju. Itu pun akan ada perbincangan lanjutan.

Berapa peratuskah Zat Allah dalam bentuk manusia (lelaki) itu?

Mohon penjelasan: ...................................................

Jika yang datang dalam bentuk manusia itu ialah Zat Allah 100%, maksudnya Allah sudah terpengaruh dengan arah, ruang, tempat, masa dan posisi. Padahal Zat Allah suci daripada semua kelemahan itu! Jadi yang datang itu jelaslah bukanlah Allah!

Jika yang datang dalam bentuk manusia itu bukan 100% Allah tetapi SEBAHAGIANnya saja, maka itu juga bukan Allah. Hal ini kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan PEMBAHAGIAN. Dia tidak/ mustahil boleh dipecah-pecahkan atau dipisah-pisahkan.

Dalam ajaran Islam, tidak ada kepercayaan mengatakan “Allah datang ke bumi dalam bentuk manusia”. Dalam ajaran Hindu, ya. Dalam ajaran Kristian lebih ya. Malahan inilah yang menjadi pokok perbezaan terbesar antara agama Islam dengan aliran Kristian majoriti kerana mereka percaya Tuhan datang ke bumi dalam bentuk manusia (iaitu Jesus Christ), iaitu ZatNya yang dibawa oleh seorang lelaki yang menurut gelarannya ialah Messiah iaitu Jesus (Nabi Isa). Islam tidak pernah mengajar bahawa Nabi Muhammad itu ialah Allah/ Tuhan sendiri yang datang dalam bentuk manusia untuk membimbing umat manusia.

Benarkah Allah datang dalam bentuk seorang manusia (sebagaimana Jesus, Krishna)?

Mohon penjelasan: ...........................................



KETUJUH:
Tulisan pihak tuan:

Yang menjadi masalah sekadar pemahaman manusia sahaja tidak bertepatan dengan kehendak sebenar Allah, namun, ini bukanlah alasan untuk perbalahan.
Cuma, bagi agama yang merujuk kepada Zabur(Buddha), Taurat(Hindu) atau Injil(Kristian), mahu tak mahu akhirnya mesti juga merujuk kepada Al-Quran sebagai kitab terakhir yang dibawa oleh Muhammad SAW untuk lebih mudah memahami cerita hujung dunia iaitu proses perjalanan Kiamat.
http://manatuhanallah.wordpress.com/kiamat-dalam-4-kitab/

KOMEN:
Menurut kenyataan ini:
Penganut agama Buddha merujuk kitab Zabur
Penganut agama Hindu merujuk kitab Taurat

Antara kita Taurat dengan kitab Zabur, kitab Taurat datang terlebih dahulu. Kitab Taurat turun kepada Nabi Musa yang zamannya sekitar 1300 SM. Kitab Zabur pula turun kepada Nabi Daud yang zamannya sekitar 1000 SM. Maksudnya, kitab Taurat datang lebih kurang 300 tahun lebih awal daripada kitab Zabur.

Gautama Budhha hidup sekitar 500 SM, iaitu 800 tahun sesudah Taurat dan 500 tahun selepas Zabur. Kitab Taurat dan Zabur dihimpunkan setempat (bersama-sama puluhan kitab nabi-nabi Bani Israil yang lain) oleh kaum Bani Israil yang kita namakan hari ini sebagai Perjanjian Lama. Persoalannya, mengapa hanya kitab Zabur yang sampai kepada penganut agama Buddha? Mengapa kitab-kitab lain tidak sampai sedangkan ia dikumpulkan setempat dan dipelihaa oleh kaum yang sama?

Mohon penjelasan: ....................................

Agama Buddha mempunyai kitab sucinya sendiri iaitu kitab Tripitaka (Tiga Keranjang). Kitab ini pula hanya ditulis dan dibukukan pada zaman Raja Asoka sekitar 200 SM. Sebelum itu semua isi kandungan Tripitaka dihafal oleh para sami. Maksudnya, hanya selepas 300 tahun dari kematian Buddha, barulah penganut Buddha mempunyai kitab suci bertulis. Sebelum itu tidak pernah ada.

(Sekitar 480 SM, hafazan ajaran-ajaran Buddha disemak buat kali pertama oleh 500 orang sami termasuklah Ananda, murid kesayangan Gautama. Persidangan ini berlangsung selama 7 bulan. Semakan kali kedua dibuat 100 tahun selepas itu apabila 700 orang sami bersidang selama 8 bulan. Semakan kali ketiga ialah pada 269 M iaitu zaman Raja Asoka. Selepas itulah baru ajaran-ajaran Buddha dibukukan. Itulah kali pertama penganut agama Budha mempunyai sebuah kitab suci)

Saya pernah membaca (tidak kesemua bahagian) isi kitab Tripitaka ini. Sekadar bacaan saya, tidak nampak pula ia sama dengan kitab (yang didakwa sebagai) Zabur dalam Perjanjian Lama itu.

Adakah pihak tuan mempunyai apa-apa bukti kukuh mengatakan agama Buddha merujuk kitab Zabur?

Mohon penjelasan: ..............................................

“Hindu merujuk Taurat”.

Nabi Musa hidup sekitar 1300 SM, dan kitab Taurat turun kepadanya. Padahal kitab Rig Weda sudah mula disusun sekitar 1500 SM. Sebelum itu, ajaran-ajaran kitab Rig Weda (yang mengandungi banyak puji-pujian kepada Tuhan dan dewa kaum Aryan) dan lain-lain diturunkan secara lisan sudah entah berapa generasi. Dipercayai ajaran kitab Weda dibawa oleh bangsa Aryan ke India Kuno. Bangsa Aryan datang ke India sekitar 2000 SM. Maka sudah tentulah mereka tidak merujuk kitab Taurat memandangkan Taurat datang 700 tahun kemudian. Kitab Rig Weda pula mengandungi mentera-mentera, ia tidak dalam tulisan karangan biasa sebagaimana Taurat. Jelaslah Taurat dan Weda berbeza.

Mohon penjelasan: ...................................................

(Saya lebih cenderung mengatakan kitab Weda banyak merujuk suhuf-suhuf Nabi Ibrahim)

Tambahan- Taurat dibawa oleh Nabi Musa. Zabur dibawa oleh Nabi Daud. Nabi Isa membawa Injil sebagai penggenap kepada Taurat. Ketiga-tiga Taurat, Zabur dan Injil dibawa oleh kaumnya Musa, Daud dan Isa (iaitu keturunan Nabi Ishak). Pemerintah Yunani menganut agama berhala. Sebab itu agama pemerintah Yunani dengan agama keturunan Nabi Yaakub berbeza. Itu juga menjadi salah satu sebab pemerintah Yunani (penyembah berhala dan dewa) memusuhi Nabi Isa dan para hawarinya (pengikut ajaran Taurat dan Injil).

Lihat pula agama pemerintah Yunani (yang berbeza dengan ajaran Taurat itu). Agama Yunani ada banyak persamaan dengan agama Hindu. Bahkan boleh kita katakan agama Hindulah yang mempengaruhi agama Yunani kerana Hindu datang lebih awal. (Tapi tidak mustahil juga kaum sebahagian kaum Aryan yang berhijrah ke India berasal dari wilayah sekitar Yunani. Maksudnya agama Yunani mempengaruhi agama Hindu)

Yunani menyebut HERACLUS yang bermaksud ‘pahlawan’. Hindu menyebut Hara Kala, yang juga bermaksud ‘pahlawan’.
Yunani menyebut NEPTUN yang bermaksud Dewa Air. Hindu pula menyebut NAPATANA yang bermaksud Dewa Banjir.
Ahli matematik dan falsafah Yunani ada yang bernama PHYTAGORAS. Dalam bahasa Sanskrit PITHAGURU bermaksud ‘ahli ilmu’.
Seorang lagi ahli falsafah Yunani bernama ANAXAGORAS. Dalam bahasa Sanskrit ANANGAGURU bermaksud ‘Ahli Roh’.

Jadi lebih tepat jika dikatakan agama Yunani (yang tidak sama dengan ajaran Taurat itu) dipengaruhi oleh agama Hindu (yang tentunya tidak sama juga dengan ajaran Taurat). Dari segi perbahasan ilmu mantik, kita bolehlah buat rumusan mantik begini:

Agama Yunani tidak sama agama Taurat.
Agama Hindu sama dengan agama Yunani.
Maka... agama Hindu juga secara automatik tidak sama dengan agama Taurat.

(Ini bahasan secara mantik, dan bahasan secara mantik bukanlah paling tepat, sekadar untuk memberikan pemahaman tentang idea yang saya bawa saja)

Bagaimana tuan boleh mendakwa agama Hindu merujuk Taurat? Pelik juga kami memikirkannya.

Saya bawa satu lagi rumusan mantik:

Agama Yunani menyembah berhala dan dewa.
Agama Hindu menyembah berhala dan dewa.
Agama Taurat tidak menyembah berhala dan dewa.
Maka... agama Taurat tidak sama dengan agama Hindu dan Yunani.

Kesimpulannya, ajaran Hindu tidak sama dengan ajaran Taurat. Mengapa dikatakan Hindu merujuk Taurat? Apa bukti-bukti pihak tuan boleh berikan untuk mempertahankan bahawa agama Hindu merujuk kitab Taurat?

Mohon penjelasan: ...................................................


KELAPAN:

Tulisan yang berbunyi:


Dari segi istilah sendiri, perkataan ‘mahdi’ berasal dari kata dasar ‘had’ (menamatkan). Jika dirujuk kepada usia dunia, ‘menamatkan’ membawa maksud ‘melaksanakan Hari Kiamat’.
Oleh itu, mahdi membawa pengertian ‘tempat melaksanakan Hari Kiamat.’
Oleh kerana ‘Al’ dalam bahasa Arab digunakan bagi merujuk kepada Allah,
maka Al-Mahdi bermaksud ‘tempat Allah melaksanakan Hari Kiamat.’


Kenapa pula lelaki ini dirujukkan sebagai tempat?
Jawabnya, kerana jasadnya dijadikan sebagai tempat yang diduduki oleh Zat Allah yang melaksanakan Hari Kiamat.


http://manatuhanallah.wordpress.com/di-sebalik-nama-nakhoda-layarbahtera/




KOMEN:

Benarkah perkataan “MAHDI” berasal daripada kata dasar “HAD” (menamatkan) ?

Dari mana sumbernya mengatakan “AL” dalam bahasa Arab merujuk kepada “ALLAH”?

Sefaham kami juga, Allah boleh melaksanakan kiamat tanpa berkehendakkan jasad mana-mana makhluk untuk Dia duduki.


Dengan hanya merujuk kepada USIA DUNIA, tuan mengatakan ‘MENAMATKAN’ itu ialah ‘melaksanakan Hari Kiamat’? Kukuhkah hujah sebegini?


Mula-mula tuan mengatakan ‘MAHDI’ bermaksud ‘menamatkan’. Kemudian jadi ‘TEMPAT menamatkan’ ataupun ‘TEMPAT melakasanakan hari Kiamat’. Persoalan kami, dari mana pula datangnya perkataan ‘TEMPAT’ itu?


Mohon penjelasan: ..........................................




KESEMBILAN:

Tulisan tuan yang berbunyi:

“Kita lihat kembali ayat surah Al-Isra’ yang telah di bincangkan sebelum ini di bawah topik ‘Di sebalik nama LayarBahtera’.

Tuhan kamu yang melayar Bahtera ini supaya kamu mencari kurniaan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penyayang terhadap kamu.
( Al-Isra’: 66 )


Ayat ini menyatakan bahawa Allah yang melayar bahtera ini. Ini menunjukkan bahawa Allah adalah ‘Nakhoda Bahtera’ yang dimaksudkan.”


KOMEN:

Pada pemahaman kita, dari SEGI HAKIKATNYA, Allah melayar kesemua bahtera di muka bumi ini, bukan bahtera yang tuan maksudkan saja. Bahkan Allahlah yang menerbangkan semua kapal terbang, yang menggerakkan semua kenderaan dan menjalankan semua binatang tunggangan.


Jika pihak tuan mengatakan Allah melayar bahtera yang tuan maksudkan itu, siapa pula yang melayar bahtera-bahtera lain? Bukankah Allah juga?


Jadi kami melihat tidak ada bezanya antara bahtera itu dengan bahtera-bahtera lain kerana kesemuanya dilayar oleh Allah jua. Semuanya bernakhodakan Allah.


Jika “bahtera” itu bermaksud satu-satu ajaran, maka ajaran-ajaran yang lain juga digerakkan oleh Allah. Itu dari SEGI HAKIKATNYA.


Bolehkah pihak tuan buktikan yang bahtera/ ajaran lain tidak digerakkan oleh Allah?


Mohon penjelasan: .........................................




KESEPULUH:

Tulisan tuan yang berbunyi:


“Berikut adalah nama sebenar Nakhoda LayarBahtera:

Mohd Shahjurulazmi bin Mat Desa @ Ismail

Nama ibu- Fatimah bte Yahya”


KOMEN:

Jadi orang inilah yang tuan maksudkan sebagai Allah, iaitu Nakhoda Layar Bahtera?

Persoalan kami- Bagaimana orang ini tahu dirinyalah nakhoda Layar Bahtera itu? Apakah hujah-hujah kukuh yang membuktikan memang dialah Nakhoda Layar Bahtera iaitu Allah?


Mohon penjelasan: ...........................................


bersambung...

2 comments:

pang5 said...

Saya rasa yang tulis blog manatuhanallah ini lah dajjal.. manakan tidak bukankah dajjal bila dia umumkan kehadiran dia kat dunia ni dia mengaku dialah Tuhan/Allah. Ajaran dalam blog ni bukankah sebijik membawa pemahaman tersebut? Mengatakan Allah dalam bentuk manusia supaya kita terima? So senanglah ckit nanti dia nak menjelma mengaku tuhan nanti dah ada pengikut.

DR. SALAFI MUDA said...

Memang tidak mustahil apa yang Tuan Pang5 katakan. Apa-apa saja boleh berlaku pada penghujung akhir zaman ini. : )