Monday, January 28, 2008

Jangan Tumpukan Akhirat Sahaja

SOALAN:
Saya mempunyai rakan yang sangat obses kepada akhirat. Ini menyebabkan dia kurang bergaul dan hanya menumpukan masa kepada ibadat seperti solat dan membaca al-Quran.


Apa yang merunsingkan saya ialah dia melakukan ibadat tersebut tanpa mengira waktu termasuk semasa bekerja. Adakah perbuatan sedemikian bertepatan dengan syarak?


JAWAPAN:
Apabila seseorang itu sangat obses dengan akhirat, sepatutnya dia akan lebih kuat bekerja, banyak berusaha dan tidak menyerahkan kepada takdir tanpa berusaha. Malahan kalau kita maklum esok akan kiamat, hari ini masih lagi harus bercucuk tanam.


Ingat dan beriman kepada hari akhirat sangat dituntut supaya lahirnya sifat-sifat terpuji pada manusia. Kerana orang yang sebegini akan lebih berhati-hati dengan dunia. Akhirat adalah tempat kita beroleh hasil, dan hasilnya mestilah yang baik lagi berkualiti.


Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat. Maka tidak akan diringankan seksa mereka dan mereka tidak akan ditolong. (al-Baqarah: 86).


Selagi mana kerja yang dilakukan tidak dicemari dengan perkara haram, maka selagi itulah kerja itu akan menjadi ibadat. Adapun perbuatan mengasingkan diri (*secara senagaj-pengendali) tidak mencampuri orang adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan Islam.


Jika lihat kepada petunjuk al-Quran, kita akan dapati ayat-ayatnya menyebut ……barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah…. Apa yang jelas di sini ialah apabila seseorang beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat hendaklah menyusuli kata-kata atau pengakuan itu dengan perbuatan.


Ada juga disebut dalam satu athar di mana Rasulullah s.a.w pernah menegur golongan yang duduk di masjid tanpa berusaha mengharapkan belas ihsan orang lain.


Dalam sepotong ayat Allah s.w.t mendidik Nabi-Nya s.a.w yang bermaksud: Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77).


Tiada manusia yang lebih zuhud terhadap dunia melainkan Nabi Muhammad s.a.w, namun Allah mengajar kekasih-Nya supaya tidak lupa pada dunia. Kalau Nabi s.a.w tidak memikirkan urusan dunia mungkin Madinah juga tidak tertegak. Malah, pastinya baginda tidak akan menyuruh umatnya mencari kehidupan dunia.


Nabi s.a.w mengajar umatnya berniaga, berdagang, berkerja, menegah kita dari berpeluk tubuh atau bersikap malas. Jika diteliti kita akan dapati baginda tidak mengabaikan tuntutan dunia, malahan mengajar umatnya akan bersikap sederhana dan tidak melampaui batas.


Satu persoalan yang perlu difikirkan bersama, jika umat tidak mahu dunia, kita mahu berikan kepada siapa? Dan akhirnya umat Islam akan merempat di tanah air sendiri.


Adapun mengambil waktu kerja untuk melakukan ibadat sunat tidak wajar. Majikan membayar gaji kepada seorang pekerja berdasarkan akadnya dengan majikan. Gaji dibayar mengikut skop kerja yang kita lakukan.


Akad kita dengan majikan adalah amanah, orang mengabaikan amanah adalah orang yang kehilangan ciri keimanannya. Sedangkan kerja yang halal juga ibadat.


sumber

No comments: