Saturday, November 10, 2007

Maulana Asri Yang Sering Bermasalah

JAWAPAN MAULANA ASRI YUSUF YANG DIRAGUI

Hampir 3 minggu aku tidak menulis. Kesebukkan disamping malas menyentuh keybord laptop yang menyebabkan aku tidak menulis. Walaubagaimanapun, sesampai sahaja dirumah setelah pulang dari kampong di Jerteh, Terengganu, aku sempat melayari internet dan menelaah isu-isu yang dapat menjadi bekalan berfikir.

Laman Web “youtube.com” telah menjadi antara laman web kegemaran. Disana, aku dapat mendengar berbagai-bagai ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah-penceramah, terutama ceramah yang di sampai oleh ustaz Azhar Idrus yang merupakan seorang penceramah agama yang namanya sedap top menjulang di negeri terengganu.

Didalam asyik mencari ceramah dalam laman web itu, aku terpaku dengan tiga siri kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz di Kedah yang aku amat mengenalinya, iaitu Ustaz Aminuddin bin Abdul Rahim.

Pada jangka asalnya, aku menyangka ianya sekadar isi kuliah penuh sahaja, rupa-rupanya, ianya adalah nukilan kuliah yang tidak sempurna, disertakan dengan jawapan balas atas ulasan ustaz Aminuddin tersebut. apa yang menjadikan aku terkejut, penjawab itu adalah seorang tokoh yang dikenali ramai, iaitu Maulana Asri Yusuf, yang merupakan seorang guru di sebuah Madrasah di Kubang Kerian yang berkelulusan dalam bidang Hadis beraliran Deobandi di Jamiah Binuri Town, Karachi Pakistan.

Kedua-dua tokoh ini adalah antara tokoh-tokoh yang aku hormati. Aku mengenali Maulana Asri dari murid-murid beliau yang sama-sama denganku ketika belajar hadis di Pakistan dahulu. walaupun kami berlainan Jamiah, iaitu aku di Jamiah Farooqiyyah dan mereka di Jamiah Binuri Town, tetapi aku sering pergi ke sana untuk bertukar-tukar fikiran dengan sahabat-sahabat Malaysia di Jamiah tersebut.

Adapun Ustaz Aminuddin pula, perkenalan antara kami adalah ketika aku sering diajak ustaz Aminuddin dalam menghadiri banyak kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh beliau sekitar Sungai Petani, Kedah, dan kadangkala, dikala beliau kesebukkan, beliau juga sering memintaku untuk menggantikan kuliah beliau, walaupun ketika itu aku masih lagi berumur 19 tahun.

Mengenali mereka dari pandangan dekat menyebabkan aku merasakan betapa kerdilnya ilmuku jika dibandingkan dengan kedua-dua tokoh ini.

Walaubagaimanapun, setelah mendengar ulasan-ulasan ustaz Aminuddin serta jawapan balas dari Maulana Asri, aku agak berpuas hati dengan rujukan ilmiyyah dari Ustaz Aminuddin, tetapi agak meragui jawapan balas dari Maulana Asri. Maka ekoran dari itu, tulisan ini bukanlah bermakna aku menyokong ulasan Ustaz Aminuddin yang berhujjah atas kebenaran melakukan kenduri arwah, disebabkan aku sendiri lebih berpendapat atas kebidaahan amalan tahlil arwah tersebut.

Walaubagaimanapun, tulisan ini sekadar ingin mempertikaikan rujukan yang disampaikan oleh Maulana Asri disamping menyeru manusia agar tidak memperdebatkan isu khilafiyyah ini sehinggakan membawa kepada perpecahan umat, disamping mendakwa pandangan mereka lebih ke syurga dari pandangan orang lain.

KRITIKAN PERTAMA : NABI DIJEMPUT KE KENDURI ARWAH[1]

Berdasarkan hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Aminuddin atas kebenaran makan kenduri arwah adalah disandarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan lainnya;

عن رجل من الأنصار قال خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في جنازة فرأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو على القبر يوصي الحافر أوسع من قبل رجليه أوسع من قبل رأسه فلما رجع استقبله داعي امرأة فجاء وجيء بالطعام فوضع يده ثم وضع القوم فأكلوا فنظر آباؤنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يلوك لقمة في فمه

Maksudnya;
“Daripada seorang lelaki dari Ansar berkata; kami keluar bersama Rasulullah SAW (untuk menziarahi) satu jenazah. Aku melihat Rasulullah SAW memberi wasiat ketika berada di atas perkuburan kepada penggali (penggali kubur) agar memperluaskan bahagian kaki jenazah itu dan memperluaskan dibahagian kepala jenazah itu. Ketika baginda SAW pulang, seorang seorang pemanggil kepada isteri telah menjemput Baginda SAW. lalu baginda SAW datang (menerima jemputan) dan Baginda SAW dihidangkan dengan makanan. Baginda SAW mengambil makanan itu, begitujuga sahabat-sahabat mengambil dan mereka makan beramai-ramai. Ayah kami melihat baginda SAW mengunyah satu suapan dalam mulutnya[2]

Dari hadis ini, Ustaz Aminuddin menyatakan, inilah dalil atas kenduri arwah.

Walaubagaimanapun, hujjah ini di bangkang oleh Maulana Asri dengan beberapa kenyataannya, iaitu beliau menyatakan seperti berikut;

a. Imam Abu Daud menyatakan, hadis ini tidak mahfuz, maka ianya adalah tidak saheh.
b. Maksud dengan “isteri” dalam hadis ini, bukanlah isteri si mati, tetapi isteri kepada orang lain.

Dari ulasan maulana Asri ini terdapat beberapa keraguan, iaitu adalah seperti berikut;

a. Maulana Asri menyatakan hadis ini tidak saheh dengan dakwaan ianya di sebut oleh Imam Abu Daud sebagai tidak mahfuz. Persoalannya, dari kitab manakah yang menyatakan demikian? Ini adalah kerana, dalam Sunan Abi Daud ada menyebut hadis ini, tetapi tidak ada sepatah pun perkataan Abu Daud yang menyatakan hadis ini tidak mahfuz.
b. Merujuk kepada kitab “sahih wa Daif sunan Abi Daud”, As-Syaikh Albani menyatakan hadis ini adalah saheh[3]. Beliau juga menyatakan kesahihan hadis ini dalam kitab beliau yang lain, iaitu kitab “sahih Ahkam Al-Janaiz”
c. Maulana Asri menyatakan, maksud dengan “isteri” bukan isteri si mati, sedangkan Muhammad Syams Al-Haq Al-‘Azim dalam kitab Aun Al-Ma’bud syarah kepada Sunan Abi Daud menukilkan kata-kata Al-Qari yang menyatakan bahawa, maksud isteri dalam hadis ini adalah isteri kepada si mati[4].

KRITIKAN KEDUA : PACAK PELEPAH TAMAR[5]

Ustaz Aminuddin menyatakan, manusia yang berzikir boleh mengurangkan azab si mati didalam kubur. Ini di sandarkan kepada hadis;

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا كِسْرَتَيْنِ فَوَضَعَ عَلَى كُلِّ قَبْرٍ مِنْهُمَا كِسْرَةً فَقِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ تَيْبَسَا أَوْ إِلَى أَنْ يَيْبَسَا

Maksudnya;
“Daripada Ibni Abbas berkata, Rasulullah SAW melalui satu kebun dari kebun-kebun di Madinah[6] atau Makkah, lalu baginda SAW mendengar suara dua insane yang diazab kedua-duanya didalam kubur mereka. lalu berkata Rasulullah SAW, mereka berdua sedang di azab, dan mereka tidak di azab dengan sebab dosa besar, kemudian berkata, bahkan adalah salah satu dari kedua-duanya adalah tidak tertutup daripada kencingnya (iaitu tidak istibra’ ketika kencing[7]) dan yang satu lagi sentiasa menjadi “batu api”. Kemudian Rasulullah menyeru dengan satu pelepah tamar, lalu baginda membelahkannya kepada dua belahan, lalu meletakannya atas setiap kubur dengan satu pelepah. Dikatakan kepada Baginda, Ya Rasulullah SAW, kenapa kamu melakukan demikian ini? Bersabda Nabi SAW: mudah-mudahan diringankan azab kepada kedua-duanya selama mana ianya (pelepah) itu tidak kering[8]

Menurut Ustaz Aminuddin, Hadis ini menjadi dalil atas kebenaran membaca al-quran oleh manusia kepada si mati di dalam kubur disebabkan baginda SAW meletakan pelepah tamar yang masih basah ke atas kubur tersebut. jika pelepah tamar sudah boleh merengankan azab disebabkan zikir pelepah tamar, maka lebih-lebih lagilah manusia yang sememangnya lebih mulia berbanding pelepah tamar.

Hujjah ini dibangkang oleh Maulana Asri dengan menyatakan, tindakan Rasulullah SAW itu adalah khusiyyat nabi SAW.

Dari penjelasan maulana Asri ini dinyatakan bahawa, kenyataan Maulana Asri yang menyatakan bahawa, memacakkan pelepah tamar di kubur adalah khusiyyat Nabi SAW sebagai cara membangkang hujjah Ustaz Aminuddin adalah tidak boleh berlaku. Ini adalah kerana, dakwaan yang menyatakan hadis yang menjelaskan tindakan Nabi SAW itu adalah khusiyyat adalah perkara yang dikhilafi oleh ulama. Ianya di akui oleh As-Syaikh Abu Abd Ar-Rahman Abdullah bin Abd Ar-rahman Al-Bassam dalam kitabnya yang bertajuk “Taisir Al-‘Allam syarh ‘Umdah Al-Ahkam[9]

Walaubagaimanapun, menurut Imam Al-Qurtubi, hadis ini menjadi dalil atas keizinan membaca al-quran oleh mu’min terhadap orang yang mati dalam kubur. Perkara ini disyarah panjang oleh Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya yang bertajuk “A-Tazkirah”[10].

PENUTUP

Dari ulasan ini, perlu difahami, perkara yang diperdebatkan ini adalah perkara yang masih berada dalam perbincangan khilafiyyah di kalangan ulama, yang tidak boleh seseorang itu mendakwa bahawa, pandangan ulama ini lebih baik dari pandangan ulama itu.

Jika kita ingin menyatakan demikian juga, maka pastikan diri kita sudah mempersiapkan diri dengan kesempurnaan dengan syarat-syarat mujtahid.

Tulisan ini bukanlah untuk memperlekeh ketokohan yang ada pada Maulana Asri, tetapi ianya sekadar mempertikaikan sesuatu dakwaan yang diragui kewujudannya dan penghujahannya.

Pun begitu, tulisan aku ini bukan bermakna aku mahu menjadi pejuang dan pendokong amalan kenduri dan tahlil arwah ini. Aku secara peribadi pun tidak bersetuju dengan amalan ini, tetapi tetap mengambil sikap untuk menghormati amalan-amalan yang dilakukan oleh ulama-ulama yang lain.

Mudah-mudahan semuanya mendapat keberkatan di sisi Allah.

Sekian

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] http://www.youtube.com/watch?v=dkrwSchf0Ko
[2] Sunan Abi Daud : 3/244. hadis no : 3332.
[3] Sahih wa Daif Sunan Abi Daud : 7/332. hadis no : 3332
[4] Aun Al-Ma’bud : 9/129.
[5]http://www.youtube.com/watch?v=NwWWfZzeU3Y&eurl=http%3A%2F%2Fal%2Dahkam%2Enet%2Fhome%2Fmodules%2Ephp%3Fop%3Dmodload%26name%3DNews%26file%3Darticle%26sid%3D44341
[6] Menurut riwayat, kebun itu kepunyaan seorang perempuan ansar yang bernama “UMMI MUBASYSYIR” : Fath Al-Bari Syarh Al-Bukhari : 1/341.
[7] Fath Al-Bari : 1/341.
[8] Sahih Al-Bukhari : 1/88 : hadis no : 213.
[9] Taisir Al-‘Allam syarh ‘Umdah Al-Ahkam : 1/26-27.
[10] Tafsir Al-Qurtubi : 10/267.

No comments: