Monday, December 3, 2007

Fokus Isu Lebih Penting- Ustaz Nasharuddin

Bashir Ishak
Fri | Nov 30, 07 | 4:04:51 pm MYT

BESERI, 30 Nov (Hrkh)- Ketika negara sedang menghadapi krisis besar kepimpinan, perkara-perkara yang bersifat khilafiah dalam ibadah tidak sepatutnya dibesar-besarkan, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Beliau mengulas tentang kecenderungan sesetengah pihak yang suka membangkitkan perkara-perkara furuk atau cabang di dalam agama sedangkan banyak isu besar lain yang melibatkan kepentingan ummah belum diselesaikan.

"Ketika kita sedang membincangkan pelbagai isu besar tentang masa depan rakyat, negara, agama dan bangsa ada pihak yang lebih berminat menyebut benda-benda khilafiah. Buat ini bidaah, buat itu bidaah.

"Lainlah kalau kita sudah berada di dalam keadaan senang dan aman. Masa tu tak jadi masalah nak bincang perkara ini secara ilmiah.

"Bagaimanapun ketika dalam keadaan negara yang teruk dilanda krisis kepimpinan keutamaan perlu diberikan kepada menyedarkan rakyat tentang isu berkenaan," katanya.

Ujarnya lagi, banyak kepincangan yang dibuat oleh pemimpin negara tidak dibincangkan secara serius tentang hukum-hakamnya.

"Apakah bidaah menyalahgunakan wang rakyat dan kekayaan negara sehingga menyebabkan rakyat menjadi susah?

"Bagi saya perkara-perkara sebegini adalah lebih besar bidaahnya daripada hanya memperkatakan tentang masalah tasyahud atau mengangkat takbir," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pemimpin Umno-BN sekarang begitu takut apabila diadakan majlis-majlis penerangan oleh PAS.

Katanya apabila rakyat hadir ke majlis sedemikian, mereka akan memperolehi maklumat yang tidak dijumpai atau dibaca dalam media arus perdana.

"Mereka takut bila PAS turun jumpa rakyat, mereka akan dapat banyak pendedahan yang tiada dalam Utusan Malaysia, RTM atau TV3.

"Kini barulah rakyat mulai sedar akibat salah memberi amanah kepada pemimpin Umno/BN, mereka mula melihat kehancuran yang dibuat di hadapan mata mereka sendiri," katanya ketika berceramah di tapak Kompleks PAS Kawasan Padang Besar di Jalan Bukit Kerang dekat sini malam tadi.

Turut berceramah malam tadi ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dan Exco DewanPemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin. - mr

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/arkib-perlis/
fokus-kepada-isu-besar-elak-bincang-soal-
bidaah-ustaz-nasharudin.html


Alexanderwathern: "Selaras dengan saranan-saranan Tajdid Segar."

No comments: